Rabu, 3 Jun 2009

Isra' Mi'raj Menurut Perspektif Sedekah

Seperti diketahui peristiwa Isra' Mi'raj merupakan mu'jizat terbesar yang terjadi ke atas Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam selepas Al-Quran Al-Karim. Selain menjelaskan bahawa kehidupan ini tidak terhenti setelah kematian seseorang dan kita akan merasa kehidupan di akhirat, peristiwa ini juga menerangkan bahawa Allah Maha berkuasa memperjalankan hamba-Nya dari Masjidil Haram ke Masijil Aqsha dalam waktu yang sebentar sahaja.

Disamping itu, perlu juga kita ketahui bahawa peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam Isra' Mi'raj adalah penting bagi kita selaku Orang Mu'min untuk mengambil pengajaran dan pedoman darinya. Di antara perkara yang dilihat oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam sewaktu Isra' Mi'raj itu ialah baginda telah melihat satu kaum yang sangat giat bercucuk tanam dan menuai hasilnya dalam satu masa. Setiap kali selesai menuai, tanaman itu tumbuh semula serta mengeluarkan hasil yang baru. Mereka ini ialah orang yang menafkahkan hartanya untuk menegakkan kalimat Allah dan mensyi'arkan keagungan Asma Allah.

Dari peristiwa ini, kita dapat mengambil pengajaran bahawa orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah sangat tinggi pahalanya dan amat mulia martabatnya di sisi Allah. Dalam hal ini, bolehlah kita kategorikan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah golongan yang suka bersedekah dan membantu meringgankan penderitaan orang lain.

Tidak dapat dinafikan sedekah itu amatlah bermanfaat kepada orang yang mengamalkannya dan juga ia berperanan untuk turut menghapuskan dosa-dosa kecil.

Sedekah itu juga secara langsung boleh mendatangkan hidayah dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Oleh sebab itu, di dalam suatu riwayat dari Said bin Waqas, Nabi Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
" Tidak akan ditolongi, malahan tidak akan direzekikan akan kamu melainkan adalah lantaran kerestuan orang-orang yang melarat."

Dengan adanya sedekah kita terhadap golongan yang sengsara atau daif itu seumpama anak-anak yatim, orang-orang tua dan fakir miskin, nescaya orang-orang yang mengamalkan sedekah itu akan mendapat rahmat dan berkat kesejahteraan, lantaran kerana doa dari golongan yang sengsara itu terhadap golongan yang bersedekah amat mustajab dan besar kesannya.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum ust. tentang pertanyaan ust utk link kan bl, blog saya ke sini boleh je takde masalah. syukran.

    BalasPadam