Seperti diketahui membelanjakan harta sangat dituntut di dalam Agama Islam, lebih-lebih lagi ia bertujuan untuk memperdekatkan diri kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mendapat faedah dan kebaikan yang tidak disangkanya, antaranya dijauhi dari bala bencana.
Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam :
عن أنس بن مالك رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
" باكروا بالصدقة، فإن البلاء لا يتخطّى الصدقة "
(رواه الإمام البيهقى)
Maksudnya: Dari Anas bin Malik Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: “ Segeralah kamu bersedekah kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah.”(Hadis riwayat Imam Baihaqi).
Huraian Hadis:
Di awal hadis ini, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam menerangkan bahawa sedekah hendaklah dikeluarkan dengan segera. Makna segera pula bermaksud cepat (tidak bertangguh).
Jadi Apabila Rasulullahu Salahi Wasallam menyebutkan demikian bermaksud Umat Islam hendaklah bersiap-siap untuk membuat kebaikan dan segera meninggalkan kemaksiatan. Kerana kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala tiada siapa yang mengetahui dan selaku hamba Allah yang Daif tidak dapat meneka bila berlaku dan di mana bala bencana diturunkan. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang Maha Tahu dan Maha Berkuasa.
Oleh yang demikian, dalam hadis ini bukan saja mengkhabarkan tentang faedah sedekah itu sendiri, akan tetapi ia mengajar kepada Umat Nabi Muhammad tentang bersegera dalam membuat kebajikan seperti Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
Tafsirnya: Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luaasnya langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Surah Ali ‘Imran, ayat 133).
Sesungguhnya sedekah yang ikhlas bukan sahaja menjauhkan bala bencana tetapi mendapat pahala yang berlipat-kali ganda di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
Tafsirnya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya dijalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.(Surah Al-Baqarah,ayat 261).
1. Maksud sedekah:
Istilah sedekah bermaksud apa-apa yang dikeluarkan seseorang daripada hartanya bagi tujuan dekatkan diri kepada Allah S.W.T. Kalimah sedekah juga asalnya dirujuk kepada pemberian harta secara sukarela, yang di dalam bahasa Arab disebut tatawwu’an. Bagaimanapun di dalam Al-Quran, istilah sedekah juga digunakan bagi seseorang yang mengeluarkan harta secara wajib iaitu zakat. Dalilnya di dalam Surah At-Taubah ayat 60, Allah berfirman:
yang tafsirnya:(Sesungguhnya sedekah (zakat-zakat) itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.)
Jadi, maksud sedekah adalah luas, iaitu, sebarang harta yang ingin diberikan kepada seseorang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T atau mendapatkan pahala.
Merujuk kepada kebanyakan hadis pula, sedekah tidak hanya tertumpu kepada harta benda yang dikeluarkan kepada orang lain. Tetapi termasuk segala amal atau perbuatan (tenaga) yang berupa kebajikan adalah juga sedekah.
Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
عن ابى ذرّ الغفارى رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: على كل نفس فى كل يوم طلعت فيه الشمس صدقة منه على نفسه قلت يا رسول الله من أين أتصدّق وليس لنا اموالنا؟ قال: لأن من ابواب الصدقة: التكبير وسبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله، وأستغفر الله، وتأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر، وتعزل الشوك عن طريق الناس والعظم والحجر وتهدى الأعمى وتسمع الأصم والأبكم حتى يفقه، وتدل المستدل على حاجة له قد علمت مكانها، وتسعى بشدة ساقيك الى اللهفان المستغيث وترفع بشدة ذراعيك مع الضعيف كل ذلك من ابواب الصدقة منك على نفسك ولك فى جماع زوجتك أجر. (رواه الامام أحمد).
Maksudnya: Dari Abu Zar Al Ghifari Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Pada setiap hari yang disinar oleh cahaya matahari, diwajibkan bagi tiap-tiap diri untuk bersedekah untuk dirinya.” Lalu saya tanyakan: “Ya Rasulullah, dari mana saya peroleh yang akan disedekahkan itu, padahal kami tidak mempunyai harta?. Sabda Rasulullah : “Bahawa di antara pintu-pintu sedekah ialah membaca takbir, subhanallah, alhamdulilah, laa ilaha illallah, dan astaghfirullah. Juga bila engkau menyuruh berbuat baik dan mencegah yang jahat, menghindarkan duri, tulang dan batu dari tengah jalan, menuntun orang buta, mengajari orang tuli dan bisu hingga mengerti, menunjukkan orang yang menunjukkan orang yang menanyakan sesuatu keperluan yang engkau ketahui tempatnya, dengan kekuatan betis berjalan membantu orang yang malang meminta tolong, dan dengan kekuatan tangan mengangkat barang-barang orang lemah, semua itu merupakan pintu-pintu sedekah, yakni dari engkau untuk engkau sendiri. Juga dalam jima’(mencampuri) isteri engkau akan beroleh pahala.” (Riwayat Imam Ahmad).
Pendekata, sedekah boleh berbentuk material dan bukan material. Pemberian (material) yang sedikit walaupun sebiji tamar atau sebuah senyuman (bukan material), dikira sebagai sedekah yang diberi ganjaran pahala. Jadi di dalam Islam, amalan bersedekah boleh dilakukan oleh golongan yang berharta mahupun tidak berharta.
2. Faedah-faedah sedekah:
Setelah mengetahui pengertian sedekah, maka perlulah diketahui selanjutnya tentang faedah-faedah bersedekah baik bagi kebaikan di dunia mahupun di akhirat.
2.1 Faedah Di Dunia:
Di antara faedah-faedah bersedekah yang diperolehi di dunia
1)memanjangkan umur dan mencegah dari kematian yang buruk, sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
عن عمرو بن عوف رضى اللع عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إنّ صدقة المسلم تزيد فى العمر وتمنع ميتة السوء، ويذهب الله بها الكبر والفخر. (رواه الامام الطبرانى)
Maksudnya:
Dari Amru bin Auf r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda: Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaanburuk dan Allah Ta’ala pula menghapuskan dengan sedekahitu sikap sombong, takabur dan membanggakan diri. (Riwayat At-Tabrani).
2) memurahkan rezeki, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
عن جابر بن عبدالله رضى الله عنهما قال : خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم، فقال: يا ايها الناس توبوا الى الله قبل ان تموتوا، وبادروا بالاعمال الصالحة قبل ان تشغلوا وصلوا الذى بينكم وبين ربكم لكثرة ذكركم له وكثرة الصدقة فى السرّ والعلانية: ترزقوا وتنصروا وتجبروا. (رواه ابن ماجه).
Maksudnya: Dari Jabir bin Abdullah Radhiallahu Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam berucap kepada kami, maka sabdanya: “ Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati, dan segeralah mengerjakan amal-amal soleh sebelum kamu sibuk, dan hubungilah apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatiNya, dan banyakkanlah bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (menentang musuh) dan digantikan apa yang kamu termakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Riwayat Ibnu Majah).
3. Menyembuhkan penyakit. Sebagaimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " حصًنوا اموالكم بالزكاة وداواو مرضاكم بالصدقة واعدوا للبلاء الدعاء"
(رواه الطبرانى).
Maksudnya:
Peliharalah atau selamatkanlah harta benda kamu dengan berzakat dan ubatilah orang sakit kamu dengan bersedekah dan bersedialah bagi menghadapi bala itu dengan berdoa. (Hadis riwayat Al-Imam At-Tabrani).
2.2 Faedah di Akhirat:
Di antara faedah- faedah diakhirat pula:
1)jadi pendinding dari api neraka di akhirat kelak menurut sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. :
عن ميمونة بنت سعد، انًها قالت، يا رسول الله، افتنا عن الصدقة ؟ فقال: إنها حجاب من النار
لمن احتسبها يبتغى بها وجه الله عزُوجل. (رواه الطبران)
Dari Maimunah binti Saad bahawa beliau bertanya, katanya: Ya Rasulullah, terangkanlah kepada kami tentang (faedah dan kelebihan) sedekah? Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya sedekah itu menjadi pendinding dari api neraka bgi orang yang mengharapkan pahalanya serta memberikannya dengan ikhlas kerana Allah Azzawajalla semata-mata.”
3. Hikmah-hikmah bersedekah:
Di antara hikmah-hikmah bersedekah ialah mengikis sifat bakhil, dan membentuk seseorang bersifat dermawan. Melalui sedekah juga silaturahim terjalin, mengeratkan hubungan persaudaraan dan hubungan kemanusiaan.
Amalan sedekah dapat menjauhkan kita daripada api neraka di akhirat kelak. Satu sedekah dikira sebagai satu kebaikan yang nilai pahalanya sekurang-kurangnya sepuluh, dan boleh mencapai 70. Jadi bersedekah adalah satu cara manusia mengumpul banyak pahala.
Bersedekah juga mungkin akan menimbulkan keinsafan kepada orang yang ditolong, menjadi penderma apabila kehidupan mereka berubah menjadi lebih senang. Tambahan pula apabila pihak yang bersedekah memberi dengan kata-kata nasihat dan bermotivasi untuk mereka meningkatkan taraf hidup.
Kesimpulan:
Demikianlah faedah-faedah sedekah yang dapat dihuraikan, selain menjauhkan bala bagi sipembuatnya, sedekah yang ikhlas mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga menutup 70 pintu kejahatan sebagaimana disebutkan dalam Kitab Al-Jauharul-Mauhub Wa Munabbihatul-Qulub karangan Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
الصدقة تسدَ سبعين بابا من السوء
Maksudnya:
“Bahawa sedekah itu menutup 70 pintu kejahatan.”
Sesungguhnya bersedekah bukanlah amalan yang sia-sia dan mendatangkan kerugian, tetapi sebaliknya ia akan menambahkan rezeki, kerana sesuatu yang kita sedekahkan dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala, akan Allah Subhanahu Wa Ta’ala gantikan dengan rezeki yang berlipat-ganda.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (Surah Al-Hadid,ayat 18)
Selasa, 6 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan