Selasa, 13 Januari 2009

FIQHUL ISLAMI

BAHAGIAN TAHARAH

BAHAGIAN AIR DAN HUKUMNYA

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
Tafsirnya: " Dan Dia menurunkan air dari langit bagi membersihkan kamu dengannya"
(Surah Al-Furqan, ayat 48)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman lagi:
Tafsirnya: "Dan kami turunkan dari langit air yang bersih."
(Surah Al-Anfal, ayat 11)

Air adalah merupakan salah satu nikmat keperluan bagi semua kehidupan.

JENIS-JENIS AIR

Air yang sah digunakan untuk bersuci ialah tujuh jenis:

1. Air Hujan.
2. Air Sungai.
3. Air Telaga.
4. Air Laut.
5. Air Mata Air.
6. Air Batu yang telah cair.
7. Air Embun.

Punca tujuh macam air ini ialah yang turun dari langit dan yang keluar dari bumi.

Air yang tujuh jenis ini dinamakan "Air Mutlak", hukum,nya suci dan boleh menyucikan yang lain.

BAHAGIAN AIR

Air terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:

1. Air Mutlak.
2. Air Mutanajjis.
3. Air Musta'mal.
4. Air Mutaghayyar.
5. Air Makruh.

Air Mutlak:

Air Mutlak (air biasa) ialah air yang tidak dikaitkan dengan sesuatu yang tertentu. seperti air tebu, air limau, air kopi, air teh dan sebagainya.

Hukum air mutlak: suci lagi menyucikan. Ertinya suci pada dirinya dan menyucikan sesuatu yang lain.

Adapun air yang dikaitkan dengan nama yang tertentu maka hukumnya adalah suci pada dirinya (boleh diminum) tetapi tidak menyucikan yang lain.

Air Mutanajjis:

Air Mutanajjis (air yang terkena najis) ialah air yang sedikit terjatuh najis ke dalamnya. Hukumnya tidak boleh digunakan untuk berwuduk, mengangkat hadas ataupun menghilangkan najis walaupun tidak berubah.

Adapun air yang banyak (dua kolah) bila terkena najis dan berubah salah satu daripada sifatnya, berubah baunya atau warnanya atau rasanya maka tidaklah boleh digunakan untuk menyucikan sesuatu.

Air Musta'mal:

Air Musta'mal (air yang digunakan) air yang sedikit yang telah digunakan bagi sesuatu fardhu, seperti mandi wajib atau menyucikan najis, maka hukumnya ialah suci pada dirinya tetapi tidak boleh menyucikan yang lain.

Air Mutaghayyar:

1. Air Mutaghayyar ialah air yang yang berubah salah satu daripada sifat-sifatnya dengan sebab bercampur dengan sesuatu benda yang suci seperti bercampur dengan nila, kopi, air wangi atau sebagainya. Hukumnya ialah suci pada dirinya tetapi tidak boleh menyucikan yang lain.

2. Air telaga atau air kolam yang berubah warna, rasa atau baunya dengan sebab daun-daun kayu atau bunga yang jatuh ke dalamnya, atau kerana lumut atau lumpur disekelilingnya maka hukumnya adalah suci dan boleh menyucikan yang lain.

3. Air yang berubah kerana bertakung lama adalah suci dan menyucikan yang lain.

Air Makruh

Air makruh (disebut juga Air Musyammas) ialah yang terjemur panas dalam bekas yang boleh berkarat, maka hukumnya suci lagi menyucikan yang lain. Tetapi makruh digunakan pada badan kerana ditakuti mendatangkan penyakit, tetapi bila sudah sejuk tidaklah makruh lagi.

Kadar Sukatan Air Dua Kolah

1) jika disukat dengan tin minyak tanah biasa ialah sebanyak 13 tin.

2) Jika ditimbang ialah seberat 500 kati Baghdad bersamaan dengan 317 kati Brunei.

3) Jika tempat yang berbentuk empat persegi tepat maka ukurannya: panjangnya, lebarnya dan dalamnya hendaklah masing-masing 23 2/3 inci bersamaan dengan 60cm bersamaan juga 1 1/4 Hasta.

4) Jika tempat yang berbentuk bulat maka ukurannya ialah: bukanya 18 inci(1Hasta) dan dalamnya 25 Inci (2 1/2 Hasta).

Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
" Apabila cukup air 2 kolah tidaklah dinajiskan oleh sesuatu apapun." (Riwayat Al-Khamsah).

KEMUSYKILAN AGAMA

1) Adakah harta milik anak wajib dikeluarkan zakat oleh ibubapanya jika sudah cukup syarat?
Jawapan:
اللهم هداية للصواب Ya, wajib ibubapa mengeluarkan zakat bagi pihak anaknya.

2) Adakah buah zaitun dan buah tin wajib zakat seperti anggur dan kurma?
Jawapan:
اللهم هداية للصواب Tidak wajib zakat, sebab tidak termasuk dalam kategori hasil tanaman yang wajib dikeluarkan zakat sepertimana maksud Hadis Nabi Sallahu Alaihi Wasallam:
" Bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam mengutus mereka berdua ke yaman buat mengajar manusia soal agama. Mereka diperintahkan agar tidak memungut zakat kecuali empat jenis ini:
gandum, padi, kurma dan aggur kering." HR Darutqutni, Al-Imam Thabrani dan Al-Imam Baihaqi.

3) Kalau ada org yang memiliki barangan yang berharga seperti batu permata, intan berlian, mutiara dan sebagainya, adakah juga dikenakan zakat?
Jawapan:
اللهم هداية للصواب Tidak diwajibkan zakat ke atas barangan tersebut, ini menurut pendapat Imam Nawawi daam Mazhab Syafie' bahawa tiada wajib zakat pada barangan selain dari emas dan perak, walaupun barangan itu lebih cantik dan lebih baik atau lebih tinggi harganya kerana tidak ada Nas Syara' pada mewajibkan zakat ke atasnya.

4) Ada setengah orang mengatakan bahawa harta benda dan kekayaan itu akan binasa kalau tidak dikeluarkan zakatnya, apakah pendapat seperti ini betul atau tidak?
Jawapan:
اللهم هداية للصواب Kita tidak menafikan kemungkinan ada benarnya pendapat seperti itu, kerana orang yang tidak mengeluarkan zakat harta benda apabila mencukupi syarat-syaratnya bererti ia tidak mensyukuri nikmat Allah yang sewajarnya. Sebahagian besar terjadinya kehilangan, kebinasaan harta benda dan sebagainya adalah barang kemungkinan berpunca dari enggan mengeluarkan zakatnya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: ' Tidak binasa harta benda sama ada di darat atau di laut melainkan dengan sebab enggan mengeluarkan zakat.'

Jumaat, 9 Januari 2009

BAHAYA ROKOK



ROKOK MENGANDUNGI 800 UNSUR BAHAYA:
Menurut Asraf Hatim
(Pensyarah Penyakit Dada Fakulti Perubatan, Univ. Kaherah):
Dalam rokok terdapat 800 unsur yang membahayakan badan manusia yang menyebabkan kanser penafasan, paru-paru, selaput al-balury (kristal),
pangkal kerongkong dan pelbagai penyakit saluran penafasan
disamping penyakit-penyakit lain seperti kekerasan pembuluh, pedih dada dan tekanan darah tinggi.

•Rokok mengandungi ratusan jenis kimia. 40 jenis daripadanya dianggap penyebab kanser.
•Sesetengah pakar menyebutkan bahawa bukan nikotin sahaja penyebab utama kematian, akan tetapi termasuk juga 40 jenis yang lain.


Selain itu, setiap rokok juga mengandungi hampir 24 unsur perosak dalaman dan peratus sesetengahnya mencapai 4%.


PENYALAHGUNAAN DADAH

Pengertian dadah:
1) Dadah menurut Kamus Dewan.
2) Apakah itu dadah?
3) Jenis-jenis dadah.
4) Undang-Undang dadah.
5) Definisi Penyalahgunaan dadah



Isi:
1) Sebab-sebab yang boleh mendorong kepada penyalahgunaan dadah.
2) Tanda-tanda awal Penagihan dadah.
3) Tanda-tanda orang yang terlibat dengan dadah.
4) Bahaya dadah dari Segi Mental, Ekonomi, Moral dan Sosial.
5) Penyalahgunaan dadah dari sudut pandangan Islam.
- Dalil Al-Quran Al-Karim.
- Dalil Hadis Nabi Sallahu Alaihi Wasallam.
6) Pandangan Islam tentang dadah:
1) Benda yang memudaratkan.(diri dan juga orang lain).
2) Benda yang mengakibatkan kematian.
3) Benda yang membawa kepada dosa.
4) Benda yang dihukumkan sebagai haram dan kotor.
7) Impilikasi memakan benda yang haram seperti( penyalahgunaan dadah ini):
1) Neraka lebih utama baginya.
2) Doanya tidak diperkenankan.
3) Memakan yang haram akan menggelapkan and mengeraskan hati seseorang.
4) Berat hati dalam melakukan perkara kebajikan.
5) Hati resah dan tidak tenteram.
6) Mudah terjebak dalam melakukan dosa tanpa segan-silu.
7) Susah menerima dan mengingat pelajaran/ilmu yang disampaikan.

Penutup:
1) Tindakan individu, ibubapa, masyarakat.
2) Kesimpulan.

BEKERJA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


1) Definisi kerja:
Secara umum bererti: usaha, kegiatan,
urusan yang bertujuan untuk menghasilkan sesuatu,
menyelesaikan sesuatu seperti mencari nafkah.
- Dalil Al-Quran dan Hadis.
- Pekerjaan yang diceburi oleh para rasul dan sahabat.
- Matlamat bekerja: Niat sara hidup dan mencari redha Allah.

2) Isi:
1) Menjadikan kerja itu sebagai termasuk tuntutan agama.
Firman Ilahi yang tafsirnya:
“Maka bertebaranlah kamu di muka bumi ini sertacarilah rezeki kurniaan Allah.
(Surah Al-Jumuaah, ayat 10).
Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
“ Apabila kamu selesai mengerjakan solat pada waktu pagi (solat subuh)
maka janganlah kamu tidur (berdiam diri) daripada mencari rezeki.”
(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabrani).
2) Menjadikan kerja itu sebagai tanggungjawab.
Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
“ Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipertanggungjawabkan
Dengan apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya.”
3) Menjadikan kerja itu sebagai amanah.
4) Menjadikan kerja sebagai ibadah.

- Nilai- Nilai Islam sewaktu kerja yang perlu diterapkan:
Membaca Al-Quran.
Membaca zikir dan doa memulakan pekerjaan.
Memberi salam.
Bersopan santun.
Bekerja dengan cemerlang atau paling terbaik atau paling sempurna.

- Nilai-Nilai yang tercela sewaktu kerja yang perlu dijauhi:
(disebutkan dalam rukun akhlak perkhidmatan awam).

3) Kesimpulan:
Ganjaran (berupa pahala).

Selasa, 6 Januari 2009

AMALAN TULISAN JAWI YANG DI GUNAKAN

AMALAN TULISAN JAWI YANG DI GUNAKAN
DALAM AL-QURAN (RESM UTHMANI)[1]

ABSTRAK

Apabila membincangkan tajuk ini, ia memang sinonim dengan kepandaian membaca Al-Quran dan bacaan-bacaan di dalam Solat. Tidak keterlaluan penulis katakan bahawa kemahiran dalam tulisan jawi merupakan asas kepada mempelajari bahasa Arab dan seterusnya memahami kandungan Al-Quran. Kenapa sedemikian?.Kerana dengan mengenal huruf jawi, kita bukan sahaja mampu membaca Al-Quran Al-Karim dengan lancar. Tetapi lebih dari itu, kita dapat memahami kandungannya dan mampu membaca bahan-bahan bacaan yang lain dalam tulisan jawi.

Disamping itu, adalah kewajipan kita menghidupkan tulisan jawi agar tidak pupus di telan zaman dan anak-anak kita hendaklah mengenal dan mencintainya kerana ia adalah tulisan huruf Al-Quran Al-Karim.

Apabila kita kenal hurufnya bererti kita kenal Al-Quran Al-Karim. Kenal Al-Quran Al-Karim bererti kita cinta Al-Quran Al-Karim sepertimana saranan Nabi Sallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis daripada Sayyidina Ali كرم الله وجه :

أدبوا أولادكم على ثلاث خصال: حب نبيكم، وحب أهل بيته، وقراءة القرآن فإن حملة القرآن فى ظل الله
يوم لا ظل إلا ظله مع أنبيائه وأصفيائه.

Maksudnya: “ Ajar dan asuhlah anak-anak kamu dengan tiga pekerti: Mencintai Nabi Sallahu Alaihi Wasallam, mencintai ahli rumah baginda dan membaca Al-Quran. Sesungguhnya penanggung Al-Quran (orang yang dalam dadanya terdapat kepandaian membaca Al-Quran) akan berada dalam naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah semata-mata, bersama-samanya ialah para nabi dan orang-orang yang dipilih oleh Allah.”(Al-Jami’ Al-Shaghir 1/21).

Inilah yang kita mahukan supaya anak-anak bukan setakat cinta dan mengamalkan isi kandungannya tetapi mencintai tulisannya. Sesungguhnya membesarkan kalam Allah itu, bukan saja dalam membacanya, tetapi juga termasuk memelihara tulisan-tulisan Al-Quran dan huruf-hurufnya. Sebagaimana yang diriwayatkan, “Ikrimah bin Abi Jahl, sangat gusar hatinya bila melihat lembaran-lembaran yang bertuliskan Al-Quran berserak-serak seolah-olah tersia-sia, lalu ia memungutnya selembar demi selembar, sambil berkata: “ Ini adalah kalam Tuhanku, membesarkan kalam Allah bererti membesarkan Allah.”[2]


Riwayat di atas perlu kita contohi dan ajarkan kepada Generasi Sekarang agar mereka membesarkan dan memuliakan kalam Allah ini, dan memperjuangkan tulisannya supaya jangan sampai dilupai oleh Muda-Mudi khususnya dan umumnya Umat Islam di Negara ini. Sesungguhnya tulisan jawi adalah khazanah orang-orang Islam, menghidupkannya bererti menghidupkan syiar Agama Islam.

PENDAHULUAN

Tulisan jawi merupakan tulisan warisan bangsa Melayu sejak dahulu ini. Kemunculannya secara langsung dengan kedatangan Agama Islam ke Nusantara. Ia telah digunakan dengan terutamanya dalam kitab-kitab ternama Agama Islam. Ianya berasal dari Tulisan Arab dan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu.

Tulisan jawi merupakan tulisan asal dalam sejarah perkembangan bangsa Melayu. Menurut Sejarah, boleh dikatakan bahawa abad ke-15 hingga ke-18 tulisan jawi menjadi nadi kepada perkembangan bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam kerana tulisan jawi bukan sahaja digunakan dalam urusan agama, tetapi juga sebagai tulisan rasmi dalam pentadbiran kerajaan dan perhubungan dengan Negara-negara lain. Sebagai contoh, dalam abad ke-15 dan ke-16, semua persuratan kerajaan Brunei yang dikirim kepada kerajaan Sepanyol di Manila, Filipina, ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi. Surat-surat kerajaan Sepanyol yang dikirim kepada kerajaan Brunei pula dituliskan dalam bahasa Melayu kerana kerajaan Brunei tidak akan menerima surat yang ditulis lain daripada bahasa Melayu.[3]

SEJARAH AWAL TULISAN JAWI

Kedatangan Agama Islam di rantau ini dengan sendirinya telah meningkatkan lagi budaya penulisan dan minda berfikir bangsa Melayu yang berasaskan kepada bahasa Arab yang mempunyai kecenderungan saintifik iaitu yang bersifat akaliah berdasarkan kepada ilmu pengetahuan dan mempunyai struktur bahasa mengikut tatatertib ilmiah. Ini berlainan dengan bahasa Sanskrit yang lebih mementingkan nilai-nilai estetik iaitu terbatas kepada sifat seni yang berdasarkan kepada pancaindera dan jiwa untuk menikmati kesenian bahasanya. Penggunaan alpabet Arab sebagai tulisan bangsa Melayu Islam amat sesuai dengan tamadun Melayu yang sudah berkembang sebagai kuasa perdagangan di rantau ini. Bangsa Melayu memerlukan kekuatan baru yang sebelumnya disaluti oleh pengaruh Hindu-Budha yang sukar difahami falsafahnya mengikut nilai tabie dibandingkan dengan Agama Islam yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran yang mempunyai gaya bahasa yang jelas, tertib dan teratur serta tidak terkeluar dari batas fikiran ilmiah dan rasional manusia. Selain daripada itu, alpabet Arab juga begitu sesuai dengan lidah dan vokal bahasa Melayu dengan hanya memerlukan beberapa tambahan huruf bagi membunyikan sebutan yang sukar dieja dengan huruf Arab. Dengan menggunakan huruf-huruf Arab yang sedia ada seperti jim (ح), ayn (ع), fa (ف), kaf (ك) dan nun (ن), telah dicipta huruf-huruf baru yang lazim pada bunyi sebutan Melayu iaitu cha (ح), nga (ع), pa (ف), ga( ), dan nya ( ). Penciptaan huruf-huruf baru dengan mengikut rupa bentuk huruf Arab itu memang lazim dilakukan oleh sesuatu bangsa bukan Arab yang telah memeluk agama Islam yang menggunakan alpabet Arab sebagai tulisan mereka. Orang-orang Berber di Maroca, Turki dan Parsi telah mencipta huruf-huruf baru sama seperti apa yang digunakan oleh bangsa Melayu dalam tulisan jawi.

DARI MANA DATANGNYA JAWI?

Berikut dibawakan beberapa pendapat mengenainya:

1) Jawi Adalah Nama Gelaran Orang Arab terhadap Orang Melayu:

Syed Muhammad Naguib AL-Attas menyebutkan bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, m.s. 43:

“ Kedatangan Islam telah membawa bersamanya tulisan Arab yang dijadikan tulisan Melayu yang mempunyai tambahan beberapa huruf istimewa bagi bahasa itu, dan nampaknya tulisan jawi inilah yang mengikat perpaduan satu bahasa meliputi seluruh golongan bangsa Melayu. Kita dapati bahawa dalam tulisan-tulisan Melayu pada abad-abad keenam belas dan ketujuh belas, istilah-istilah seperti ‘orang Melayu’ dan ‘negeri Melayu’ ada terdapat, akan tetapi tiada terdapat istilah ‘bahasa Melayu’.

Bilamana bahasa Melayu dimaksudkan dalam tulisan-tulisan itu maka terdapat di situ istilah ‘bahasa jawi’. Kita tahu bahawa istilah jawi itu dalah nama gelaran orang Arab terhadap seluruh bangsa penduduk daerah kepulauan ini, akan tetapi bagaimanapun sangatlah berkesimpulan bagi pengajian kita mengenai masalah sejarah bahasa Melayu bahawa orang Melayu sendiri menamakan bahasanya bahasa jawi, meskipun istilah jawi itu sebenarnya digunakan oleh mereka khusus bagi menamakan tulisan Arab-Melayu seolah-olah orang Melayu kala itu menamakan bahasanya berdasarkan pada tulisannya. Konsep jawi yang merangkumkan pelbagai bangsa itu sebagai satu penyatupaduan bahasa Melayu sebagai bahasa umum melalui adat satu tulisan yang sama terdapat di mana-mana di kalangan bangsa-bangsa Melayu-Indonesia. Inilah juga salah satu unsur kebudayaan yang menggerakkan proses sejarah ke arah pemupukan fahaman kebangsaan dalam peribadi masyarakat Melayu-Indonesia.”

2) Jawi Membawa maksud pokok jawi-jawi dan beras jawi:

Menurut Keterangan Kamus R.J Wilkinson, Jawi boleh diterjemahkan atau membawa maksud pokok Jawi-jawi atau jejawi dan juga beras Jawi yang berbeza dengan beras pulut, dan juga dengan membawa makna lembu atau kerbau dalam bahasa Minangkabau.
3) Jawi Berasal daripada Maksud Kacukan ( Jawi peranakkan).
Marsden pula menyebut bahawa Raffles menerangkan Jawi juga membawa maksud "kacukan" dimana beliau telah merujuk kepada ungkapan anak Jawi iaitu anak kacukan keling dan ibu Melayu(disinilah timbulnya istilah jawi peranakan); oleh itu bahasa Jawi ialah bahasa Melayu yang ditulis dengan skrip Arab membawa maksud bahasa Kacukan.
4) Jawi Berasal dari Perkataaan Jawa atau merujuk kepada Bangsa Jawa
Hamdan Abdrul Rahman dalam bukunya " Panduan Menulis dan Mengeja Jawi" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1999 mengatakan perkataan Jawi itu sendiri berasal daripada nama suku Kaum Jawa. Berikut adalah petikan daripada bukunya berkaitan perkara tersebut.
"Sudah ditakdirkan Allah bahawa di kalangan bangsa Melayu ini, suku kaum yang lebih besar bilangannya adalah suku kaum Jawa. Jadi merekalah yang membentuk kumpulan Melayu terbesar di tanah Arab pada zaman dahulu. Akibatnya orang-orang Arab menganggap semua manusia berkulit sawo matang dari Alam Melayu ini sebagai orang Jawa.
Seterusnya segala yang bersangkutan dengan orang Melayu disifatkan sebagai Jawi. Orangnya dikenali sebagai orang Jawi, Tanahnya dikenali sebagai tanah Jawi dan bahasanya dinamakan bahasa Jawi dan tulisan yang digunakan dalam media persuratannya dinamakan tulisan Jawi.Kitab-kitab Agama Islam yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu terutamanya dalam abad ke-17 Masihi, semuanya merakamkan bahawa penulisnya telah menerima titah raja, wasiat guru atau pesan ayah supaya dia menterjemahkan kitab tertentu ke dalam bahasa Jawi; bukan bahasa Melayu.Secara Berturutan perkataan Jawi ini mula-mulanya merupakan nama tanah, iaitu Alam Melayu, kemudian menjadi nama bahasa, dan sekarang menjadi nama tulisan pula"
5) Jawi Berasal daripada nama sumatera Lama Al-Jawah
Manakala Hashim Haji Musa pula dalam bukunya " Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi" lebih bersetuju dengan pendapat Omar Awang yang menegaskan kemungkinan besar perkataan jawi berasal daripada perkataan Arab al-Jawah. Ia pernah digunakan dalam catatan Arab yang tertulis sebelum pertengahan Abad ke-14 M untuk menamakan Sumatera, misalnya Yaqut, dalam Mu'jan al-Buldan, Abu Al-Fida' dalam Taqwim al-Buldan dan Ibn Batutah dalam Rihllat Ibn Batutah.Fakta ini menunjukkan satu kemungkinan yang kuat bahawa skrip Jawi itu dinamakan oleh orang Arab untuk merujuk skrip ejaan yang digunakan oleh orang sumatera iaitu penduduk Al-Jawah yang berugama Islam dan menggunakan bahasa Melayu.
Hashim Haji Musa juga menegaskan juga adalah tidak logik dikatakan Jawi iaitu perkataan Arab berasal daripada istilah kata terbitan daripada kata nama Jawa dengan maksud (Tulisan) yang berkaitan dengan Pulau atau Suku Kaum Jawa kerana tulisan Jawi telah wujud sebelum Jawa jatuh ke tangan orang islam pada tahun 883 H/1468M.
6) Jawi Berasal dari Perkataan Al-Jawah (W.Marsden)
W.Marsden pula menyebut bahawa nama Jawi juga pernah menjadi tanda tanya kepada G.H Werndly tentang asal-usulnya dan menyimpulkan bahawa bahasa Jawi boleh dikaitkan dengan perkataan Jawah, yang disebut oleh Marco Polo sebagai nama lama bagi pulau Sumatera pada zaman itu, yang mungkin dihasilkan oleh orang Arab seperti yang disebut oleh Omar Awang diatas.
7) Jawi berasal daripada Perkataan JavaDwipa yg juga dikenali sebagai Al-Jawah (sebuah daerah Asia Tenggara pada zaman purbakala).
Amat Juhairi Moain pula lebih menyakini bahawa perkataan Jawi berasal Al-Jawah dimana dikatakan bahawa perkataan ini berasal daripada perkataan "Javadwipa" iaitu sebuah nama daerah Asia Tengara pada zaman Purba. Bukti yang digunakan adalah Catatan Ibnu Batutah dalam bukunya sl-Rihlah menggelar sumatera sebagai al-Jawah. Bagi orang Arab bahagian perkataan "Java" sahaja yang diambil, sedangkan "Dwipa" pula ditinggalkan. Kata "Java" ini digunakan untuk merujuk kepada keseluruhan daerah Asia Tenggara. Penduduknya juga dinamakan dengan kata adjektif " Jawi". Oleh itu "Jawah" dan "Jawi" merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi pribumi di Asia Tenggara;bukan kepada orang Jawa iaitu penduduk yang berasal daripada kepulauan Jawa.
PERANAN TULISAN JAWI:
Menurut Mantan Mufti Kerajaan Brunei Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Dr. Ustaz Awang Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz Rahmatullah Alaihi, tulisan jawi adalah sumber pengetahuan Islam.
Perkara ini dapat diperhatikan dalam kenyataannya seperti berikut:
“ Tulisan Melayu atau tulisan Al-Quran itu adalah suatu sumber ilmu pengetahuan Islam, kerana kitab Islam bahasa Melayu dan Kitab Islam ditulis dengan huruf Melayu atau huruf Al-Quran. Dari itu hendaklah ibu bapa dan guru-guru beramal dengan tulisan Melayu atau dengan huruf Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari supaya dapat dibiasakan anak membaca huruf Al-Quran dan membaca kitab agama dalam tulisan jawi.”[4]
PERKEMBANGAN TULISAN JAWI:
Sebetulnya, kita kurang jelas tentang peranan sebenar yang dimainkan oleh tulisan jawi sejak awal-awal itu (disebabkan kekurangan bukti-bukti bertulis), akan tetapi daripada beberapa bukti tinggalan zaman-zaman selepas itu dapatlah digambarkan dan dibuat tafsiran bahawa tulisan jawi sejak kedatangan Islam ke negeri ini telah mempengaruhi kehidupan orang-orang Brunei dengan begitu berkesan sekali. Pengaruh dan peranan tulisan jawi itu tidaklah terbatas, baik dari peringkat kemasyarakatan mahupun dari aspek-aspek kehidupan seperti politik, ekonomi dan sosial.
Secara umum tulisan jawi mempengaruhi dua peringkat sosial, iaitu peringkat perseorangan atau rakyat biasa dan peringkat atasan atau pemerintah.
Diperingkat perseorangan tulisan jawi digunakan sebagai media bagi menyalurkan perasaan, pandangan, kehendak, kritik, ilmu dan ingatan seseorang. Unsur-unsur ini dijelmakan dalam tulisan-tulisan berbentuk sastera, catitan, surat, amanat, batu nisan dan sebagainya.[5]
Itu mengenai perkembangannya secara umum. Seterusnya mari kita melihat pula perkembangannya dengan keadaan sekarang. Sebenarnya tulisan jawi hanya diajarkan sepenuhnya di sekolah-sekolah agama. semua buku teks agama, nota, dan sebagainya, termasuk kertas soalan peperiksaan serta jawapannya dimestikan menggunakan tulisan jawi. Peranan sekolah-sekolah agama amat penting kerana institusi itu membolehkan pelajar-pelajar menguasai tulisan jawi. Para ulama dan guru agama menyokong kuat tulisan jawi digunakan di sekolah-sekolah agama kerana tulisan jawi dapat mengungkapkan istilah-istilah agama dengan tepat, sedangkan tulisan Rumi, jika digunakan, boleh mengelirukan dari segi sebutannya yang juga membawa kepada makna lain. Dengan tulisan jawi, para ulama dan guru agama dapat menyusun kitab-kitab agama atau menterjemahkan kitab-kitab agama daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu. Dari itu, dapatlah dikatakan bahawa sekolah agama berperanan penting untuk mempertahankan tulisan jawi daripada mengalami kemalapan terus dalam arus pendidikan moden yang keseluruhan mata pelajarannya menggunakan tulisan rumi.[6]
TULISAN JAWI HUBUNGANNYA DENGAN BACAAN2 DALAM SOLAT:
Setelah meneliti sejarah dan perkembangan tulisan jawi, seterusnya kita melihat pula bagaimana hubungannya dengan amalan solat :
Ada dua perkara yang ada hubungkaitnya dengan tulisan jawi:
1) Dari segi amalan:
Apabila seorang mukmin menunaikan solat dengan sendirinya ia berbahasa Arab dan secara tidak langsung ia belajar mengeja huruf jawi yang terkandung dalam bacaan-bacaan dalam solat.
2) Dari segi makna:
Dengan memahami makna bacaan-bacaan dalam solat, seseorang itu menjadi khusyuk. Tetapi berlainan bagi orang yang tidak menghayati makna bacaannya, kemungkinan fikirannya melayang entah ke mana dan boleh jadi ia terlupa bilangan rakaat yang ia sudah dilakukan. Disamping itu, seseorang yang tersalah sebut bacaan-bacaan dalam solat(termasuk baris dan makhraj huruf), maka dengan sendirinya ia mengubah makna bacaan dan solat tidak sempurna.
Contoh:
-أصلي Dibaca أسلي
- فرض Dibaca فرد
- سبحان ربيّ العظيم وبحمده Dibaca سبهان ربيّ العظيم وبهمده
Begitu juga dengan, seseorang yang tidak memelihara bacaan Al-Fatihah dalam solat:
Misalnya:
- إيّاك نعبد وإيّاك نستعين Dibaca إيّاك نعبد إيّاك نستعين(gugur huruf “و”)
- Atau menukar satu huruf dengan huruf yang lain, misalnya:
الذين Dibaca الزين
- Atau mengubah baris yang mengubah maknanya, misalnya:
أنعمت Dibaca أنعمت
Maka hukum bacaannya tidak sah, jika sekiranya perbuatannya itu disenghajakannya dan diketahuinya serta mengubah maknanya maka solatnya itu tidak sah. Dan jika sekiranya perbuatannya itu tidak disenghajakannya dan tidak diketahuinya atau tidak mengubah maknanya maka tidak batal solatnya, tetapi wajib ia membaca semula kalimah yang tersebut itu dan bacaan-bacaan yang kemudian daripadanya.[7]
EJAAN DAN RASM UTHMANI:
Sebagai pengetahuan, haram dan berdosa kita menukar atau mengubah tulisan Al-Quran kepada tulisan rumi. Sebab utamanya ialah tulisan rumi tidak dapat mengketengahkan hukum tajwid yang menjadi dasar kepada pembacaan Al-Quran yang betul[8]. Menurut Al-Imam Ahmad Rahimahullah haram menyalahi tulisan (khat) mushaf Uthmani pada huruf “ي” atau “و” atau “ا” atau lainnya.
Al-Imam Al-Baihaqi pula berkata dalam kitabnya “Syu’abul Iman”:
“Sesiapa yang menulis satu mushaf, hendaklah ia mengikut ejaan yang mereka gunakan untuk menulis mushaf tersebut dan jangan menyalahi mereka atau mengubah satupun daripada apa yang mereka tulis. Sesungguhnya mereka itu lebih berilmu, hati dan lidah mereka lebih tepat dan lebih amanah dari kita dan janganlah kita menyangka kita lebih pandai bagi membetulkan mereka. Maka mengikut huruf mushaf-mushaf pada pendapat kita adalah sama mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan yang tidak boleh seseorang itu melampauinya.”[9]
BENTUK TULISAN MUSHAF UTHMANI:
Perlu diketahui pada mula-mula bentuk tulisan Mushaf Uthmani yang dahulu itu, ialah tulisan jenis kufi, tidak bertitik dan berbaris, hanya rumah-rumah huruf sahaja yang ada, ia dibaca mengikut kaedah bahasa Arab, tidak juga ada tanda-tanda Juzuk, tidak ada nama surah dan penyelang-penyelang di antara surah dan juzuk juga tidak ada. Pendek kata tidaklah seperti yang ada sekarang ini. Oleh sebab itu bagi orang-orang bukan Arab yang kurang pandai, maka masih lagi kemungkinannya terdapat kesamaran dengan bentuk tulisan itu, umpama huruf (ح) boleh dibaca menjadi huruf (ج) atau huruf (خ). Huruf (س) boleh juga menjadi huruf (ش).
Maka untuk menggelakkan kesamaran itu atas perintah Sayidina Othman, dan supaya memudahkan pembelajaran dan pembacaan Al-Quran, Sayidina Othman mengutus seorang sahabat bersama dengan tiap-tiap naskhah yang dikirimkan ke tempat-tempat yang disebutkan itu. Mereka itu sendiri daripada sahabat-sahabat yang hafaz Al-Quran, misalnya sahabat Abdullah bin As-Sa’ib menjadi pengajar dan pembaca bagi mushaf yang dikirim ke Mekkah, sahabat Zaid bin Ath-Thabit menjadi pengajar dan pembaca mushaf di Madinah. Sahabat Al-Mughirah bin Shaab menjadi pengajar dan pembaca mushaf yang dikirimkan ke Sham, sahabat Abu Abd. Qais pengajar dan pembaca di Basrah.
Demikianlah umat Islam membaca Mushaf menurut kaedah Uthmani yang awal itu selama kira-kira 40 tahun. Tetapi pada tahun 65 hijrah sebagaimana yang disebutkan oleh Abu Ahmad Al-Askari dalam bukunya (Wafiat Al-‘Ayan) pada tahun itu beberapa orang pegawai kerajaan Khalifah Abd. Malik bin Marwan Al-Umawi telah merasa bimbang bahawa kejadian perselisihan dahulu itu akan bermula lagi disebabkan Mushaf Uthmani itu tidak bertitik dan tidak berbaris (ini tentulah terjadi bagi orang yang tidak berapa faham berbahasa Arab) mereka mencadangkan supaya diambil langkah-langkah yang segera dan berkesan bagi dicipta suatu kaedah baharu yang boleh menolong umat Islam mudah membaca Al-Quran dan jauh daripada kesalahan.
Dalam hal itu dua orang Ahli Bahasa dan Ahli Qira’at perlu disebutkan, pertama Ubaidillah bin Zeyad (meninggal tahun 67 hijrah) dan Al-Hujaj bin Yussof As-Saqafi (meninggal tahun 95 hijrah).
Ubaidillah dikatakan telah menambah huruf (Alif) kepada kira-kira seribu perkataan dalam Al-Quran yang asalnya ditulis tanpa Alif misalnya perkataan (قالت) ditulis asalnya
( قلت) sahaja yang boleh mengelirukan pembaca menjadi (قلت) atau ( قلت) ataupun ( قلت) dan (قلت). Dan perkataan (كانت) yang asalnya ditulis tanpa Alif (كنت) yang boleh dibaca keliru menjadi (كنت) atau (كنت) atau (كنت).
Sedangkan Al-Hujaj bin Yussof As-Saqafi dikatakan memperbaiki kira-kira sebelas tempat dalam bacaan. Dengan demikian beberapa banyak kekeliruan telah dapat diperbaiki, walaupun masih terdapat ruang-ruang kesamaran itu.
Pembaikan ejaan Al-Quran itu dibuat lagi kemudian oleh tiga orang Ahli Bahasa dan Qira’at iaitu Abu Al-Aswadi Ad-Duali (namanya Yahya bin Ya’mar – lahir di Basrah tahun 45 hijrah dan meninggal di Marou) semasa beliau menjadi kadi di sana pada tahun 129 hijrah). Beliau membuat beberapa pembaikan dengan mencipta baris satu di atas, di bawah dan di hadapan beserta tanda baris mati.
Baris dan tanda yang dicipta oleh Abu Al-Aswad Ad-Duali ialah satu titik di atas huruf bagi baris satu di atas (Fathah), satu titik di bawah huruf bagi baris satu di bawah (Kasrah) dan satu titik di antara dua huruf bagi baris di depan (Dhammah) dan bagi huruf mati pula ditandakan dengan dua titik di atas huruf.
Seorang lagi ialah murid Abu Al-Aswad Ad-Duali iaitu Nasr bin Asim Al-Laisthi yang menyambung usaha-usaha gurunya.
Kemudian yang ketiga ialah Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidil Azdi (meninggal tahun 175 hijrah) yang mencipta kaedah baharu bagi perkataan bersabdu (shaddah) hamzah (hamzah) tanda-tanda Mad disamping bunyi (الروم) dan (الاشمام) dialah dianggap orang pertama mencipta titik-titik huruf Al-Quran dengan menerangkan kaedah-kaedah serta sebab-sebab titik itu di dalam buku yang khas mengenainya.
Setelah itu disebutkan lagi seorang ulama Qira’at dan Ahli Bahasa yang lain datang sesudah itu iaitu Abu Hatim As-Sazastani (meninggal tahun 248 hijrah) yang mengarang buku mengenai kaedah titik-titik dan bentuk serta resam huruf Al-Quran. Hal membaiki ini dilakukan beberapa waktu sehinggalah kepada kurun ke-3. Maka di masa itulah zaman yang dianggap sebagai zaman kelengkapan ejaan Al-quran. Di masa itulah terdapat berbagai-bagai tanda-tanda tambahan yang diperelok untuk memudahkan bacaan seperti tanda sabdu ( ) bagi huruf bersabdu dan tanda-tanda lain.
Disamping itu Ahli bahasa itu, penulis khat juga turut mengambil daya usaha dan sumbangan memperbaiki bentuk tulisan dan ejaan dalam Al-Quran. Tulisan jenis kufi telah lazim digunakan oleh para penulis (khatat) sehingga kurun ke-4 hijrah. Pada kurun ke-5 tulisan jenis (Nasakh) mulai mengambil tempat, kemudian baharulah bentuk tulisan yang lain.
Di Negara-negara Islam yang lain seperti di Maghribi ada pula bentuk-bentuk tulisan yang tersendiri berbeza sedikit daripada tulisan mushaf-mushaf yang ditulis di Madinah dan di negeri sebelah sini. Tetapi pada dasarnya masih tetap tidak lari daripada khat nasakh dan thulus yang mana kedua-dua inilah yang biasa dipakai dan memudahkan adanya titik dan baris sedangkan khat kufi memang biasa tidak bertitik dan tidak berbaris. Perkara ini berlaku hinggalah kepada zaman sekarang, tidak ada lagi naskhah mushaf khat kufi ditulis pada masa ini. Apabila ada huruf cetak direka pada zaman moden maka usaha-usaha telah dibuat pula mencetak Al-Quran dengan menggunakan huruf cetak biasa, tetapi mencetak Al-Quran yang menggunakan tulisan khat cetak masih tetap berlaku dengan banyaknya.[10]
CABARAN TULISAN JAWI MASA KINI:
Kedudukan pelajaran jawi sebagai salah satu mata pelajaran yang tersendiri adalah sama statusnya dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun pelajaran jawi kemudiannya diserapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Di peringkat sekolah menengah pula, mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam tidak memestikan penggunaan tulisan jawi dalam buku-buku, menjawab soalan-soalan dan nota-nota pelajaran. Tulisan jawi hanya digunakan untuk menulis ayat-ayat Al-Quran Al-Karim dan Hadis. Bahkan kadang-kadang digunakan tulisan rumi untuk mengeja bunyi-bunyi sebutan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis tersebut. Walau bagaimana pun, dengan tertubuhnya sekolah-sekolah Arab dan Agama, tulisan jawi digunakan sebagai sistem bahasa pengantar dalam pengajaran, penulisan dan lain-lain.
Tulisan jawi bagi semua negara melayu disinonimkan sebagai tulisan Agama Islam. Hal ini terjadi kerana kitab Al-Quran dan Hadis semuanya dalam tulisan jawi-Arab. Orang Melayu mampu membaca dan mengeja serta menghayati Al-Quran dan Hadis dengan tulisan tersebut. Dapat dikatakan bahawa penganut Agama Islam yang tidak mengetahui banyak tentang tulisan jawi, mereka tidak dapat menghayati dan membacanya dengan baik. Tidak salah kalau dikatakan bahawa seseorang yang buta jawi (penulisan, pembacaan) juga buta Al-Quran Al-Karim.
Masyarakat Melayu madani sekarang banyak menyimpang dari ajaran-ajaran Agama kerana Al-Quran dan Hadis sudah mula direnggangkan. Soal maruah bangsa dan Agama sudah mula diabaikan. Kebudayaan berlandaskan Agama Islam yang telah diwarisi sejak dahulu lagi dianggap kuno. Senario negative ini dapat dilihat dengan jelas pada masa kini. Golongan remaja mula mendekatkan diri dengan budaya kuning dan menjauhkan diri dalam hal-hal keagamaan. Gejala-gejala sosial dikalangan remaja sudah semakin membimbangkan. Soal halal dan haram sudah mula dianggap remeh-temeh. Penyalahgunaan Dadah, Lepak, Sumbang Mahram dan Tangkap Basah menjadi berita yang sensasi dalam media elektronik dan media cetak. Gejala ini berlaku ramai golongan muda tidak mendampingi Al-Quran Al-Karim dan ternyata masyarakat madani kini memerlukan kemahiran menggunakan tulisan jawi agar agar apa yang tersirat dan tersurat di dalam tulisan jawi itu betul-betul difahami dan dapat dimanfaatkan untuk kepentingan bersama dalam membentuk sebuah masyarakat yang menjadikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

KESIMPULAN:
Selain berfungsi memaparkan identiti agama dan bangsa, tulisan jawi juga secara praktis diperlukan bagi kehidupan beragama Islam dan keperluan menimba pengetahuan tentang Agama Islam. Tulisan jawi tidak dapat dipisahkan dengan Islam dan tidak boleh juga direnggangkan dengan budaya melayu. Malah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku ketua Agama Islam sering memperingatkan rakyat dan penduduk negara ini akan kepentingan tulisan jawi, malah baginda sendiri memberikan perhatian dan sokongan langsung terhadap penggunaan tulisan jawi. Perkara ini dapat kita lihat dalam titah baginda Di Istiadat Menghadap dan Menggunakan Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-42 tahun di Balai Singgahsana, Istana Nurul Iman pada 15 Julai 1988, Baginda bertitah, antaranya:
“ Dalam pada ini, beta ingin mengingatkan usaha ke arah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tidak akan diabaikan. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat dan penduduk di negara ini mengamalkan bahasa Melayu terutama dalam urusan-urusan rasmi menurut peraturan yang ditetapkan termasuklah juga meningkatkan penggunaan tulisan jawi.”

[1] Dibentangkan di Halaqah Tazakkur Sempena Sambutan Hari Guru Jabatan Pengajian Islam Daerah Tutong Tahun 1427H/2006M Pada Hari Isnin, 16hb. Ramadan 1427H bersamaan 9hb Oktober 2006M, Dewan Seri Kenangan, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
[2] Al-Quran Dan Terjemahannya, m.s. 105.
[3] Kertas Kerja Seminar Tahunan Jabatan Bahasa Melayu Dan Linguistik, Tajuk: Brunei Darussalam: Tulisan Jawi tidak boleh diabaikan, oleh Haji Alipudin bin Haji Omarkandi, 2004, m.s. 2.
[4] Tasawuf dan Tarikat Menurut Pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh: Mantan Mufti Kerajaan Brunei
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Dr. Ustaz Awang Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz Rahmatullah Alaihi, m.s. 137.
[5] Kertas Kerja Seminar Peningkatan Dan Penyibaran Tulisan Jawi, Bertajuk: Sejarah dan Perkembangan Tulisan Jawi oleh Awg. Matassim bin Hj Jibah & Awg Matusin bin Omar, 1982, m.s. 9,
[6] Kertas Kerja Seminar Tahunan Jabatan Bahasa Melayu Dan Linguistik, Tajuk: Brunei Darussalam: Tulisan Jawi tidak boleh diabaikan, oleh Haji Alipudin bin Haji Omarkandi, 2004, m.s. 5-6.
[7] Zainut Talib (Bab Toharah dan Solat), oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin, m.s. 85.
[8] Rahsia Al-Fatihah, Ustaz Dato Hj. Ismail Kamus, m.s.47.
[9] Sebahagian Daripada Perbezaan Yang Terdapat Di Antara Mushaf Rasm Uthmani Dan Mushaf Bukan Rasm Uthmani pada masa kini, oleh Yang dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim, m.s. 11.
[10] Buku Kenang-Kenangan sempena Peraduan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan 1991/1411, m.s. 65.

KEHEBATAN ZIKRULLAH


KEHEBATAN ZIKRULLAH

Apabila sebut zikir, segelintir orang mengatakan itu amalan para ustaz, para imam, para ulama dan salafussoleh. Sebenarnya tidak sedemikian. Sebetulnya zikir ini untuk semua peringkat orang Islam tidak kira yang kaya ataupun yang miskin. Begitu juga, fahaman segelintir orang mengatakan zikir ini biasanya dilakukan dengan tasbih di tangan dan duduk di atas sejadah. Inilah antara pandangan manusia tentang zikir. Sebenarnya tidak semestinya begitu.

Zikir ini sebetulnya amat luas skopnya. Menyebut Nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Zikrullah. Mengerjakan Solat Fardhu dan Sunat, Zikrullah. Membaca Al-Quran Al-Karim, Zikrullah. Berdoa untuk memohon hasanah (kebajikan) di Dunia dan hasanah (kebajikan) di Akhirat, merupakan Zikrullah. Menjauhkan diri dari melakukan maksiat dan dosa, Zikrullah. Bekerja untuk menyara keluarga, Zikrullah. Menuntut Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah merupakan Zikrullah dan banyak lagi. Tetapi tidakkah kita terfikir, zikrullah ini memiliki kehebatan dan kelebihan tersendiri, yang mana manusia hanya mampu mengetahui sedikit saja.

Zikrullah ini jika diamalkan sungguh-sungguh oleh seseorang, ia akan mencapai kedamaian dan ketenteraman jiwa. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala:
Tafsirnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Ra’d, ayat 28).

Dan Diriwayatkan dalam Sahih Muslim dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu Anhuma bahawa keduanya menyaksikan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:

لا يقعد قوم يذكرون الله تعالى إلا حفتهم الملائكة وغشيتهم الرحمة ونزلت عليهم السكينة وذكرهم الله تعالى فيمن عنده.

Maksudnya: Tidaklah suatu kaum duduk berkumpul sambil berzikir (mengingati) Allah Subhanahu Wa Ta’ala melainkan mereka itu dikelilingi oleh para malaikat dan diliputi rahmat dan turunlah ketenteraman ke atas diri mereka serta mereka disebut (diingati) Allah di sisi malaikat-malaikatNya.



Kedua-dua Dalil Al-Quran dan Hadis diatas, dapatlah difahami bahawa ingatan kepada Allah itu menimbulkan ketenteraman, dan dengan sendirinya hilanglah segala macam kegelisahan, fikiran kusut, putus asa, ketakutan, kecemasan, keragu-raguan dan dukacita.

Kita kena ingat, ketenteraman hati adalah pokok kesihatan rohani dan jasmani. Tanpa zikrullah, hidup seseorang terumbang-ambing tanpa ada petunjuk dari Rabbul A’lamin. Ingatlah untuk menjadi Insan Rabbani yang mampu menghadapi cabaran dan dugaan hidup di zaman ini, zikrullah jangan dilupai. Walaupun sibuk dan menghadapi kemelut hidup, jadikanlah zikrullah santapan rohani dan amalan harian kita. Kerana orang yang sentiasa membaca zikrullah, Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa bersamanya.

Sepertimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

يقول الله عز وجل أنا عند ظن عبدى وأنا معه حين يذكرنى.
إن ذكرنى فى نفسه ذكرته فى نفسى وإن ذكرنى فى ملأ
ذكرته فى ملأهم خير منهم وإن تقرب منى شبرا تقربت إليه ذراعا
وإن تقرب إلى ذراعا تقربت منه باعا وإن اتانى يمشى اتيته هررولة

Maksudnya: Allah Ta’aa ’Azza Wa Jalla berfirman: Aku berada apabila ada ingatan hamba Ku kepada Ku. Dan Aku bersama-samanya apabila ia mengingati Aku. Kalau ia ingat Aku dalam dirinya, maka Aku ingatkan dia dalam diri Ku. Kalau ia ingatkan Aku itu didalam keadaan ramai-ramai, maka Aku ingatkan dia di dalam keadaan ramai yang lebih baik dari mereka yang ramai itu. Kalau ia menghampirkan diri hanya sejengkal, maka Aku akan menghampirkan diri kepadanya dengan kadar sehasta, jika ia menghampirkan diri sehasta, Aku menghampirkan diri kepadanya kadar sedepa.
(Hadis riwayat Muslim dari Abi Hurairah)

Di dalam hadis ini, dapat difahami bahawa orang berzikir, Allah sentiasa bersamanya. Bukan itu saja, dengan Zikrullah membersihkan hati dari kekotoran dan segala perkara yang merosakkan hati. Hati didiami oleh malaikat bermakna segala hawa nafsu bertunjang di hati dapat dikawal oleh malaikat. Manakala seseorang yang lalai dari mengingati Allah, hatinya akan menjadi tempat kediaman syaitan. Hatinya mudah diwas-waskan oleh syaitan dan membisikkan kepadanya supaya mengerjakan maksiat.

Sabda Rasulullah Sallahu alaihi Wasallam:

ما من آدمي إلا لقلبه بيتان: في أحدهما الملك وفي الآخر الشيطان، فإذا ذكر الله خنس، وإذا لم يذكر الله وضع الشيطان منقاره في قلبه ووسوس له.




Maksudnya: Pada hati anak Adam terdapat dua kediaman. Salah satunya didiami oleh malaikat dan yang satu lagi didiami oleh syaitan. Apabila dia mengingati Allah, syaitan akan terpukul dan apabila tidak mengingati Allah, syaitan akan meletakkan patokan di dalam hati lalu mewas-waskannya.
(Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Disamping dijauhkan diri dari was-was syaitan, orang berzikir kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dijanjikan keampunan dan disediakan pahala yang besar, sebagaimana Firman Allah Subhanhu Wa Ta’ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. ( Surah Al-Ahzab, ayat 35).


FAEDAH-FAEDAH SEDEKAH

Seperti diketahui membelanjakan harta sangat dituntut di dalam Agama Islam, lebih-lebih lagi ia bertujuan untuk memperdekatkan diri kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mendapat faedah dan kebaikan yang tidak disangkanya, antaranya dijauhi dari bala bencana.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam :
عن أنس بن مالك رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
" باكروا بالصدقة، فإن البلاء لا يتخطّى الصدقة "
(رواه الإمام البيهقى)
Maksudnya: Dari Anas bin Malik Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: “ Segeralah kamu bersedekah kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah.”(Hadis riwayat Imam Baihaqi).

Huraian Hadis:
Di awal hadis ini, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam menerangkan bahawa sedekah hendaklah dikeluarkan dengan segera. Makna segera pula bermaksud cepat (tidak bertangguh).

Jadi Apabila Rasulullahu Salahi Wasallam menyebutkan demikian bermaksud Umat Islam hendaklah bersiap-siap untuk membuat kebaikan dan segera meninggalkan kemaksiatan. Kerana kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala tiada siapa yang mengetahui dan selaku hamba Allah yang Daif tidak dapat meneka bila berlaku dan di mana bala bencana diturunkan. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang Maha Tahu dan Maha Berkuasa.


Oleh yang demikian, dalam hadis ini bukan saja mengkhabarkan tentang faedah sedekah itu sendiri, akan tetapi ia mengajar kepada Umat Nabi Muhammad tentang bersegera dalam membuat kebajikan seperti Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
Tafsirnya: Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luaasnya langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Surah Ali ‘Imran, ayat 133).





Sesungguhnya sedekah yang ikhlas bukan sahaja menjauhkan bala bencana tetapi mendapat pahala yang berlipat-kali ganda di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
Tafsirnya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.(Surah Al-Baqarah,ayat 261).

1. Maksud sedekah:
Istilah sedekah bermaksud apa-apa yang dikeluarkan seseorang daripada hartanya bagi tujuan dekatkan diri kepada Allah S.W.T. Kalimah sedekah juga asalnya dirujuk kepada pemberian harta secara sukarela, yang di dalam bahasa Arab disebut tatawwu’an. Bagaimanapun di dalam Al-Quran, istilah sedekah juga digunakan bagi seseorang yang mengeluarkan harta secara wajib iaitu zakat. Dalilnya di dalam Surah At-Taubah ayat 60, Allah berfirman:


yang tafsirnya:(Sesungguhnya sedekah (zakat-zakat) itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.)



Jadi, maksud sedekah adalah luas, iaitu, sebarang harta yang ingin diberikan kepada seseorang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T atau mendapatkan pahala.

Merujuk kepada kebanyakan hadis pula, sedekah tidak hanya tertumpu kepada harta benda yang dikeluarkan kepada orang lain. Tetapi termasuk segala amal atau perbuatan (tenaga) yang berupa kebajikan adalah juga sedekah.


Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
عن ابى ذرّ الغفارى رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: على كل نفس فى كل يوم طلعت فيه الشمس صدقة منه على نفسه قلت يا رسول الله من أين أتصدّق وليس لنا اموالنا؟ قال: لأن من ابواب الصدقة: التكبير وسبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله، وأستغفر الله، وتأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر، وتعزل الشوك عن طريق الناس والعظم والحجر وتهدى الأعمى وتسمع الأصم والأبكم حتى يفقه، وتدل المستدل على حاجة له قد علمت مكانها، وتسعى بشدة ساقيك الى اللهفان المستغيث وترفع بشدة ذراعيك مع الضعيف كل ذلك من ابواب الصدقة منك على نفسك ولك فى جماع زوجتك أجر. (رواه الامام أحمد).
Maksudnya: Dari Abu Zar Al Ghifari Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Pada setiap hari yang disinar oleh cahaya matahari, diwajibkan bagi tiap-tiap diri untuk bersedekah untuk dirinya.” Lalu saya tanyakan: “Ya Rasulullah, dari mana saya peroleh yang akan disedekahkan itu, padahal kami tidak mempunyai harta?. Sabda Rasulullah : “Bahawa di antara pintu-pintu sedekah ialah membaca takbir, subhanallah, alhamdulilah, laa ilaha illallah, dan astaghfirullah. Juga bila engkau menyuruh berbuat baik dan mencegah yang jahat, menghindarkan duri, tulang dan batu dari tengah jalan, menuntun orang buta, mengajari orang tuli dan bisu hingga mengerti, menunjukkan orang yang menunjukkan orang yang menanyakan sesuatu keperluan yang engkau ketahui tempatnya, dengan kekuatan betis berjalan membantu orang yang malang meminta tolong, dan dengan kekuatan tangan mengangkat barang-barang orang lemah, semua itu merupakan pintu-pintu sedekah, yakni dari engkau untuk engkau sendiri. Juga dalam jima’(mencampuri) isteri engkau akan beroleh pahala.” (Riwayat Imam Ahmad).


Pendekata, sedekah boleh berbentuk material dan bukan material. Pemberian (material) yang sedikit walaupun sebiji tamar atau sebuah senyuman (bukan material), dikira sebagai sedekah yang diberi ganjaran pahala. Jadi di dalam Islam, amalan bersedekah boleh dilakukan oleh golongan yang berharta mahupun tidak berharta.

2. Faedah-faedah sedekah:
Setelah mengetahui pengertian sedekah, maka perlulah diketahui selanjutnya tentang faedah-faedah bersedekah baik bagi kebaikan di dunia mahupun di akhirat.

2.1 Faedah Di Dunia:
Di antara faedah-faedah bersedekah yang diperolehi di dunia
1)memanjangkan umur dan mencegah dari kematian yang buruk, sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
عن عمرو بن عوف رضى اللع عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إنّ صدقة المسلم تزيد فى العمر وتمنع ميتة السوء، ويذهب الله بها الكبر والفخر. (رواه الامام الطبرانى)
Maksudnya:
Dari Amru bin Auf r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda: Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaanburuk dan Allah Ta’ala pula menghapuskan dengan sedekahitu sikap sombong, takabur dan membanggakan diri. (Riwayat At-Tabrani).

2) memurahkan rezeki, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
عن جابر بن عبدالله رضى الله عنهما قال : خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقال: يا ايها الناس توبوا الى الله قبل ان تموتوا، وبادروا بالاعمال الصالحة قبل ان تشغلوا وصلوا الذى بينكم وبين ربكم لكثرة ذكركم له وكثرة الصدقة فى السرّ والعلانية: ترزقوا وتنصروا وتجبروا. (رواه ابن ماجه).
Maksudnya: Dari Jabir bin Abdullah Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam berucap kepada kami, maka sabdanya: “ Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati, dan segeralah mengerjakan amal-amal soleh sebelum kamu sibuk, dan hubungilah apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatiNya, dan banyakkanlah bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (menentang musuh) dan digantikan apa yang kamu termakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Riwayat Ibnu Majah).

3. Menyembuhkan penyakit. Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " حصًنوا اموالكم بالزكاة وداواو مرضاكم بالصدقة واعدوا للبلاء الدعاء"
(رواه الطبرانى).
Maksudnya:
Peliharalah atau selamatkanlah harta benda kamu dengan berzakat dan ubatilah orang sakit kamu dengan bersedekah dan bersedialah bagi menghadapi bala itu dengan berdoa. (Hadis riwayat Al-Imam At-Tabrani).

2.2 Faedah di Akhirat:
Di antara faedah- faedah diakhirat pula:
1)jadi pendinding dari api neraka di akhirat kelak menurut sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. :
عن ميمونة بنت سعد، انًها قالت، يا رسول الله، افتنا عن الصدقة ؟ فقال: إنها حجاب من النار
لمن احتسبها يبتغى بها وجه الله عزُوجل. (رواه الطبران)
Dari Maimunah binti Saad bahawa beliau bertanya, katanya: Ya Rasulullah, terangkanlah kepada kami tentang (faedah dan kelebihan) sedekah? Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya sedekah itu menjadi pendinding dari api neraka bgi orang yang mengharapkan pahalanya serta memberikannya dengan ikhlas kerana Allah Azzawajalla semata-mata.”




3. Hikmah-hikmah bersedekah:

Di antara hikmah-hikmah bersedekah ialah mengikis sifat bakhil, dan membentuk seseorang bersifat dermawan. Melalui sedekah juga silaturahim terjalin, mengeratkan hubungan persaudaraan dan hubungan kemanusiaan.
Amalan sedekah dapat menjauhkan kita daripada api neraka di akhirat kelak. Satu sedekah dikira sebagai satu kebaikan yang nilai pahalanya sekurang-kurangnya sepuluh, dan boleh mencapai 70. Jadi bersedekah adalah satu cara manusia mengumpul banyak pahala.
Bersedekah juga mungkin akan menimbulkan keinsafan kepada orang yang ditolong, menjadi penderma apabila kehidupan mereka berubah menjadi lebih senang. Tambahan pula apabila pihak yang bersedekah memberi dengan kata-kata nasihat dan bermotivasi untuk mereka meningkatkan taraf hidup.



Kesimpulan:

Demikianlah faedah-faedah sedekah yang dapat dihuraikan, selain menjauhkan bala bagi sipembuatnya, sedekah yang ikhlas mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga menutup 70 pintu kejahatan sebagaimana disebutkan dalam Kitab Al-Jauharul-Mauhub Wa Munabbihatul-Qulub karangan Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
الصدقة تسدَ سبعين بابا من السوء
Maksudnya:
“Bahawa sedekah itu menutup 70 pintu kejahatan.”

Sesungguhnya bersedekah bukanlah amalan yang sia-sia dan mendatangkan kerugian, tetapi sebaliknya ia akan menambahkan rezeki, kerana sesuatu yang kita sedekahkan dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala, akan Allah Subhanahu Wa Ta’ala gantikan dengan rezeki yang berlipat-ganda.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (Surah Al-Hadid,ayat 18)

PERANAN DOA DALAM KEHIDUPAN


PERANAN DOA DALAM KEHIDUPAN

Ramai yang beranggapan bahawa berdoa itu hanya merupakan suatu perkara yang biasa sahaja. Bahkan sebilangan mereka menganggap berdoa itu tidak mempunyai kelebihan atau fadilatnya. Sebab itu timbullah sikap mahu berdoa pun boleh dan tidak berdoa pun tidak mengapa.

Sebenarnya anggapan seperti itu adalah sangat keliru dan tidak sesuai dengan pandangan Islam yang sebenar. Walaupun berdoa nampak biasa, namun dari segi lain doa mempunyai hikmah dan suatu kekuatan ghaib yang boleh merubah atau merombak sesuatu secara yang luar biasa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Ibnu Umar Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Doa itu memberi manfaat kepada yang diturunkan dan kepada yang belum diturunkan, maka hendaklah kamu hamba-hamba Allah berdoa”.

Dengan banyak berdoa dan berserah diri kepada Allah dengan beristirja’ (mengharap-harap kepada-Nya) dan sentiasa berusaha, maka hal ini akan dapat meringankan musibah, kesusahan atau bala yang menimpa seseorang, dan membuatnya rela bersabar dalam menghadapinya. Dengan demikian ia akan memperolehi keredaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sedangkan manfaat (faedah) doa dalam menghadang musibah yang akan terjadi kemudiaan ertinya dapat meringankan dan melembutkan (menjinakkannya) seperti yang tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“ Musibah datang menimpa, tetapi ia dihadang oleh sedekah, keduanya saling menolak.”
Dengan kata lain, ketika musibah turun, maka sedekah mencegahnya, akhirnya musibah turun dalam bentuk sedikit, ringan dan kecil.”

Disamping itu, berdoa itu mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap perkembangan kejiwaan. Berdoa membuatkan jiwa kuat serta tenteram, menambahkan semangat berjuang dan boleh merawat penyakit menurut pandangan Barat.

Perkara ini diakui sendiri oleh Dr. Alex Carrel dalam bukunya yang bertajuk Man The Unknown (Manusia Yang Tidak Dikenali) menyebutkan:
“ Doa adalah bentuk tenaga yang sangat kuat yang dapat dilaksanakan oleh manusia. Tenaga itu dalam kenyataannya tidak ubahnya seperti graviti. Sebagai seorang pakar jiwa, saya mempersaksikan bahawa pesakit-pesakit yang tidak dapat diubati dengan segala macam cara perawatan, dapat sembuh dengan tenaga tenteram yang terkandung dalam doa. Doa adalah seumpama radium yang mengandungi sumber tenaga yang bercahaya dan membangunkan. Di dalam doa, manusia berusaha menambah tenaganya yang terbatas dengan jalan berpaling (menuju) pada sumber tenaga yang tidak ada batasnya. Apabila kita berdoa, kita berhubungan dengan tenaga dorong yang menggerakkan alam semesta. Kita berdoa supaya sebahagian dari kekuatan itu dicurahkan untuk keperluan kita.

Hanya dengan cara berdoa, kekurangan insani kita diisi dan setelah bangun lalu terasa kuat dan sihat. Setiap kali kita berdoa dengan khusyuk kepada Tuhan, maka rohani dan jasmani kita terasa berubah pada keadaan yang lebih baik.”

Pendekata, pengaruh doa amat luas sekali, di mana berdoa itulah yang mendorong manusia untuk mencapai suatu cita-citanya, mengatasi segala macam aneka bentuk kesulitan yang merintangi di jalan kehidupan yang dilaluinya.

Kata-kata doa yang diucapkan dan lubuk hati dengan penuh khusyuk yang hanya dipohonkan (ditujukan) ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Doa diibaratkan sebagai radio aktif yang mengandungi sumber kuasa (tenaga) yang bercahaya dan membangunkan. Di dalam diri manusia apabila ia sedang berdoa bererti manusia itu berusaha untuk menambahkan tenaganya yang terbatas dengan jalan kembali kepada ’Sumber Tenaga’ yang tidak ada batasnya itu.

Apabila manusia berdoa maka manusia berhubung dengan tenaga penggerak yang mengerakkan alam semesta, manusia berdoa supaya sebahagian daripada kekuatan itu dicurahkan untuk keperluan manusia. Kerana itu, doa tetap dapat membantu serta menolong kita lebih banyak daripada yang kita perlukan.

Ingatlah, berdoa merupakan fitrah manusia, ianya ialah satu hajat rohaniah yang diperlukan dalam kehidupan manusia itu sendiri, lebih-lebih lagi ketika ditimpa musibah kesulitan dan lain-lain, tetapi bukanlah bererti berdoa itu hanya waktu ditimpa kesulitan atau kesusahan sahaja, bahkan hendaklah sentiasa diucapkan baik waktu susah mahupun di waktu senang ibarat aliran darah yang mengalir dan denyutan nadi yang mengerakkan seluruh tubuh badan kita.

Oleh itu perbanyakkanlah doa, kerana doa itu dapat mendekatkan diri dan mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, disertai dengan hati yang tulus ikhlas, khusyuk dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. Ini kerana doa itu, bukanlah sekadar hanya menyampaikan permohonan dan keinginan yang terkandung di dalam hati ke Hadrat Ilahi. Tetapi peranannya lebih dari itu, perkara ini dapat difahami menerusi kata-kata Ibnu Taimiyah Rahimahullah dalam Al-Fatawanya 8/193: ” Doa itu sebagai satu penyebab yang boleh menolak bala. Jika doa lebih kuat darinya maka ia akan mendorongnya, dan jika penyebab bala yang lebih kuat maka ia akan mengusir (mengalahkan) doa. Kerana itu diperintahkan ketika gerhana dan bencana besar lain untuk solat, berdoa, beristighfar, sedekah dan memerdekakan hamba”.

AMANAH MEMBENTUK JIWA ORANG MUSLIM

AMANAH MEMBENTUK JIWA ORANG MUSLIM

Sesungguhnya Agama Islam adalah satu Agama yang syumul (Ad-deen yang paling sempurna), Islam bukan setakat Ibadah sahaja, akan tetapi Islam adalah lebih luas lagi skopnya. Ajarannya meliputi semua aspek kehidupan. Bukan sahaja meliputi dari segi Ibadah, Kepercayaan, Hukum-Hakam dan Kemasyarakatan. Tetapi ia juga merangkumi Soal Akhlak atau Budi Pekerti.

Sepertimana Sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam yang diriwayatkan Al-Imam Ahmad dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu yang bermaksud: ‘‘Sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi dari Abi Dzar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”

Dari kedua-dua hadis itu, menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menekankan Agama itu ialah Akhlak yang mulia. Ia bukan perkara yang dianggap remeh-temeh, tetapi sebenarnya ia adalah soal yang sangat penting dalam pandangan Islam. Ini kerana dalam kehidupan manusia, Akhlak itu dapat diibaratkan seperti bunga dalam sebuah taman. Bagaimana pun luas dan indahnya, sebuah taman, tetapi kalau tidak dihiasi dengan bunga-bungaan, maka taman itu tidak jauh seperti tanah perkuburan.

Begitu juga dengan akhlak, ia umpama perhiasan bagi peribadi seseorang itu. Jika ia mempunyai akhlak yang buruk dan perangai yang jahat, ia umpama mempunyai wajah yang cantik bentuknya, tetapi dipipinya terguris memanjang tanda bekas luka. Inilah keadaan yang berlaku dalam masyarakat, baik-buruk dan puji-keji diambil kira dan menjadi ukuran sejauhmana mulia dan jelik akhlak seseorang itu. Dalam Ilmu Tasawuf, ia dikenali dengan istilah Al-Akhlak Al-Mamduh dan Al-Akhlak Al-Mazmum. Al-Akhlak Al-Mamduh itu ialah akhlak yang terpuji contohnya: Tawaduk, Sabar, Syukur, Ikhlas, Jujur, Amanah dan sebagainya. Manakala Al-Akhlak Al-Mazmum adalah akhlak yang terkeji seperti: Ujub, Sombong, Marah, Kufur Nikmat, Riya’, Khianat dan sebagainya.

Semua itu, pembahagian akhlak menurut pandangan ulama-ulama Tasawuf. Selanjutnya, mari kita bincangkan pula dengan salah satu Akhlak yang terpuji, sepatutnya dimiliki oleh semua orang iaitu Amanah. Selain menjadi sifat wajib bagi Para Rasul, ia juga merupakan salah satu Akhlak yang dapat mentarbiah dan membentuk jiwa orang Islam, menjadi orang Muflihon (orang-orang yang berjaya) di Dunia dan di Akhirat di dalam semua aspek kehidupan.

Ini kerana, jiwa itu adalah merupakan pusat yang menyebabkan terjadinya sesuatu kelakuan, perbuatan atau tindakan tingkah laku. Jadi apabila jiwa itu baik, pastilah amalam dan tindakan yang ditimbulkannya itu baik. Demikian pula apabila jiwa itu jahat, tindakan kelakuan yang timbul itu jahat pula.




Tepat sekali dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan. Tetapi apabila ia buruk (rosak) buruk (rosak) pulalah seluruh badan. Ingatlah, ia adalah hati (jiwa).”
(Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari dan Muslim).

Begitu juga dengan sifat Amanah, ia berkait-rapat dengan sikap dan tindak-tanduk seseorang. Kalaulah seseorang itu terbiasa dengan sifat ini, Insya Allah semua perkara yang dikerjakan atau yang diamanahkan akan dibuat dengan jujur dan tekun tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau imbalan. Tetapi jika Amanah diabaikan, maka balasannya ialah neraka dan ia tergolong dalam orang-orang munafik.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (Surah An-Nisaa’,ayat 145).

Manakala itu, pengabaian terhadap Amanah ini pernah digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam sewaktu baginda Isra’ dan Mi’raj:
Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menyaksikan seorang lelaki yang mengumpulkan seikat kayu api yang besar. Walaupun ia tidak mampu memikulnya, tetapi yang menghairankan ia terus sahaja menambah bilangan kayu api tersebut. Melihat keadaan ini, Rasulullah bertanya kepada Jibril Alaihissalam menjawab: “ Inilah gambaran lelaki dari umatmu yang sanggup menanggung Amanah tersebut tetapi ia tetap mahu terus memikulnya.”

Dari itu, setiap insan mestilah menyedari bahwa ia sentiasa memikul Amanah, baik Amanah pada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Rasul, diri sendiri, keluarga, negara dan Agama. Apabila semua ini terlaksana, Insya Allah Negara kita tidak akan mendengar isu penderaan terhadap kanak-kanak, pengabaian terhadap pendidikan anak-anak, gejala sosial, rasuah, pecah Amanah, mengedar wang palsu, menyalahgunakan kuasa, membocorkan rahsia yang diamanahkan, menyebarkan Ajaran-Ajaran yang bertentangan dan sebagainya.

Begitu juga pemilihan pekerja, jika pekerja itu dipilih dari kalangan ahli keluarga, itu pun termasuk dalam mengkhianati Amanah.
Dari Ibnu Abbas Radiallahu Anhuma ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Barangsiapa mengambil seseorang untuk bekerja disebuah jabatan kerana ada hubungan
kekeluargaan, padahal ada orang lain yang lebih disukai oleh Allah daripadanya, maka sesungguhnya ia telah berlaku khianat kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada orang Mukmin.”
(Hadis Riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Semua contoh yang sudah diperjelaskan diatas, perlu difahami dan diambil perhatian. Ia bukan bahan untuk dipandang atau didengar sahaja apabila berlaku di dalam masyarakat kita. Tetapi jadikanlah ia sebagi panduan hidup serta bahan pemikiran untuk kita semua. Apa yang penting, apabila seorang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang beriman nescaya tidak akan berlaku khianat terhadap apa-apa saja yang diamanahkan kepadanya.




Jika sifat Amanah sudah tidak ada lagi dalam diri bermaksud iman juga tidak ada maksudnya iman tidak sempurna, maka dengan mudah orang yang tidak Amanah menyerahkan kuasa dan tanggungjawab mereka kepada orang yang jahil dan tidak berkelayakan menyelesaikan sesuatu urusan itu. Jika ini berlaku inilah anatara tanda-tanda dunia ini sudah hampir kiamat dan mengalami malapetaka dan kehancuran.

Sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud:
“ Seorang Arab Badwi bertanya: Bilakah hari kiamat?, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam lalu menjawab: Apabila Amanah diabaikan maka tunggulah kiamat. Orang itu bertanya lagi: Bagaimana hilangnya Amanat itu, Ya Rasulullah? Nabi Muhamad Sallallahu Alahi Wasallam pun menjawab: “ Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah sajalah masa kehancurannya.”
(Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari).

Tegasnya sifat Amanah adalah sifat batin yang tertanam dalam jiwa seseorang. Darinya terbentuk dan lahirlah sifat bertanggungjawab dan berlaku jujur terhadap apa-apa saja yang diamanahkan kepadanya. Tidak kira ia merupakan suatu kedudukan, pangkat, jawatan atau tugas dan sebagainya. Ingatlah, semua itu merupakan ujian Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap hambanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dianya meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu terhadap pa yang diberikan-Nya kepadamu.” (surah Al-An’aam, ayat 165).

Kesimpulannya, orang yang amanah bukan sahaja mencontohi sifat Nabi malah mereka dimurahkan rezeki dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya orang yang khianat tergolong sebagai orang munafik dan membawa kefakiran.

Sepertimana, sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud:
“ Amanah membawa rezeki dan khianat membawa kefakiran.”
(Hadis Riwayat Ad-Dailami).

4B




Pada zaman serba moden ini memang ramai pemimpin di seluruh dunia memperkatakan belia sebagai tonggak negara pada masa hadapan. Ini disebabkan belialah yang akan mengambil alih tempat mereka dalam sama-sama membantu mentadbir negara ke arah pembangunan yang lebih cerah dan mantap. Siapa belia dan mengapa golongan ini sangat mustahak dalam masyarakat dan negara, akan dihuraikan dalam urutan selanjutnya dalam makalah ini. Daripada segi bahasa, belia bermaksud muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.

Belia umpama berlian. Mereka merupakan asset mahal bagi mana-mana negara. Kepentingan mereka kepada negara amatlah besar dalam bidang pembangunan. Daripada segi ekonomi, belia memainkan peranan yang amat penting kerana mereka dianggap sumber tenaga yang berguna dalam mengerakkan pembangunan, baik dalam bidang perindustrian mahupun bidang perdagangan kerana mereka inilah yang berupaya menyumbangkan tenaga untuk pembangunan masa depan. Justeru itu kewujudan mereka memberi jaminan sumber tenaga yang berpanjangan apabila mereka ini sudah berkelayakan menjawat tugas yang penting atau apabila tiba masanya mereka mengharungi alam pekerjaan. Daripada segi alam kajian manusia, mereka ini sangat penting sebagai ejen utama dalam meneruskan atau memperkembangkan generasi yang akan datang.

Belia adalah asset yang paling penting kepada negara kerana semua tugas akan diserahkan kepada mereka apabila tiba masanya nanti. Sehubungan dengan itu untuk menjadikan belia ini berkelayakan sebagai pemimpin yang berkaliber, faktor 4B mesti disediakan dan disematkan ke dalam jiwa belia. 4B itu ialah berilmu, berakhlak, beradab dan bertakwa. Dengan mempunyai keempat-empat faktor tadi, Insya Allah belia di negara kita akan dapat melakukan perubahan yang membawa kemajuan kepada negara ini untuk masa kini dan masa akan datang.

Belia Berilmu:

Belia berilmu ialah belia yang menggunakan akal fikirannya ke jalan yang berkebajikan dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian yang baik dan positif. Untuk menjadi belia berilmu, para belia hendaklah mencari ilmu di mana-mana sahaja institusi pengajian tinggi samada dalam negeri dan luar negeri. Perlu diketahui, bahawa menuntut ilmu itu satu kefardhuan ke atas kita.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “ Menuntut ilmu adalah fardhu bagi tiap-tiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan. (Riwayat Ibnu Abdul barr).

Belia yang berilmu akan disanjung oleh masyarakat sekelilingnya dan ini akan menambahkan lagi semangat untuk berbakti dan menunjukkan taat setia kita kepada keluarga dan negara. Ilmu pengetahuan sangat berguna dan ia merupakan ibadat.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Aliahi Wasallam yang diriwayatkan Ibnu Abdul barr yang maksudnya:

“ Pelajarilah ilmu kerana mempelajari ilmu kerana Allah itu bererti takut kepada Allah. Mencari ilmu itu ibadat – bermuzakarah dalam ilmu itu tasbih – mengkaji ilmu itu jihad – mengajarkannya kepada orang yang tidak tahu itu satu sedekah – mengusahakannya kepada ahli-ahli ilmu satu (bakti kepada Allah) kerana ilmu itu tanda bagi halal dan haram, dan cahaya bagi jalan ahli syurga. Dialah juga penghibur di waktu bersendirian. Petunjuk dalam masa suka dan masa duka. Senjata terhadap musuh, perhiasan terhadap kawan teman, dengannya Allah mengangkatkan darjat sesuatu bangsa, lalu menjadikan mereka para pemimpin terhormat dalam perkara kebajikan yang diikuti setiap jejak langkah mereka, perbuatan mereka dijadikan contoh tauladan, dan pendapat mereka dijadikan pendapat ramai.” ( 1/59 Tarhib Wat-Targhib)

Dengan adanya ilmu yang tinggi kita dapat membuat segala kerja yang susah dengan senang sahaja, dan dapat pula menjamin kehidupan yang cerah dan senang pada masa hadapan. Jika mahu Negara kita terus maju dalam semua bidang kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang jurusannya untuk kepentingan negara.

Mencari ilmu di negara kita ini bukanlah satu masalah kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa peka dalam memberi pembelajaran kepada anak-anak dan belia tempatan. Sekolah didirikan di merata tempat dan sambutan orang ramai amat mengalakkan. Semuanya ini adalah kerana mereka menganggap ilmu pengetahuan yang ada di rumah tidak mencukupi untuk memberi pengalaman dan pengetahuan kepada anak-anak mereka, lagipun mereka semua kebanyakkannya sibuk dengan pekerjaan sama ada di pejabat mahupun di rumah. Lantas mereka mengambil langkah dengan menyekolahkan anak mereka semenjak anak-anak berumur dalam dua tahun setengah atau tiga tahun agar mereka tidak jemu mencari ilmu dan anak-anak kecil ini sebenarnya mudah menerima pelajaran.

Belia yang berilmu akan tampil ke hadapan untuk membantu memajukan negara. Mereka akan tampil dengan pelbagai ilmu yang telah diperolehi. Belia yang berkelulusan Ugama umpamanya Jurusan Syariah akan tampil sebagai Hakim Syarie atau Peguam Syarie, manakala yang berkelulusan dalam bidang Undang-Undang Sivil akan menggunakan pengetahuan mereka dalam menegakkan keadilan dan membanteras jenayah agar negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan harmoni. Bagi belia yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang elektronik atau saintifik akan menggantikan pekerja asing yang berkhidmat di negara ini. Jikalau belia berilmu, kesihatan akan sentiasa terjaga kerana mereka sudah tahu cara untuk menjaga badan dan kesihatan dengan bersenam pada sebelah pagi atau petang ataupun kedua-duanya sekali, disamping itu pula pandai meluangkan dan membahagikan masa yang amat berharga itu.

Jikalau mereka ini meningkat dewasa, segala ilmu yang dipelajari pada zaman belia akan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya. Dengan ini pada masa mendatang negara kita akan pesat membangun dengan kadar pertumbuhan yang membanggakan kerana adanya manusia yang berilmu menunjukkan jalan kepada negara kita untuk menuju puncak kejayaan.

Belia Berakhlak:

Belia pada masa ini sungguh berbeza daripada belia pada zaman tiga puluh tahun dahulu dalam pelbagai segi. Perbezaan ini sangat ketara dan tidak lagi tersembunyi di kalangan belia kita zaman serba moden ini. Manusia yang berakhlak adalah insan yang mulia, tetapi jika sebaliknya tentulah akan menimbulkan beberapa perkara sampingan yang jikalau tidak dikawal akan menjadi satu perkara yang serius dan akan mendatangkan kemudaratan kepada bangsa dan negara.

Sebagai contoh tabiat merokok, seperti kita ketahui siperokok yang terbiasa dengan rokok akan menjejaskan kesihatan dirinya dan orang lain. Kerana bahayanya ini, maka para ulama menghukumkan merokok sebagai haram. Disamping itu, apabila kita berada di sisi si-perokok, kita bukan saja tersedut asapnya tapi baunya melekat ke baju dan badan. Bukan itu saja, menurut kajian di Malaysia, kira-kira 99 peratus penagihan dadah bermula dengan merokok. Kalau kita lihat sepintas lalu, mungkin ada yang berpendapat itu negeri orang, buat apa sibuk-sibuk di negeri sendiri belum lagi kedengaran apa-apa. Sebenarnya orang sebegini adalah orang yang mengamalkan sifat ‘malasku ingau’ dan syok sendiri. Kita bukan menjaga tepi kain orang tetapi kita ingin menjaga belia supaya jangan terpengaruh dengan gejala ini.

Bukan itu saja, gejala keruntuhan akhlak dan gejala-gejala seperti belia yang mengabaikan ajaran Islam, suka berpoya-poya dan mengamalkan budaya rock, disko, lepak, penyalahgunaan dadah, syabu, hubungan seks bebas dan sebagainya berleluasa terutama dikalangan remaja dan belia sehingga ke tahap yang membimbangkan. Ini menunjukkan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam terutama sekali soal akhlak ini adalah cair dan longgar.

Mengenai akhlak ini. Al-Imam Ahmad meriwayatkan dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “ Sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”(Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Kesempurnaan penghayatan Islam tidak akan tercapai jika akhlak diabaikan kerana penyempurnaan akhlak adalah di antara tugas utama baginda diutus.

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi dari Abi Zar Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “ Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”
(Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Demikian jelaslah oleh baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bahawa agama itu ialah akhlak mulia, dengan demikian amatlah tepat apa yang ditegaskan oleh Ibnu Al-Qayyim bahawa: “ Ad-Din (agama Islam) itu seluruhnya adalah akhlak, sesiapa yang menambahkan agamanya”, yakni penambahan penghayatan agama Islam. Ibnu Abbas pula menegaskan bahawa, “ setiap bangunan itu ada asasnya dan asas Islam ialah akhlak yang mulia.”

Perlu dingat, sesiapa yang ingin dihormati serta disegani, hidup bahagia dan sempurna hendaklah mempunyai akhlak yang mulia. Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebaikan, malah ia penting dalam membina kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Oleh yang demikian, akhlak yang terpuji hendaklah ada dalam diri setiap individu dalam setiap masa dan keadaan. Sifat jujur, amanah, lemah lembut, hormat kepada orang tua, suka menolong orang, sabar dan sebagainya adalah tuntutan Islam dan sifat yang keji seperti sombong, pemarah, membesar diri, suka membuat fitnah, gila pangkat dan harta, hasad dengki dan sebagainya adalah wajib dihindari dan dijauhi.

Belia Beradab:

Untuk menjadikan negara kita pada masa mendatang menjadi lebih selamat, Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam memberi ilmu pengetahuan mengenai adab dan tingkah laku yang terpuji kepada belia. Jikalau mereka gagal, ini bermakna masa depan anak-anak mereka akan musnah, dan sekaligus harapan negara juga akan turut hancur berkecai andainya para belia tidak mepunyai nilai hati yang mulia dan adab yang suci, luhur dan bersih. Ibu bapa mesti menekankan betapa pentingnya mempunyai adab yang mulia. Oleh itu dalam rangka kerja menyerapkan nilai adab yang mulia bangsa Melayu ke dalam jiwa anak-anak mereka hendaklah bermula semasa mereka masih kecil lagi agar adab itu sentiasa mereka hayati dan diingati sepanjang hayat mereka. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Jikalau belia kita sekarang kurang hormat kepada orang tua, nescaya generasi belia yang akan datang lebih dahsyat daripada yang ada sekarang ini. Untuk menghindari semua ini daripada terjadi kita semua mestilah berganding bahu dalam memberikan didikan dan ajaran yang sempurna mengenai kepentingan adab dalam diri belia.

Jikalau belia beradab dan bersopan serta penyayang menjadi pemimpin pada masa hadapan, nescaya rakan sejawatnya ataupun staf di bawahnya akan menghormatinya. Jikalau kita menghormati orang, pasti kita juga akan dihormati. Salah satu cabang adab ialah berbudi bahasa. Belia mesti tahu cara yang paling sesuai untuk berkomunikasi dengan orang lain, misalnya dengan orang tua ataupun dengan kalangan yang berpangkat tinggi, agar cara komunikasi tersebut dalam suasana yang selesa dan tenteram. Jikalau sifat budi bahasa ini hilang, perkara kecil yang tersilap dilakukan akan menjadikan hal tersebut pada perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan. Misalnya sahaja sewaktu memandu di jalan raya, akan ada kemalangan yang terjadi kerana ada di antara pemandu yang tidak menghiraukan sesama pemandu, dan ada juga yang tidak pandai bertimbang rasa serta masing-masing hanya mementingkan diri sendiri. Sepatutnya sikap saling memahami mestilah dipupuk agar hubungan silaturrahim akan sentiasa berkekalan.

Belia Bertakwa:

Sebenarnya sifat takwa adalah sifat orang beriman. Orang beriman apabila disebut nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala gementarlah jiwa serta bertambahlah takwa dan iman mereka.

Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah Al-Anfaal, ayat 2).

Secara umum, taqwa dapat diertikan sebagai patuh kepada segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Menurut syarak, taqwa bererti menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah-Nya, taat kepada-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta menjauhi perbuatan maksiat.

Para ahli tasawuf mengertikan taqwa ialah membentengi diri dari segala sesuatu yang melibatkan diri kepada dosa.

Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa taqwa berasal dari kata wiqayah yang bererti pelindung atau pemelihara, iaitu terpelihara dari kejahatan kerana adanya keinginan yang kuat untuk meninggalkan kejahatan itu.

Para ulama salaf ada mengertikan taqwa dengan berbagai-bagai pendapat, di antaranya:
Abdullah Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu menerangkan bahawa taqwa ialah:
a) Orang yang berhati-hati dalam ucapan dan perbuatannya agar tidak mendapat murka dan siksaan Allah, serta meninggalkan dorongan hawa nafsu.
b) Orang yang mengharapkan rahmat-Nya dengan yakin dan melaksanakan ajaran yang diturunkannya.

Abu Darda menerangkan bahawa taqwa ialah seseorang telah menjaga diri dari perbuatan dosa walaupun seberat dosa seberat biji sawi dan meninggalkan yang syubhat.

Thalq bin Hubaib menyatakan bahawa taqwa bererti beramal kerana taat kepada Allah, patuh kepada pimpinan dan bimbingan-Nya, mengharapkan redha dari Allah dan meninggalkan perbuatan derhaka kepada-Nya.

Musa bin A’yun mengatakan bahawa taqwa ialah seseorang yang membersihkan diri dari bermacam-macam syubhat kerana takut jatuh kepada yang haram.

Pendek kata, takwa bererti takutkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Maka dengan rasa takut itu akan tersematlah rasa taat menjalani dan mengerjakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul-Nya serta meninggalkan segala apa jua perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul-Nya.

Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An Nisaa’, ayat 59).


Oleh itu belia mestilah menyemai sifat takwa ini dalam hati masing-masing. Jika sifat ini menjadi budaya dan pakaian belia. Insya Allah kita tidak akan mendengar belia terlibat dengan gejala sosial, pergaulan bebas, sumbang mahram, rompak, pugut, dan sebagainya.

Disamping itu, jika belia menggunakan umur mudanya untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ia juga tergolong sebagai belia cemerlang dan menjadi salah seorang yang mendapat lindungan Allah dibawah rahmatnya pada hari yang tiada perlindungan selain perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sepertimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “ Dari Abi Hurairah Radhiallahu Anhu berkata aku mendengar Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: ada tujuh orang yang akan dilindungi Allah dibawah rahmat-Nya pada hari yang tiada perlindungan selain dari perlindungan Allah, iaitu: Imam (pemerintah) yang adil, pemuda yang menggunakan masa belianya untuk mengabdikan diri kepada Allah. lelaki yang hatinya saban waktu di masjid, dua lelaki yang menyayangi satu sama lain kerana Allah :mereka berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah. Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan lagi jelita, lalu berkata: aku ini takut kepada Allah. Lelaki yang memberi sedekah dengan disembunyikannya sehingga tidak tahu tangan kirinya apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Lelaki yang mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya.
(Riwayat Al-Imam Bukhari dan Al-Imam Muslim).
Kesimpulan:

Belia yang berilmu, berakhlak, beradab dan bertakwa akan membahagiakan keluarganya dan mengharmonikan masyarakat. Dia menjadi kebanggaan keluarga dan menjadi harapan bangsa dan negara. Dia menjadi pendukung kepada masyarakat membangunkan kemajuan.

Oleh itu para belia harus sedar betapa penting dan istimewanya kedudukan mereka dalam menghidupkan suasana kebaikan dalam keluarga dan masyarakat. Sekiranya jiwa mereka sudah mencintai kebaikan pupuklah sehingga benar-benar menjadi belia yang berbakti. Sekiranya mereka telah telanjur mensia-siakan masa muda dengan lepak, berfoya-foya dan leka, insaflah dan baikilah diri. Bangunlah dari mimpi dan khayalan yang merosakkan kehidupan.

Ingatlah bahawa nikmat menjadi belia sekali saja dalam kehidupan. Rebutlah ia sebaik mungkin agar tidak menyesal di hari tua nanti.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, iaitu masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda belia sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin.”

(Riwayat Al-Imam Al-Hakim dan Al-Imam Al-Baihaqi dari Ibnu Abbas Radiallahu Anhuma).