PENGERTIAN TAUHID
Dari segi bahasa ialah menunggalkan, mengesakan, mempercayai bahawa Allah itu satu.
Dari segi syara' pula ialah ilmu yang membincngkan tentang adanya Allah serta sifat-sifat-Nya yang wajib, mustahil, harus, juga tentang rasul-rasul dan sifat-sifatnya yang wajib, mustahil, dan harus serta membincangkan perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan berdasarkan dalil-dalil 'aqli (hukum-hukum akal) dan dalil-dalil naqli dari Al-Quran dan hadis.
Hukum Mempelajari Ilmu Tauhid
Fardhu Ain ke atas setiap mukallaf lelaki dan perempuan, dalam mengetahuinya secara ijmali (himpunan) dan fardhu kifayah mengetahuinya secara tafsili (terperinci).
Ilmu Tauhid ada berbagai-bagai nama, antaranya ialah:
1. Ilmu Kalam ertinya percakapan. Untuk menerangkan ilmu ini sangat perlu menggunakan percakapan.
2. Ilmu Usuluddin ertinya usul, dasar atau agama tentang i'tikad, iman atau kepercayaan di dalam agama.
3. Ilmu Aqa'id atau Aqidah. Aqa'id atau aqidah ertinya kepercayaan atau keyakinan, iaitu membenarkan dengan hati. Ilmu ini menghuraikan hal-hal dan perkara-perkara kepercayaan dan keyakinan.
4. Ilmu Ma'rifah. Ma'rifah ertinya pengenalan atau mengenali. Dalam ilmu ini banyak memperkatakan hal-hal mengenal Allah.
PENGERTIAN ISLAM
Dari segi bahasa ialah sejahtera atau selamat. Penganut agama Islam dijamin oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala selamat di dunia dan di akhirat.
Dari segi istilah pula ialah satu agama yang memandu cara hidup manusia menuju keredhaan Allah bagi mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.
Dengan lain perkataan, Islam bermakna menjunjung titah perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya atau tegahan-Nya. Oleh itu mereka yang mengerjakan perintah Allah dinamakan orang Islam yang tulin atau sebenar.
Maksud Agama Islam ialah satu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam melalui wahyu yang diterimanya daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Agama Islam ialah agama langit yang diturunkan oleh Allah seperti agama-agama lain yang diturunkan kepada rasul-rasul yang terdahulu seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Nuh dan lainnya.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam surah A-li 'Imran ayat 19:
Tafsirnya: "Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam."
Rukun Islam ada lima perkara:
1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Solat lima waktu sehari semalam.
3. Puasa pada bulan Ramadhan.
4. Mengeluarkan zakat.
5. Menunaikan haji ke Baitullah jika mampu melaksanakannya.
PENGERTIAN IMAN
Iman bererti membenarkan dengan hati akan segala apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam. Iman diikrarkan dengan lidah (dua kalimah syahadah) serta dilaksanakan segala tuntutan (hukum-hukum Islam).
Rukun Iman ada enam perkara:
1. Percaya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
2. Percaya kepada Para Malaikat,
3. Percaya kepada Rasul.
4. Percaya kepada kitab-kitab Allah.
5. Percaya kepada hari kiamat.
6. Percaya kepada Qadha dan Qadar.
Hubungan dan perbezaan antara Iman dan Islam
Iman dan Islam adalah dua perkara yang boleh menyelamatkan kehidupan seseorang itu dunia dan akhirat (kedua-duanya berhubung kait antara satu dengan yang lain, rukun Islam merupakan praktikal bagi rukun iman).
Iman dan Islm adalah satu, perbezaannya hanyalah dari segi perlaksanaannya iaitu:
> Iman itu adalah kerja-kerja hati pula adalah kerja-kerja anggota.
> Iman juga termasuk dalam erti kata aqidah dan Islam itu termasuk dalam erti kata amal(perbuatan).
PERCAYA KEPADA ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA
Percaya kepada Allah ialah mengaku dengan lidah serta yakin di dalam hati bahawa ada Tuhan yang sebenar, yang telah menjadikan sekalian alam ini iaitu Tuhan yang telah menjadikan langit, bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, bukit, manusia, binatang, pokok, tumbuh-tumbuhan dan segala kejadian yang lain.
Tuhan yang sebenar itu tidak disebabkan oleh sesuatu sebab. Tidak ada yang menjadikan-Nya bersifat dengan sifat kesempurnaan. Maha suci daripada sifat kekurangan. Dia adalah Allah, Tuhan yang menjadikan semua makhluk, Tuhan yang layak dan patut disembah.
Sifat-Sifat Yang Wajib Bagi Allah
Wajib ke atas setiap mukallaf percaya bahawa Allah ada beberapa sifat kesempurnaan yang tidak terhingga banyaknya. Yang wajib diketahui dengan tafsil ialah dua puluh sifat yang wajib, dua puluh sifat yang mustahil dan satu sifat yang harus.
Pengertian Wajib, Mustahil dan Harus
Wajib: Segala yang mesti ada seperti satu tambah satu sama dengan dua.
Mustahil: Segala yang mesti tidak ada seperti satu tambah satu sama dengan tiga.
Harus: Segala yang boleh ada dan boleh tidak ada seperti kata orang esok turun hujan.
Sifat-Sifat Yang Wajib Bagi Allah: 20 Sifat Terbahagi Empat Bahagian:
1. Satu Sifat Nafsiah (نفسية) iaitu:
i. Wujud (وجود)
2.Lima Sifat Salbiah (سلبية) iaitu:
ii. Qidam (قدم)
ii. Baqa' (بقاء)
iii. Mukhalafatuhu Lil Hawadis (مخالفته للحوادث)
iv. Qiamuhu Ta'ala Binafsihi (قيامه تعالى بنفسه)
v. Wahdaniah (وحدانية).
3. Tujuh Sifat Ma'ani (معانى) iaitu:
i. Qudrah (قدرة).
ii. Iradah (إرادة).
iii. Ilmun (علم).
iv. Hayat (حياة).
v. Sama' (سمع).
vi. Bashar (بصر).
4. Tujuh Sifat Ma'nawiyah (معنوية) iaitu:
i. Kaunuhu Qadiran.
ii. Kaunuhu Muridan.
iii. Kaunuhu 'Aliman.
iv. Kaunuhu Hayyan.
v. Kaunuhu Sami'an.
vi. Kaunuhu Bashiran.
vii. Kaunuhu Mutakalliman.
Sifat-Sifat Yang Wajib Bagi Allah Dan Lawannya:
1) Wujud (ada) lawannya 'Adam (tiada.)
2) Qidam(sedia) lawannya Hudus (Baharu).
3) Baqa'(kekal) lawannya Fana' (binasa).
4) Mukhalafatuhu Lil Hawadis lawannya Mumathalatuhu Lil Hawadis.
5) Qiamuhu Ta'ala Binafsihi lawannya Qiamuhu Ta'ala Bighairihi.
6) Wahdaniah (Esa) lawannya Ta'addud(berbilang-bilang).
7) Qudrah (kuasa) lawannya 'Ajzun(lemah).
8) Iradah (berkehendak) lawannya Karahah (benci tiada menentukan).
9) Ilmun (mengetahui) lawannya Jahlun (bodoh)
10) Hayat(hidup) lawannya Mautun (mati)
11) Sama'(mendengar) lawannya Samamun (tuli).
12) Bashar(melihat) lawannya Umyun (buta).
13) Kalam (berkata) lawannya Bukmun (bisu).
14) Kaunuhu Qadiran lawannya Kaunuhu 'Ajizan.
15) Kaunuhu Muridan lawannya Kaunuhu Mukrahan.
16) Kaunuhu'Aliman lawannya Kaunuhu Jahilan.
17) Kaunuhu Hayyan lawannya Kaunuhu Mayitan.
18) Kaunuhu Sami'an lawannya Kaunuhu Asammun.
19) Kaunuhu Bashiran lawannya Kaunuhu A'ma.
20) Kaunuhu Mutakalliman lawannya Kaunuhu Abkam.
Sifat-Sifat Yang Harus Bagi Allah
Sifat yang harus bagi Allah ialah menjadikan mumkin atau meninggalkannya. Contohnya harus bagi Allah menjadikan langit, bumi, matahari, bulan dan bintang dan sebagainya, dan harud bagi Allah tidak menjadikannya. Maka tidak wajib Allah menjadikan sesuatu seperti menghidupkan atau mematikan, malah semuanya harus pada hak Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Khamis, 20 Mei 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan