Selasa, 6 Januari 2009

4B




Pada zaman serba moden ini memang ramai pemimpin di seluruh dunia memperkatakan belia sebagai tonggak negara pada masa hadapan. Ini disebabkan belialah yang akan mengambil alih tempat mereka dalam sama-sama membantu mentadbir negara ke arah pembangunan yang lebih cerah dan mantap. Siapa belia dan mengapa golongan ini sangat mustahak dalam masyarakat dan negara, akan dihuraikan dalam urutan selanjutnya dalam makalah ini. Daripada segi bahasa, belia bermaksud muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.

Belia umpama berlian. Mereka merupakan asset mahal bagi mana-mana negara. Kepentingan mereka kepada negara amatlah besar dalam bidang pembangunan. Daripada segi ekonomi, belia memainkan peranan yang amat penting kerana mereka dianggap sumber tenaga yang berguna dalam mengerakkan pembangunan, baik dalam bidang perindustrian mahupun bidang perdagangan kerana mereka inilah yang berupaya menyumbangkan tenaga untuk pembangunan masa depan. Justeru itu kewujudan mereka memberi jaminan sumber tenaga yang berpanjangan apabila mereka ini sudah berkelayakan menjawat tugas yang penting atau apabila tiba masanya mereka mengharungi alam pekerjaan. Daripada segi alam kajian manusia, mereka ini sangat penting sebagai ejen utama dalam meneruskan atau memperkembangkan generasi yang akan datang.

Belia adalah asset yang paling penting kepada negara kerana semua tugas akan diserahkan kepada mereka apabila tiba masanya nanti. Sehubungan dengan itu untuk menjadikan belia ini berkelayakan sebagai pemimpin yang berkaliber, faktor 4B mesti disediakan dan disematkan ke dalam jiwa belia. 4B itu ialah berilmu, berakhlak, beradab dan bertakwa. Dengan mempunyai keempat-empat faktor tadi, Insya Allah belia di negara kita akan dapat melakukan perubahan yang membawa kemajuan kepada negara ini untuk masa kini dan masa akan datang.

Belia Berilmu:

Belia berilmu ialah belia yang menggunakan akal fikirannya ke jalan yang berkebajikan dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian yang baik dan positif. Untuk menjadi belia berilmu, para belia hendaklah mencari ilmu di mana-mana sahaja institusi pengajian tinggi samada dalam negeri dan luar negeri. Perlu diketahui, bahawa menuntut ilmu itu satu kefardhuan ke atas kita.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “ Menuntut ilmu adalah fardhu bagi tiap-tiap muslim, baik lelaki mahupun perempuan. (Riwayat Ibnu Abdul barr).

Belia yang berilmu akan disanjung oleh masyarakat sekelilingnya dan ini akan menambahkan lagi semangat untuk berbakti dan menunjukkan taat setia kita kepada keluarga dan negara. Ilmu pengetahuan sangat berguna dan ia merupakan ibadat.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Aliahi Wasallam yang diriwayatkan Ibnu Abdul barr yang maksudnya:

“ Pelajarilah ilmu kerana mempelajari ilmu kerana Allah itu bererti takut kepada Allah. Mencari ilmu itu ibadat – bermuzakarah dalam ilmu itu tasbih – mengkaji ilmu itu jihad – mengajarkannya kepada orang yang tidak tahu itu satu sedekah – mengusahakannya kepada ahli-ahli ilmu satu (bakti kepada Allah) kerana ilmu itu tanda bagi halal dan haram, dan cahaya bagi jalan ahli syurga. Dialah juga penghibur di waktu bersendirian. Petunjuk dalam masa suka dan masa duka. Senjata terhadap musuh, perhiasan terhadap kawan teman, dengannya Allah mengangkatkan darjat sesuatu bangsa, lalu menjadikan mereka para pemimpin terhormat dalam perkara kebajikan yang diikuti setiap jejak langkah mereka, perbuatan mereka dijadikan contoh tauladan, dan pendapat mereka dijadikan pendapat ramai.” ( 1/59 Tarhib Wat-Targhib)

Dengan adanya ilmu yang tinggi kita dapat membuat segala kerja yang susah dengan senang sahaja, dan dapat pula menjamin kehidupan yang cerah dan senang pada masa hadapan. Jika mahu Negara kita terus maju dalam semua bidang kita mestilah mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang jurusannya untuk kepentingan negara.

Mencari ilmu di negara kita ini bukanlah satu masalah kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa peka dalam memberi pembelajaran kepada anak-anak dan belia tempatan. Sekolah didirikan di merata tempat dan sambutan orang ramai amat mengalakkan. Semuanya ini adalah kerana mereka menganggap ilmu pengetahuan yang ada di rumah tidak mencukupi untuk memberi pengalaman dan pengetahuan kepada anak-anak mereka, lagipun mereka semua kebanyakkannya sibuk dengan pekerjaan sama ada di pejabat mahupun di rumah. Lantas mereka mengambil langkah dengan menyekolahkan anak mereka semenjak anak-anak berumur dalam dua tahun setengah atau tiga tahun agar mereka tidak jemu mencari ilmu dan anak-anak kecil ini sebenarnya mudah menerima pelajaran.

Belia yang berilmu akan tampil ke hadapan untuk membantu memajukan negara. Mereka akan tampil dengan pelbagai ilmu yang telah diperolehi. Belia yang berkelulusan Ugama umpamanya Jurusan Syariah akan tampil sebagai Hakim Syarie atau Peguam Syarie, manakala yang berkelulusan dalam bidang Undang-Undang Sivil akan menggunakan pengetahuan mereka dalam menegakkan keadilan dan membanteras jenayah agar negara kita sentiasa dalam keadaan aman dan harmoni. Bagi belia yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang elektronik atau saintifik akan menggantikan pekerja asing yang berkhidmat di negara ini. Jikalau belia berilmu, kesihatan akan sentiasa terjaga kerana mereka sudah tahu cara untuk menjaga badan dan kesihatan dengan bersenam pada sebelah pagi atau petang ataupun kedua-duanya sekali, disamping itu pula pandai meluangkan dan membahagikan masa yang amat berharga itu.

Jikalau mereka ini meningkat dewasa, segala ilmu yang dipelajari pada zaman belia akan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya. Dengan ini pada masa mendatang negara kita akan pesat membangun dengan kadar pertumbuhan yang membanggakan kerana adanya manusia yang berilmu menunjukkan jalan kepada negara kita untuk menuju puncak kejayaan.

Belia Berakhlak:

Belia pada masa ini sungguh berbeza daripada belia pada zaman tiga puluh tahun dahulu dalam pelbagai segi. Perbezaan ini sangat ketara dan tidak lagi tersembunyi di kalangan belia kita zaman serba moden ini. Manusia yang berakhlak adalah insan yang mulia, tetapi jika sebaliknya tentulah akan menimbulkan beberapa perkara sampingan yang jikalau tidak dikawal akan menjadi satu perkara yang serius dan akan mendatangkan kemudaratan kepada bangsa dan negara.

Sebagai contoh tabiat merokok, seperti kita ketahui siperokok yang terbiasa dengan rokok akan menjejaskan kesihatan dirinya dan orang lain. Kerana bahayanya ini, maka para ulama menghukumkan merokok sebagai haram. Disamping itu, apabila kita berada di sisi si-perokok, kita bukan saja tersedut asapnya tapi baunya melekat ke baju dan badan. Bukan itu saja, menurut kajian di Malaysia, kira-kira 99 peratus penagihan dadah bermula dengan merokok. Kalau kita lihat sepintas lalu, mungkin ada yang berpendapat itu negeri orang, buat apa sibuk-sibuk di negeri sendiri belum lagi kedengaran apa-apa. Sebenarnya orang sebegini adalah orang yang mengamalkan sifat ‘malasku ingau’ dan syok sendiri. Kita bukan menjaga tepi kain orang tetapi kita ingin menjaga belia supaya jangan terpengaruh dengan gejala ini.

Bukan itu saja, gejala keruntuhan akhlak dan gejala-gejala seperti belia yang mengabaikan ajaran Islam, suka berpoya-poya dan mengamalkan budaya rock, disko, lepak, penyalahgunaan dadah, syabu, hubungan seks bebas dan sebagainya berleluasa terutama dikalangan remaja dan belia sehingga ke tahap yang membimbangkan. Ini menunjukkan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam terutama sekali soal akhlak ini adalah cair dan longgar.

Mengenai akhlak ini. Al-Imam Ahmad meriwayatkan dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “ Sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”(Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Kesempurnaan penghayatan Islam tidak akan tercapai jika akhlak diabaikan kerana penyempurnaan akhlak adalah di antara tugas utama baginda diutus.

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi dari Abi Zar Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “ Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”
(Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Demikian jelaslah oleh baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bahawa agama itu ialah akhlak mulia, dengan demikian amatlah tepat apa yang ditegaskan oleh Ibnu Al-Qayyim bahawa: “ Ad-Din (agama Islam) itu seluruhnya adalah akhlak, sesiapa yang menambahkan agamanya”, yakni penambahan penghayatan agama Islam. Ibnu Abbas pula menegaskan bahawa, “ setiap bangunan itu ada asasnya dan asas Islam ialah akhlak yang mulia.”

Perlu dingat, sesiapa yang ingin dihormati serta disegani, hidup bahagia dan sempurna hendaklah mempunyai akhlak yang mulia. Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebaikan, malah ia penting dalam membina kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Oleh yang demikian, akhlak yang terpuji hendaklah ada dalam diri setiap individu dalam setiap masa dan keadaan. Sifat jujur, amanah, lemah lembut, hormat kepada orang tua, suka menolong orang, sabar dan sebagainya adalah tuntutan Islam dan sifat yang keji seperti sombong, pemarah, membesar diri, suka membuat fitnah, gila pangkat dan harta, hasad dengki dan sebagainya adalah wajib dihindari dan dijauhi.

Belia Beradab:

Untuk menjadikan negara kita pada masa mendatang menjadi lebih selamat, Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam memberi ilmu pengetahuan mengenai adab dan tingkah laku yang terpuji kepada belia. Jikalau mereka gagal, ini bermakna masa depan anak-anak mereka akan musnah, dan sekaligus harapan negara juga akan turut hancur berkecai andainya para belia tidak mepunyai nilai hati yang mulia dan adab yang suci, luhur dan bersih. Ibu bapa mesti menekankan betapa pentingnya mempunyai adab yang mulia. Oleh itu dalam rangka kerja menyerapkan nilai adab yang mulia bangsa Melayu ke dalam jiwa anak-anak mereka hendaklah bermula semasa mereka masih kecil lagi agar adab itu sentiasa mereka hayati dan diingati sepanjang hayat mereka. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Jikalau belia kita sekarang kurang hormat kepada orang tua, nescaya generasi belia yang akan datang lebih dahsyat daripada yang ada sekarang ini. Untuk menghindari semua ini daripada terjadi kita semua mestilah berganding bahu dalam memberikan didikan dan ajaran yang sempurna mengenai kepentingan adab dalam diri belia.

Jikalau belia beradab dan bersopan serta penyayang menjadi pemimpin pada masa hadapan, nescaya rakan sejawatnya ataupun staf di bawahnya akan menghormatinya. Jikalau kita menghormati orang, pasti kita juga akan dihormati. Salah satu cabang adab ialah berbudi bahasa. Belia mesti tahu cara yang paling sesuai untuk berkomunikasi dengan orang lain, misalnya dengan orang tua ataupun dengan kalangan yang berpangkat tinggi, agar cara komunikasi tersebut dalam suasana yang selesa dan tenteram. Jikalau sifat budi bahasa ini hilang, perkara kecil yang tersilap dilakukan akan menjadikan hal tersebut pada perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan. Misalnya sahaja sewaktu memandu di jalan raya, akan ada kemalangan yang terjadi kerana ada di antara pemandu yang tidak menghiraukan sesama pemandu, dan ada juga yang tidak pandai bertimbang rasa serta masing-masing hanya mementingkan diri sendiri. Sepatutnya sikap saling memahami mestilah dipupuk agar hubungan silaturrahim akan sentiasa berkekalan.

Belia Bertakwa:

Sebenarnya sifat takwa adalah sifat orang beriman. Orang beriman apabila disebut nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala gementarlah jiwa serta bertambahlah takwa dan iman mereka.

Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah Al-Anfaal, ayat 2).

Secara umum, taqwa dapat diertikan sebagai patuh kepada segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Menurut syarak, taqwa bererti menjaga dan memelihara diri dari seksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah-Nya, taat kepada-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta menjauhi perbuatan maksiat.

Para ahli tasawuf mengertikan taqwa ialah membentengi diri dari segala sesuatu yang melibatkan diri kepada dosa.

Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa taqwa berasal dari kata wiqayah yang bererti pelindung atau pemelihara, iaitu terpelihara dari kejahatan kerana adanya keinginan yang kuat untuk meninggalkan kejahatan itu.

Para ulama salaf ada mengertikan taqwa dengan berbagai-bagai pendapat, di antaranya:
Abdullah Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu menerangkan bahawa taqwa ialah:
a) Orang yang berhati-hati dalam ucapan dan perbuatannya agar tidak mendapat murka dan siksaan Allah, serta meninggalkan dorongan hawa nafsu.
b) Orang yang mengharapkan rahmat-Nya dengan yakin dan melaksanakan ajaran yang diturunkannya.

Abu Darda menerangkan bahawa taqwa ialah seseorang telah menjaga diri dari perbuatan dosa walaupun seberat dosa seberat biji sawi dan meninggalkan yang syubhat.

Thalq bin Hubaib menyatakan bahawa taqwa bererti beramal kerana taat kepada Allah, patuh kepada pimpinan dan bimbingan-Nya, mengharapkan redha dari Allah dan meninggalkan perbuatan derhaka kepada-Nya.

Musa bin A’yun mengatakan bahawa taqwa ialah seseorang yang membersihkan diri dari bermacam-macam syubhat kerana takut jatuh kepada yang haram.

Pendek kata, takwa bererti takutkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Maka dengan rasa takut itu akan tersematlah rasa taat menjalani dan mengerjakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul-Nya serta meninggalkan segala apa jua perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul-Nya.

Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An Nisaa’, ayat 59).


Oleh itu belia mestilah menyemai sifat takwa ini dalam hati masing-masing. Jika sifat ini menjadi budaya dan pakaian belia. Insya Allah kita tidak akan mendengar belia terlibat dengan gejala sosial, pergaulan bebas, sumbang mahram, rompak, pugut, dan sebagainya.

Disamping itu, jika belia menggunakan umur mudanya untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ia juga tergolong sebagai belia cemerlang dan menjadi salah seorang yang mendapat lindungan Allah dibawah rahmatnya pada hari yang tiada perlindungan selain perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sepertimana Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “ Dari Abi Hurairah Radhiallahu Anhu berkata aku mendengar Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: ada tujuh orang yang akan dilindungi Allah dibawah rahmat-Nya pada hari yang tiada perlindungan selain dari perlindungan Allah, iaitu: Imam (pemerintah) yang adil, pemuda yang menggunakan masa belianya untuk mengabdikan diri kepada Allah. lelaki yang hatinya saban waktu di masjid, dua lelaki yang menyayangi satu sama lain kerana Allah :mereka berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah. Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan lagi jelita, lalu berkata: aku ini takut kepada Allah. Lelaki yang memberi sedekah dengan disembunyikannya sehingga tidak tahu tangan kirinya apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Lelaki yang mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya.
(Riwayat Al-Imam Bukhari dan Al-Imam Muslim).
Kesimpulan:

Belia yang berilmu, berakhlak, beradab dan bertakwa akan membahagiakan keluarganya dan mengharmonikan masyarakat. Dia menjadi kebanggaan keluarga dan menjadi harapan bangsa dan negara. Dia menjadi pendukung kepada masyarakat membangunkan kemajuan.

Oleh itu para belia harus sedar betapa penting dan istimewanya kedudukan mereka dalam menghidupkan suasana kebaikan dalam keluarga dan masyarakat. Sekiranya jiwa mereka sudah mencintai kebaikan pupuklah sehingga benar-benar menjadi belia yang berbakti. Sekiranya mereka telah telanjur mensia-siakan masa muda dengan lepak, berfoya-foya dan leka, insaflah dan baikilah diri. Bangunlah dari mimpi dan khayalan yang merosakkan kehidupan.

Ingatlah bahawa nikmat menjadi belia sekali saja dalam kehidupan. Rebutlah ia sebaik mungkin agar tidak menyesal di hari tua nanti.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, iaitu masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda belia sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin.”

(Riwayat Al-Imam Al-Hakim dan Al-Imam Al-Baihaqi dari Ibnu Abbas Radiallahu Anhuma).





Tiada ulasan:

Catat Ulasan