Selasa, 6 Januari 2009

AMANAH MEMBENTUK JIWA ORANG MUSLIM

AMANAH MEMBENTUK JIWA ORANG MUSLIM

Sesungguhnya Agama Islam adalah satu Agama yang syumul (Ad-deen yang paling sempurna), Islam bukan setakat Ibadah sahaja, akan tetapi Islam adalah lebih luas lagi skopnya. Ajarannya meliputi semua aspek kehidupan. Bukan sahaja meliputi dari segi Ibadah, Kepercayaan, Hukum-Hakam dan Kemasyarakatan. Tetapi ia juga merangkumi Soal Akhlak atau Budi Pekerti.

Sepertimana Sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam yang diriwayatkan Al-Imam Ahmad dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu yang bermaksud: ‘‘Sesungguhnya aku diutus adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi dari Abi Dzar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”

Dari kedua-dua hadis itu, menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menekankan Agama itu ialah Akhlak yang mulia. Ia bukan perkara yang dianggap remeh-temeh, tetapi sebenarnya ia adalah soal yang sangat penting dalam pandangan Islam. Ini kerana dalam kehidupan manusia, Akhlak itu dapat diibaratkan seperti bunga dalam sebuah taman. Bagaimana pun luas dan indahnya, sebuah taman, tetapi kalau tidak dihiasi dengan bunga-bungaan, maka taman itu tidak jauh seperti tanah perkuburan.

Begitu juga dengan akhlak, ia umpama perhiasan bagi peribadi seseorang itu. Jika ia mempunyai akhlak yang buruk dan perangai yang jahat, ia umpama mempunyai wajah yang cantik bentuknya, tetapi dipipinya terguris memanjang tanda bekas luka. Inilah keadaan yang berlaku dalam masyarakat, baik-buruk dan puji-keji diambil kira dan menjadi ukuran sejauhmana mulia dan jelik akhlak seseorang itu. Dalam Ilmu Tasawuf, ia dikenali dengan istilah Al-Akhlak Al-Mamduh dan Al-Akhlak Al-Mazmum. Al-Akhlak Al-Mamduh itu ialah akhlak yang terpuji contohnya: Tawaduk, Sabar, Syukur, Ikhlas, Jujur, Amanah dan sebagainya. Manakala Al-Akhlak Al-Mazmum adalah akhlak yang terkeji seperti: Ujub, Sombong, Marah, Kufur Nikmat, Riya’, Khianat dan sebagainya.

Semua itu, pembahagian akhlak menurut pandangan ulama-ulama Tasawuf. Selanjutnya, mari kita bincangkan pula dengan salah satu Akhlak yang terpuji, sepatutnya dimiliki oleh semua orang iaitu Amanah. Selain menjadi sifat wajib bagi Para Rasul, ia juga merupakan salah satu Akhlak yang dapat mentarbiah dan membentuk jiwa orang Islam, menjadi orang Muflihon (orang-orang yang berjaya) di Dunia dan di Akhirat di dalam semua aspek kehidupan.

Ini kerana, jiwa itu adalah merupakan pusat yang menyebabkan terjadinya sesuatu kelakuan, perbuatan atau tindakan tingkah laku. Jadi apabila jiwa itu baik, pastilah amalam dan tindakan yang ditimbulkannya itu baik. Demikian pula apabila jiwa itu jahat, tindakan kelakuan yang timbul itu jahat pula.




Tepat sekali dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan. Tetapi apabila ia buruk (rosak) buruk (rosak) pulalah seluruh badan. Ingatlah, ia adalah hati (jiwa).”
(Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari dan Muslim).

Begitu juga dengan sifat Amanah, ia berkait-rapat dengan sikap dan tindak-tanduk seseorang. Kalaulah seseorang itu terbiasa dengan sifat ini, Insya Allah semua perkara yang dikerjakan atau yang diamanahkan akan dibuat dengan jujur dan tekun tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau imbalan. Tetapi jika Amanah diabaikan, maka balasannya ialah neraka dan ia tergolong dalam orang-orang munafik.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (Surah An-Nisaa’,ayat 145).

Manakala itu, pengabaian terhadap Amanah ini pernah digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam sewaktu baginda Isra’ dan Mi’raj:
Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menyaksikan seorang lelaki yang mengumpulkan seikat kayu api yang besar. Walaupun ia tidak mampu memikulnya, tetapi yang menghairankan ia terus sahaja menambah bilangan kayu api tersebut. Melihat keadaan ini, Rasulullah bertanya kepada Jibril Alaihissalam menjawab: “ Inilah gambaran lelaki dari umatmu yang sanggup menanggung Amanah tersebut tetapi ia tetap mahu terus memikulnya.”

Dari itu, setiap insan mestilah menyedari bahwa ia sentiasa memikul Amanah, baik Amanah pada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Rasul, diri sendiri, keluarga, negara dan Agama. Apabila semua ini terlaksana, Insya Allah Negara kita tidak akan mendengar isu penderaan terhadap kanak-kanak, pengabaian terhadap pendidikan anak-anak, gejala sosial, rasuah, pecah Amanah, mengedar wang palsu, menyalahgunakan kuasa, membocorkan rahsia yang diamanahkan, menyebarkan Ajaran-Ajaran yang bertentangan dan sebagainya.

Begitu juga pemilihan pekerja, jika pekerja itu dipilih dari kalangan ahli keluarga, itu pun termasuk dalam mengkhianati Amanah.
Dari Ibnu Abbas Radiallahu Anhuma ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“ Barangsiapa mengambil seseorang untuk bekerja disebuah jabatan kerana ada hubungan
kekeluargaan, padahal ada orang lain yang lebih disukai oleh Allah daripadanya, maka sesungguhnya ia telah berlaku khianat kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada orang Mukmin.”
(Hadis Riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Semua contoh yang sudah diperjelaskan diatas, perlu difahami dan diambil perhatian. Ia bukan bahan untuk dipandang atau didengar sahaja apabila berlaku di dalam masyarakat kita. Tetapi jadikanlah ia sebagi panduan hidup serta bahan pemikiran untuk kita semua. Apa yang penting, apabila seorang yang benar-benar mengaku dirinya sebagai orang beriman nescaya tidak akan berlaku khianat terhadap apa-apa saja yang diamanahkan kepadanya.




Jika sifat Amanah sudah tidak ada lagi dalam diri bermaksud iman juga tidak ada maksudnya iman tidak sempurna, maka dengan mudah orang yang tidak Amanah menyerahkan kuasa dan tanggungjawab mereka kepada orang yang jahil dan tidak berkelayakan menyelesaikan sesuatu urusan itu. Jika ini berlaku inilah anatara tanda-tanda dunia ini sudah hampir kiamat dan mengalami malapetaka dan kehancuran.

Sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud:
“ Seorang Arab Badwi bertanya: Bilakah hari kiamat?, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam lalu menjawab: Apabila Amanah diabaikan maka tunggulah kiamat. Orang itu bertanya lagi: Bagaimana hilangnya Amanat itu, Ya Rasulullah? Nabi Muhamad Sallallahu Alahi Wasallam pun menjawab: “ Apabila perkara (urusan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah sajalah masa kehancurannya.”
(Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari).

Tegasnya sifat Amanah adalah sifat batin yang tertanam dalam jiwa seseorang. Darinya terbentuk dan lahirlah sifat bertanggungjawab dan berlaku jujur terhadap apa-apa saja yang diamanahkan kepadanya. Tidak kira ia merupakan suatu kedudukan, pangkat, jawatan atau tugas dan sebagainya. Ingatlah, semua itu merupakan ujian Allah Subhanahu Wa Ta’ala terhadap hambanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dianya meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu terhadap pa yang diberikan-Nya kepadamu.” (surah Al-An’aam, ayat 165).

Kesimpulannya, orang yang amanah bukan sahaja mencontohi sifat Nabi malah mereka dimurahkan rezeki dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebaliknya orang yang khianat tergolong sebagai orang munafik dan membawa kefakiran.

Sepertimana, sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam yang bermaksud:
“ Amanah membawa rezeki dan khianat membawa kefakiran.”
(Hadis Riwayat Ad-Dailami).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan