GAMBARAN SIKSAAN ORANG MENGUMPAT DALAM ISRA' MI'RAJ
Peristiwa Isra' dan Mi'raj yang berlaku terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam mengandungi berbagai urutan kisah. setiap kisah yang berlaku di dalam peristiwa tersebut mempunyai hikmah-hikmah yang bertujuan menyedar dan membangunkan Umat Islam. Jika Umat Islam memahami, menghayati dan mengambil pengajaran daripadanya maka ia akan memandunya ke arah kehidupan yang benar-benar sempurna. Jika sebaliknya, peristiwa tersebut hanya tinggal peristiwa, tanpa menghasilkan pengajaran dan peningkatan dari segi keimanan dan juga amalan walaupun diraikan pada setiap tahun.
Dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj, penjagaan lidah adalah anatara isu yang dititikberatkan. Pada malam tersebut baginda telah diperlihatkan gambaran dahsyat akibat dari kejahatan yang dilakukan oleh lidah. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam ada menceritakannya dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abu daud, dari Anas bin Malik radiallahu Anhu baginda bersabda yang bermaksud:
"Ketika aku dimi'rajkan, aku telah melalui satu kaum, mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Maka aku bertanya kepada Jibril Alaihi salam: siapakah mereka itu wahai Jibril? Dia menjawab:" mereka adalah orang-orang yang memakan daging manusia(mengumpat) dan menjatuhkan nama baik (martabat) mereka."
Dalam hadis itu, menjelaskan bahawa betapa ngerinya azab yang diterima bagi orang yang mengumpat dan menjatuhkan maruah orang. Sebenarnya terdapat pelbagai cara orang untuk mengaibkan ataupun menjatuhkan nama baik (martabat) seseorang. Di antaranya pada masa kini kita dapati bahawa segelintir orang yang suka bercakap sia-sia dan mendatangkan dosa. Perbuatan ini sering dilakukan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan majlis kenduri, dan sekarang ini berlaku pula melalui kemudahan alat-alat Telekomunikasi dan kemudahan-kemudahan IT seperti di internet dan sms.
Sedangkan Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan umatnya supaya jangan berkata pada perkara yang tidak baik dan berdosa. Tetapi berkatalah pada perkara yang baik dan berfaedah. Jika tidak, adalah lebih baik berdiam diri sahaja. Sabda Rasulullah Sallahu alaihi Wasallam yang bermaksud:
" Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka berkatalah yang baik atau lebih baik berdiam diri." (Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari).
GAMBARAN SIKSAAN ORANG MEMFITNAH DALAM ISRA' MI'RAJ
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung dan mulia di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diisrakkan dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa dan dari sana Baginda dimikrajkan ke langit. Seterusnya Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran pemerintahan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Dalam peristiwa Israk tersebut, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perbuatan manusia berserta balasan yang bakal mereka terima. Ini adalah sebagai satu ujian kepada manusia terhadap keimanan dan ketakwaan mereka. Dengan demikian mudah-mudahan akan menambah lagi keimanan dan rasa takut untuk membuat kemungkaran.Dan sebagaimana lazimnya, pada setiap 27 Rejab, kita akan merayakan sambutan Israk dan Mikraj dengan berbagai-bagai majlis ilmu dan keagamaan. Akan tetapi sejauh manakah penghayatan kita terhadap kisah-kisah yang telah diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu? Adalah tidak bermakna dan tidak bererti jika kita hanya memperingatinya sahaja, sedangkan tidak mengambil iktibar dan tidak membawa kepada perubahan yang positif kepada diri kita. Maka rugilah orang-orang yang mensia-siakan usia dan terus leka dan lalai dalam kehidupan. Sesungguhnya dengan ketaatan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari kemusnahan baik di dunia mahupun di akhirat.Di antara hikmah berlakunya Israk dan Mikraj itu, di mana Allah Subhanahu Wataala telah memperlihatkan berbagai-bagai kejadian aneh, tidak lain melainkan untuk menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya membuat perubahan positif dan membina terhadap diri mereka. Sebagai contoh, jika dahulunya mengabaikan dan malas untuk bersembahyang maka setelah menghayati peristiwa ini dan mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya, ia akan berubah menjadi rajin menunaikannya. Jika dahulunya makan riba, maka sekarang telah berubah dan tidak akan melakukannya lagi, begitulah seterusnya akan mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan larangan-Nya, bukan terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan langsung tidak mahu mendengar teguran dan nasihat, ibarat kata perumpamaan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.Sesungguhnya banyak kejadian-kejadian yang telah diperlihatkan kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sewaktu Baginda diisrakkan.
Antaranya :Pertama : Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melihat segolongan manusia yang memukul-mukul kepalanya sendiri sehingga hancur luluh, akan tetapi sekejap kemudian kepala itu kembali seperti asalnya. Perbuatan itu dilakukan berulang-ulang kali, begitulah keadaannya berterusan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada Jibril Alaihissalam,'Siapakah mereka itu?' Jibril menjawab : 'Mereka adalah sebagai gambaran golongan umat tuan yang suka melalaikan waktu sembahyang sehingga habis waktunya'.Kita umat Islam wajib mengerjakan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam serta menjaga waktunya. Tetapi apa yang berlaku, terdapat sebilangan orang yang masih lalai untuk melaksanakan ataupun melambatkan sembahyangnya sehingga luput waktunya dengan alasan sibuk dengan urusan kerja, keluarga dan sebagainya. Sesungguhnya jika ia seorang yang beriman, ia akan menjaga sembahyangnya dengan sempurna baik dari perlaksanaannya mahupun waktunya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maun ayat 4-5 yang tafsirnya :"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya".
Kedua: Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj baginda Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam telah diperlihatkan gambaran dahsyat akibat dari kejahatan yang dilakukan oleh lidah. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam ada menceritakannya di dalam Hadis baginda yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud, dari Anas bin Malik Radiallahu Anhu baginda bersabda yang bermaksud:
” Ketika aku dimi’rajkan, aku telah melalui satu kaum, mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Maka aku bertanya kepada Sayidina Jibril Alaihi Salam: siapakah mereka itu wahai Jibril? Dia menjawab:” Mereka adalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang.”
Dalam hadis ini dapat kita fahami bahawa betapa ngerinya azab yang diterima oleh orang yang mengumpat dan menjatuhkan maruah orang. Perkara menjatuhkan orang ini termasuklah berbuat fitnah. Fitnah adalah satu jenayah lidah yang mengakibatkan ramai orang yang tidak bersalah hidup derita dan merana.
Angkara fitnah, dua sahabat yang berkawan baik menjadi bermusuhan, suami isteri yang berkasih-kasihan menjadi berjauhan, orang yang berjawatan tinggi jatuh secara tiba-tiba, orang yang disayangi langsung dibenci dan mahligai kehidupan seseorang yang dibina sekian lama roboh dengan sekelip mata. Orang Mukmin tidak seharusnya melakukan jenayah lidah yang zalim seumpama ini.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 yang tafsirnya:
” Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai)”.
Seterusnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Qalam ayat 13 tafsirannya menyifatkan orang yang suka menaburkan fitnah sebagai:
”Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.”
Orang yang suka menyebarkan fitnah akan diseksa di dalam kubur. Ini ditekankan dalam sebauh hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dari Ibnu Abbas Radiallahu Anhuma beliau menceritakan bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam telah melalui dua kubur kemudian baginda bersabda yang maksudnya:
” Sesungguhnya mereka berdua sedang diazab dan mereka tidak diazab disebabkan oleh dosa yang besar (pada pandangan mereka padahal ianya adalah dosa besar). Adapun salah seorang dari keduanya (diazab disebabkan) dia melawaskan kencingnya dan seorang lagi (diazab disebabkan) dia menyebarkan fitnah.”
Di hari pembalasan pula orang yang memfitnah akan dihumbankan ke jrang neraka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dari Huzaifah Radiallahu Anhu Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
”Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba).”
Isteri Abu Lahab yang dikatakan suka mengadu domba dan menyampaikan kata-kata orang ke sana ke mari telah disifatkan Allah sebagai pemunggah kayu api yang bermaksud orang suka mengapi-apikan orang dengan hasutan dan fitnah. Beliau adalah anatara perempuan ahli neraka. Ini ditegaskan dalam Surah Al-Masad yang menceritakan bahawa Abu Lahab bersama isterinya akan diseksa di akhirat kelak. Dalam ayat 4-5 Surah Al-Masad ada disebutkan tafsirannya:
”Dan isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api, dilehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.”
Jelaslah bahawa memfitnah merupakan sifat tercela dan hukumnya adalah haram. Tetapi kenapakah ramai yang beranai melakukannya?
Di zaman ini jarum-jarum fitnah semakin mudah untuk menjalankan suntikannya iaitu melalui kecanggihan teknologi maklumat seperti internet yang mampu menyebarkan apa jua maklumat dengan sekelip mata tanpa dapat dibendung-bendung. Laman-laman web yang disediakan untuk kemudahan dan pengetahuan telah disalahgunakan untuk mengecam. Harus diketahui bahawa jika kecaman yang dibuat adalah palsu ia akan menjadi fitnah yang sungguh berbahaya. Jikapun ia betul, ia merupakan umpatan atau kejian melalui teknik canggih yang tidak kurang bahayanya. Perkara seumpama ini boleh menggoncangkan keharmonian negara malah sejagat kerana maklumat yang tersebar bersifat global. Bayangkanlah jika diri kta sendiri atau orang yang kita kasihi menjadi objek yang dikecam, bagaimanakah caranya kita dapat menangkis segala objek yang dikecam, bagaimanakah caranya kita dapat menangkis segala kecaman yang ditimpakan dan apakah nasib kita seterusnya?
Dalam hal ini kita dapat menyalahkan kecanggihan yang telah dicapai oleh teknologi maklumat hari ini, tetapi diri kitalah yang harus dipertanggungjawabkan. Ini kerana manusia telah diciptakan lengkap dengan akal fikiran untuk menilai mana yang baik dan buruk, Kita tidak akan dapat lari dari segala tuntutan terutama bagaimana kita menggunakan segala kemudahan teknologi seperti komputer.
Selain internet, media cetak seperti suratkhabar, majalah, risalah dan termasuk juga surat layang memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan berita dan maklumat yang tidak berasas. Orang ramai pula mudah percaya tanpa usul periksa atau terus membuat kesimpulan sendiri berasaskan salah-sangka dan sangka buruk terhadap segala berita yang sampai ke pengetahuan mereka. Lau menitilah berbagai cerita yang ditokok tambah atau yang belum tentu kesahihannya dari mulut ke mulut sehingga mencetuskan berbagai fitnah berupa gossip dan berita sensai yang merugikan dan menyusahkan banyak pihak.
Ingatlah, setiap perkataan yang kita luahkan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, janganlah kita melibatkan diri dengan jenyah lidah berupa mengecam, memfitnah dan menyebarkan berita yang tidak berasas dengan apa cara sekalipun. Jika kita tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, buatlah dengan cara yang betul. Ini akan menguntungkan kita kerana berbuat baik dan berhemah, menguntungkan orang lain kerana maruahnya terjaga dan menguntungkan negara kerana aman dan stabil.
Selasa, 16 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan