Mendengar kata-kata ayahandanya, dengan serta merta berubahlah airmuka Sayidatuna Fatimah, lantas dia pun bertanya kepada baginda sambil menangis:
" Siapakah perempuan itu wahai ayahanda, bagaimana halnya sehingga dia terlebih dahulu masuk syurga daripada anakanda? Ayahanda! khabarkanlah di mana dia sekarang, anakanda mahu menjumpainya."
Lalu Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam menjelaskan mengenai wanita tersebut. Wanita itu ialah seorang yang miskin tinggal di sebuah kampung pedalaman hampir Jabal Uhud, kira-kira 3 kilometer dari Kota Madinah. Perempuan itu digelar Muti'ah.
Setelah mendapat keizinan daripada ayahandanya, Sayidatuna Fatimah pun keluar mencari wanita yang dikatakan oleh ayahandanya itu. Sayidatuna Fatimah bertanya kepada penduduk kampung tetapi mereka tidak mengenalinya, malah tidak pernah mendengar dan tidak mengetahui hal perempuan itu. Setelah berbagai usaha mencarinya, dengan izin Allah jua akhirnya berjumpalah Sayidatuna Fatimah dengan rumah perempuan yang dimaksudkan itu. Rumah Muti'ah berada di kawasan pedalaman, jauh daripada orang. Mungkin sebab itulah susah mencarinya.
Sebaik saja memberi salam dan beberapa kali mengetuk pintu, Sayidatuna Fatimah mendapati hanya suara sahaja kedengaran menjawab salam dari dalam sedangkan orangnya belum muncul. Setelah agak lama Sayidatuna Fatimah menunggu, penghuni rumah itupun menunjukkan mukanya melalui jendela, sambil bertanya siapakah gerangan di luar dan hajat kedatangan Sayidatuna Fatimah tanpa mempelawa dan menjemputnya masuk. Sayidatuna Fatimah memperkenalkan dirinya tetapi perempuan itu tidak menjemput Sayidatuna Fatimah masuk ke dalam rumah kerana ia belum mendapat keizinan daripada suaminya yang pergi bekerja.
Dengan langkah yang amat berat sekali Sayidatuna Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat masuk dan berbual panjang dengan perempuan itu untuk mencungkil rahsia amalan-amalannya yang bakal membawanya masuk ke dalam syurga.
Keesokan harinya, Sayidatuna Fatimah datang lagi bersama anaknya Hasan. Sebaik sahaja sampai, dia memberi salam dan perempuan itu pun menjawab salamnya dan terus membuka pintu. Tiba-tiba dia terlihat anak Sayidatuna Fatimah, Hasan. Perempuan itu sekali lagi tidak menjemput Sayidatuna Fatimah masuk ke dalam rumahnya kerana ia hanya meminta izin daripada suaminya untuk Sayidatuna Fatimah masuk dan belum meminta izin daripada suaminya untuk membenarkan Hasan masuk bersama dan menyarankan agar Sayidatuna Fatimah datang pada esok hari.
Sayidatuna Fatimah jadi serba salah, hendak balik jauh, hendak ditinggalkan anaknya di luar, takut dia menangis, hendak dibawa masuk belum mendapat keizinan. Akhirnya setelah berfikir panjang lebar, dia pun mengambil keputusan untuk balik sahaja.
Keesokan harinya, Sayidatuna Fatimah datang lagi dengan membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husain. Setelah memberi salam, mereka segera disambut oleh penghuni rumah itu. Perempuan itu terkejut lagi bila ternampak seorang lagi anak Sayidatuna Fatimah, Husain. Dia memohon maaf kerana dia belum meminta izin untuk membenarkan Husain, anak Sayidatuna Fatimah masuk ke rumahnya.
Dalam perjalanan pulang Sayidatuna Fatimah ke rumahnya, hatinya berkata: "Perempuan ini takut sangat akan suaminya, sehingga perkara kecil begini pun dia tidak berani melakukannya. Pada hal jika dia benarkan aku masuk, takkanlah suaminya marah. Tak usahlah pandang aku ini siapa, anak siapa dan dua budak ini cucu siapa, pandanglah (hormatilah) aku ini sebagai tetamu yang datang dari jauh saja sudahlah." Bisik hatinya kesal.
Pada hari berikutnya, Sayidatuna Fatimah datang sebagaimana yang dijanjikan dengan membawa dua orang anaknya. Kedatangannya disambut dengan mesra dan djamu dengan sedikit buah kurma dan air. Merekapun berkenalan serta memulakan perbualan. Pertanyaan Sayidatuna Fatimah banyak berkisar mengenai rahsia amal ibadat yang menjadi penyebab Muti'ah menjadi wanita pertama masuk syurga sebagaimana menurut ayahandanya. Perempuan itu mengatakan ia tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, amal ibadat pun biasa sahaja malah Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam mengetahui segalanya, hanya dia mentaati apa yang disabdakan oleh baginda dalam hal kewajipannya sebagai isteri di antaranya ialah:
*Tidak meninggalkan rumah jika suami keluar bekerja.
*Tidak menerima tamu(terutama lelaki) jika tidak ada keizinan suami.
*Tidak akan keluh kesah jika suami tidak jika suami tidak mempunyai harta.
*Berusaha agar suami merasa senang dan cinta.
*Tidak cepat cemburu.
*Saling mengerti dan menghargai anatara suami isteri.
Mengenai kecantikan, perempuan itu hanya berhiasa dan berdandan untuk suaminya bukan untuk tontonan orang ramai.
Apabila hampir waktu Asar, wanita itu masuk ke dalam biliknya dan berhias serta memakai wangi-wangian. Di tangannya terdapat tongkat rotan dan sebuah bekas air, manakala tangan sebelah lagi mengangkat hujung kainnya sehingga menampakkan betis dan sedikit pehanya serta mukanya manis dengan senyuman.
Melihat perbuatan Muti'ah yang agak aneh itu, lalu Sayidatuna Fatimah bertanya kepadanya kenapa ia berkelakuan seperti itu. Perempuan itu memberitahu bahawa suaminya akan pulang tidak lama lagi dan adalah menjadi kewajipannya untuk menyambut kepulangan suaminya. Perempuan itu menerangkan satu persatu apa yang ditanya oleh Sayidatuna Fatimah. Air yang disediakannya itu adalah untuk suaminya, jika suaminya dahaga ia akan segera menghulurkan air tersebut. Rotan yang dipegangnya itu pula ialah dia bersedia dirotan oleh suaminya jika suaminya merasa kurang menerima layanan darinya. Manakala kain yang diselak itu ialah jika suaminya berkehendakkan dirinya, apabila suami memandangnya tentulah akan menambah nafsu syahwat suaminya dan menyampaikan hajatnya.
Sayidatuna Fatimah termenung sejenak dalam hatinya berkata;"Jika beginilah kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Wajarlah menurut ayahandaku dia terlebih dahulu masuk syurga daripada aku. Ternyata benarlah bahawa keselamatan dan kesejahteraan wanita yang telah bersuami itu bergantung kepada ketaatan dan keredaan suami kepadanya".
Sayidatuna Fatimah terus pulang menghadap ayahandanya dan menceritakan apa yang berlaku. Sayidatuna Fatimah bersedih kerana ia tidak dapat meniru perangai dan amalan Muti'ah itu. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam tersenyum sambil bersabda:"Wahai anakandaku, janganlah anakanda susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu (Muti'ah) ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali tunggangan anakanda ketika anakanda masuk syurga nanti. Jadi dialah yang akan masuk terlebih dahulu daripada anakanda." Mendengar penjelasalan ayahandanya itu, Sayidatuna Fatimah pun gembira dan tersenyum.
(Sumber: Buku bertajuk: Peluang Syurga Bagi Wanita Terbitan PDI.)