Jumaat, 6 Mac 2009

KELEBIHAN BERSELAWAT KEPADA HABIBUNA SYAIDUNA MUHAMMAD SALLAHU ALAIHI WASALLAM

Maksud Selawat:

Pada umumnya selawat adalah bermaksud memohon kepada Allah akan keberkatan atau kurnia rahmat yang khusu untuk Nabi Sallahu Alaihi Wasallam.

Siapakah Yang Harus Berselawat:

Orang yang berselawat kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam itu, bukan hanya orang-orang Islam bahkan para malaikat juga sering turut berselawat kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam iaitu berdoa kepada Allah agar berkenan memberi keberkatan kepadanya, manakala Allah yang memberi keberkatan kepada baginda dinamakan juga berselawat kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
Tafsirnya: "Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."(Surah Al-Ahzab, ayat 56).

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Sebenarnya terdapat perbezaan di antara selawat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan selawat para malaikat kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Abu Al'Aliyah menafsirkan selawat Allah kepada Nabi Sallahu Alaihi Wasallam dengan Ats-Tsana' yang bererti pujian terhadap baginda. Sedangkan selawat para malaikat ditafsirkan dengan doa mereka untuk Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Penafsiran ini ada disebutkan juga oleh Imam AL-Bukhari di dalam kitabnya Shahih Al-Bukhari.

Iman Al-Bukhari setelah menyebut tentang penafsiran Abu Al-'Aliyah, menukilkan pula penafsiran Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'Anhuma iaitu: Selawat para malaikat bererti memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar Dia memberikakan barakah kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam, sedangkan Selawat Allah kepada Nabi-Nya ditafsirkan dengan pengampunan dan kasih sayang.

Kelebihan Berselawat:

Berselawat untuk Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam bukan saja mendatangkan manfaat
kepada diri Nabi Sallahu Alaihi Wasallam, bahkan ia juga banyak memberi kemanfaatan kepada diri kita yang mengucapkan selawat.

1) Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
" Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali."
(Riwayat Ahmad)

2) Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
" Barangsiapa membaca selawat kepadaku sekali, maka Allah memberi kepadanya sepuluh rahmat, dan dihapus daripadanya sepuluh kejahatan serta Allah mengangkatnya sepuluh darjat." (Riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan