Rabu, 17 Jun 2009

HIKMAH PUASA RAMADAN

Tidak dapat dinafikan segala suruhan dan larangan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mempunyai banyak hikmah tersendiri. Sebagai contoh puasa, ibadah ini bermula waktu terbit fajar hingga terbenam matahari, dalam jangka itu kita dilarang makan, minum, jima’ dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Apakah hikmahnya?.Mentarbiah(mendidik) orang Islam supaya taat kepada Allah dan Rasul-Nya dari segi hukum-hakam tatacara berpuasa. Jika orang Islam mentaatinya dengan sendirinya ia akan taat kepada undang-undang atau peraturan-peraturan yang dicipta oleh manusia). Inilah cantiknya Agama Islam selain menyelamatkan manusia dari berbuat maksiat dan dosa, ia juga memandu manusia dengan syariatnya untuk mendapat kebahagian Duniawi dan Ukhrawi.

Seterusnya antara hikmah puasa lagi, ia sebagai perisai daripada api neraka di akhirat. Puasa itu juga merupakan sebagai salah satu cara untuk menundukkan hawa nafsu syahwat manusia, di mana nafsu syahwat itu merupakan senjata yang paling merbahaya sekali yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan dan membinasakan manusia.

Ini ialah di antara hikmat puasa jika dilihat dari segi kerohanian. Manakala dari segi social dan kemasyarakatan pula, puasa itu boleh menggerakkan hati seseorang itu untuk segera meringankan penderitaan sesame umat Islam dengan mengeluarkan zakat fitrah, ataupun memperbanyakkan amalan sedekah kepada orang-orang miskin supaya sama-sama tidak kira sama ada miskin atau kaya turut menikmati segala rezeki yang telah disediakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada semua umatnya.

Di segi kesihatan jasmani, puasa selama bulan Ramadan ini sangat berguna untuk menjaga dan memperbaiki kesihatan. Ini adalah kerana timbul pelbagai penyakit yang disebabkan oleh berat badan yang berlebihan kerana terlalu banyak makan dan minum.

Di dalam bulan-bulan yang lain, perut kita bekerja keras, tetapi pada bulan puasa, perut kita dapatlah berihat untuk agak lama dan dengan yang demikian, kita memberi kesempatan kepada perut kita untuk mengembalikan kesihatan yang mungkin terjejas selama sebelas bulan sebelum bulan Ramadan ini.

Disamping itu, puasa bukan sahaja dapat menyucikan keperibadian seseorang itu malah dapat juga memberi kelapangan dan kesenangan hati untuk berfikir dan meringankan badannya untuk membuat atau melakukan sesuatu tindakan adalah kesan daripada perut yang kosong.

Puasa membentuk keperibadian seseorang umat Islam itu supaya sentiasa berwaspada, berjaga-jaga dan selalu mepunyai hati yang ikhlas, jujur, mulia dan tinggi. Orang-orang yang bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah puasa itu sudah tentunya akan menjaga dan menghormati puasanya seperti tidak makan khususnya di khalayak ramai.

Juga, seseorang yang benar-benar menunaikan ibadah puasa itu akan memperolehi kegembiraan pada waktu berbuka seperti sabda Rasulullah Sallahu Alahi Wasallam di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dan Muslim yang maksudnya:
“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua macam kegembiraan, iaitu kegembiraan di waktu berbuka dan kegembiraan pada ketika ia bertemu dengan Tuhannya.”

Puasa juga mengajar setiap umat Islam supaya betul-betul memahami perasaan cinta sejati dan abadi serta bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas segala pemberian dan nikmat yang telah dikurniakan kepadanya.

Seseorang itu berpuasa kerana semata-semata mengikut perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan juga cintanya terhadap-Nya. Cinta yang begitu mendalam boleh menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi dirinya daripada segala yang dilarang-Nya. Juga pengabdian seseorang umat Islam kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala boleh menyemaikan ke dalam dirinya sifat-sifat kebaikan dan kemuliaan.

Setiap umat Islam yang bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah puasa setentunya berhasrat mencari dan mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta mengharapkan belas kasihan daripada-Nya. Oleh itu puasa dapat memberi kepada seseorang itu suatu harapan yang cerah di dalam kehidupannya.

Puasa juga adalah suatu jaminan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kepada hamba-Nya untuk memperolehi ketenteraman dan keikhlasan serta pengawalan diri.

Seseorang yang berpuasa dengan mengikut syarat-syarat yang tertentu akan berjaya mengawal seluruh hawa nafsu (dalam keinginan manusia biasa) dengan sepenuhnya dan dapat juga menjauhi serta mengelakkan dirinya daripada melakukan sesuatu yang tidak diingini.
Di dalam perkataan yang lain, seseorang itu dapat mengelakkan dirinya daripada melakukan sebarang bentuk maksiat dan kongkongan syaitan, di samping meletakkan dirinya pada suatu tahap atau peringkat yang tinggi.

Puasa mengajar manusia cara-cara menyesuaikan diri dan mengubahkan tata hidup supaya banyak bersabar dan insaf. Pendek kata, di dalam bulan ini puasa ini, seseorang itu akan merasa banyak perubahan pada dirinya.

Apabila seseorang itu berjaya menerima perubahan walaupun buat sementara waktu sahaja, ia akan dapat membentuk dan membiasakan dirinya, seperti banyak bersabar dan lebih berani serta tenang di dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran kehidupan seharian tanpa hilang pedoman hidupnya.

Kesimpulannya, Puasa mengajar seseorang itu kea rah mengamalkan sifat sederhanaan di dalam kehidupan, disamping berhati tabah. Seseorang yang mengerjakan ibadah puasa dengan sesungguhnya telah mencorakkan dirinya pada suatu nilai displin yang tinggi dan ekoran daripada ini, cara hidupnya akan bertambah lebih sempurna dan teratur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan