BAHAGIAN TAHARAH
BAHAGIAN AIR DAN HUKUMNYA
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
Tafsirnya: " Dan Dia menurunkan air dari langit bagi membersihkan kamu dengannya"
(Surah Al-Furqan, ayat 48)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman lagi:
Tafsirnya: "Dan kami turunkan dari langit air yang bersih."
(Surah Al-Anfal, ayat 11)
Air adalah merupakan salah satu nikmat keperluan bagi semua kehidupan.
JENIS-JENIS AIR
Air yang sah digunakan untuk bersuci ialah tujuh jenis:
1. Air Hujan.
2. Air Sungai.
3. Air Telaga.
4. Air Laut.
5. Air Mata Air.
6. Air Batu yang telah cair.
7. Air Embun.
Punca tujuh macam air ini ialah yang turun dari langit dan yang keluar dari bumi.
Air yang tujuh jenis ini dinamakan "Air Mutlak", hukum,nya suci dan boleh menyucikan yang lain.
BAHAGIAN AIR
Air terbahagi kepada 5 bahagian iaitu:
1. Air Mutlak.
2. Air Mutanajjis.
3. Air Musta'mal.
4. Air Mutaghayyar.
5. Air Makruh.
Air Mutlak:
Air Mutlak (air biasa) ialah air yang tidak dikaitkan dengan sesuatu yang tertentu. seperti air tebu, air limau, air kopi, air teh dan sebagainya.
Hukum air mutlak: suci lagi menyucikan. Ertinya suci pada dirinya dan menyucikan sesuatu yang lain.
Adapun air yang dikaitkan dengan nama yang tertentu maka hukumnya adalah suci pada dirinya (boleh diminum) tetapi tidak menyucikan yang lain.
Air Mutanajjis:
Air Mutanajjis (air yang terkena najis) ialah air yang sedikit terjatuh najis ke dalamnya. Hukumnya tidak boleh digunakan untuk berwuduk, mengangkat hadas ataupun menghilangkan najis walaupun tidak berubah.
Adapun air yang banyak (dua kolah) bila terkena najis dan berubah salah satu daripada sifatnya, berubah baunya atau warnanya atau rasanya maka tidaklah boleh digunakan untuk menyucikan sesuatu.
Air Musta'mal:
Air Musta'mal (air yang digunakan) air yang sedikit yang telah digunakan bagi sesuatu fardhu, seperti mandi wajib atau menyucikan najis, maka hukumnya ialah suci pada dirinya tetapi tidak boleh menyucikan yang lain.
Air Mutaghayyar:
1. Air Mutaghayyar ialah air yang yang berubah salah satu daripada sifat-sifatnya dengan sebab bercampur dengan sesuatu benda yang suci seperti bercampur dengan nila, kopi, air wangi atau sebagainya. Hukumnya ialah suci pada dirinya tetapi tidak boleh menyucikan yang lain.
2. Air telaga atau air kolam yang berubah warna, rasa atau baunya dengan sebab daun-daun kayu atau bunga yang jatuh ke dalamnya, atau kerana lumut atau lumpur disekelilingnya maka hukumnya adalah suci dan boleh menyucikan yang lain.
3. Air yang berubah kerana bertakung lama adalah suci dan menyucikan yang lain.
Air Makruh
Air makruh (disebut juga Air Musyammas) ialah yang terjemur panas dalam bekas yang boleh berkarat, maka hukumnya suci lagi menyucikan yang lain. Tetapi makruh digunakan pada badan kerana ditakuti mendatangkan penyakit, tetapi bila sudah sejuk tidaklah makruh lagi.
Kadar Sukatan Air Dua Kolah
1) jika disukat dengan tin minyak tanah biasa ialah sebanyak 13 tin.
2) Jika ditimbang ialah seberat 500 kati Baghdad bersamaan dengan 317 kati Brunei.
3) Jika tempat yang berbentuk empat persegi tepat maka ukurannya: panjangnya, lebarnya dan dalamnya hendaklah masing-masing 23 2/3 inci bersamaan dengan 60cm bersamaan juga 1 1/4 Hasta.
4) Jika tempat yang berbentuk bulat maka ukurannya ialah: bukanya 18 inci(1Hasta) dan dalamnya 25 Inci (2 1/2 Hasta).
Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
" Apabila cukup air 2 kolah tidaklah dinajiskan oleh sesuatu apapun." (Riwayat Al-Khamsah).
Selasa, 13 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Ulasan baru tidak dibenarkan.