Selasa, 6 Januari 2009

PERANAN DOA DALAM KEHIDUPAN


PERANAN DOA DALAM KEHIDUPAN

Ramai yang beranggapan bahawa berdoa itu hanya merupakan suatu perkara yang biasa sahaja. Bahkan sebilangan mereka menganggap berdoa itu tidak mempunyai kelebihan atau fadilatnya. Sebab itu timbullah sikap mahu berdoa pun boleh dan tidak berdoa pun tidak mengapa.

Sebenarnya anggapan seperti itu adalah sangat keliru dan tidak sesuai dengan pandangan Islam yang sebenar. Walaupun berdoa nampak biasa, namun dari segi lain doa mempunyai hikmah dan suatu kekuatan ghaib yang boleh merubah atau merombak sesuatu secara yang luar biasa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dari Ibnu Umar Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Doa itu memberi manfaat kepada yang diturunkan dan kepada yang belum diturunkan, maka hendaklah kamu hamba-hamba Allah berdoa”.

Dengan banyak berdoa dan berserah diri kepada Allah dengan beristirja’ (mengharap-harap kepada-Nya) dan sentiasa berusaha, maka hal ini akan dapat meringankan musibah, kesusahan atau bala yang menimpa seseorang, dan membuatnya rela bersabar dalam menghadapinya. Dengan demikian ia akan memperolehi keredaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sedangkan manfaat (faedah) doa dalam menghadang musibah yang akan terjadi kemudiaan ertinya dapat meringankan dan melembutkan (menjinakkannya) seperti yang tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“ Musibah datang menimpa, tetapi ia dihadang oleh sedekah, keduanya saling menolak.”
Dengan kata lain, ketika musibah turun, maka sedekah mencegahnya, akhirnya musibah turun dalam bentuk sedikit, ringan dan kecil.”

Disamping itu, berdoa itu mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap perkembangan kejiwaan. Berdoa membuatkan jiwa kuat serta tenteram, menambahkan semangat berjuang dan boleh merawat penyakit menurut pandangan Barat.

Perkara ini diakui sendiri oleh Dr. Alex Carrel dalam bukunya yang bertajuk Man The Unknown (Manusia Yang Tidak Dikenali) menyebutkan:
“ Doa adalah bentuk tenaga yang sangat kuat yang dapat dilaksanakan oleh manusia. Tenaga itu dalam kenyataannya tidak ubahnya seperti graviti. Sebagai seorang pakar jiwa, saya mempersaksikan bahawa pesakit-pesakit yang tidak dapat diubati dengan segala macam cara perawatan, dapat sembuh dengan tenaga tenteram yang terkandung dalam doa. Doa adalah seumpama radium yang mengandungi sumber tenaga yang bercahaya dan membangunkan. Di dalam doa, manusia berusaha menambah tenaganya yang terbatas dengan jalan berpaling (menuju) pada sumber tenaga yang tidak ada batasnya. Apabila kita berdoa, kita berhubungan dengan tenaga dorong yang menggerakkan alam semesta. Kita berdoa supaya sebahagian dari kekuatan itu dicurahkan untuk keperluan kita.

Hanya dengan cara berdoa, kekurangan insani kita diisi dan setelah bangun lalu terasa kuat dan sihat. Setiap kali kita berdoa dengan khusyuk kepada Tuhan, maka rohani dan jasmani kita terasa berubah pada keadaan yang lebih baik.”

Pendekata, pengaruh doa amat luas sekali, di mana berdoa itulah yang mendorong manusia untuk mencapai suatu cita-citanya, mengatasi segala macam aneka bentuk kesulitan yang merintangi di jalan kehidupan yang dilaluinya.

Kata-kata doa yang diucapkan dan lubuk hati dengan penuh khusyuk yang hanya dipohonkan (ditujukan) ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Doa diibaratkan sebagai radio aktif yang mengandungi sumber kuasa (tenaga) yang bercahaya dan membangunkan. Di dalam diri manusia apabila ia sedang berdoa bererti manusia itu berusaha untuk menambahkan tenaganya yang terbatas dengan jalan kembali kepada ’Sumber Tenaga’ yang tidak ada batasnya itu.

Apabila manusia berdoa maka manusia berhubung dengan tenaga penggerak yang mengerakkan alam semesta, manusia berdoa supaya sebahagian daripada kekuatan itu dicurahkan untuk keperluan manusia. Kerana itu, doa tetap dapat membantu serta menolong kita lebih banyak daripada yang kita perlukan.

Ingatlah, berdoa merupakan fitrah manusia, ianya ialah satu hajat rohaniah yang diperlukan dalam kehidupan manusia itu sendiri, lebih-lebih lagi ketika ditimpa musibah kesulitan dan lain-lain, tetapi bukanlah bererti berdoa itu hanya waktu ditimpa kesulitan atau kesusahan sahaja, bahkan hendaklah sentiasa diucapkan baik waktu susah mahupun di waktu senang ibarat aliran darah yang mengalir dan denyutan nadi yang mengerakkan seluruh tubuh badan kita.

Oleh itu perbanyakkanlah doa, kerana doa itu dapat mendekatkan diri dan mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, disertai dengan hati yang tulus ikhlas, khusyuk dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. Ini kerana doa itu, bukanlah sekadar hanya menyampaikan permohonan dan keinginan yang terkandung di dalam hati ke Hadrat Ilahi. Tetapi peranannya lebih dari itu, perkara ini dapat difahami menerusi kata-kata Ibnu Taimiyah Rahimahullah dalam Al-Fatawanya 8/193: ” Doa itu sebagai satu penyebab yang boleh menolak bala. Jika doa lebih kuat darinya maka ia akan mendorongnya, dan jika penyebab bala yang lebih kuat maka ia akan mengusir (mengalahkan) doa. Kerana itu diperintahkan ketika gerhana dan bencana besar lain untuk solat, berdoa, beristighfar, sedekah dan memerdekakan hamba”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan