Rabu, 17 Jun 2009

PENGAJARAN AL-QURAN AL-KARIM

PENGAJARAN SURAH AL-BURUUJ (SIRI I)

PENGENALAN:

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 22 ayat. Dinamakan Surah Al-Buruuj (Tempat-Tempat Peredaraan Bintang), kerana pada awal surah ini Allah Subhanahu Wataala bersumpah dengan langit dan bintang-bintangnya serta hari pembalasan yang dijanjikan, bahawa kaum kafir yang bertindak ganas menggali parit dan membakar orang-orang yang beriman di dalamnya, akan menerima akibat yang seburuk-buruknya.

INTISARI SURAH:

Membentangkan kisah kekejaman kaum kafir terhadap orang-orang yang beriman, yang terjadi dalam zaman Nabi-nabi yang telah lalu.

Setelah itu ditegaskan: Bahawa orang-orang kafir yang menimpa bencana untuk memesongkan orang-orang yang beriman: lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab api yang membakar.

Sebaliknya orang-orang yang beriman dan beramal salih, akan ditempatkan di dalam syurga yang melimpah-limpah nikmatnya.

Kemudian ditegaskan: Bahawa azab Tuhan terhadap orang-orang kufur ingkar amatlah berat. Kenangkan sahaja apa yang telah menimpa kaum-kaum yang telah menentang Rasul-rasulnya pada zaman silam.

Demikian juga yang akan menimpa orang-orang kafir yang menentang Nabi Muhammad Sallahu Alahi Wassalam. Pada akhir surah ini diterangkan tentang jaminan Allah Subhanahu Wataala terhadap kitab-Nya (Al-Quran Al-karim).

(Tafsir ayat 1 hingga 8)

Allah berfirman dengan tafsirnya:

Demi langit yang mempunyai gugusan bintang. (ayat1).

dan hari yang dijanjikan. (ayat 2).

dan yang menyaksikan dan yang disaksikan. (ayat 3)

Binasalah orang-orang yang empunya lobang parit. (ayat 4).

Dari api yang bernyala-nyala. (ayat 5).

Ketika mereka duduk didekat-nya. (ayat 6).

Dan mereka, terhadap apa yang mereka perbuat atas orang-orang yang beriman itu, adalah menyaksikan. (ayat 7).

Dan tidaklah mereka berlaku kejam kepada orang-orang itu, melainkan kerana orang-orang itu percaya kepada Allah, Yang Maha Gagah Perkasa, Yang Maha Terpuji. (ayat 8).

HURAIAN:

Dalam ayat-ayat di atas, Allah Subhanahu Wataala menceritakan keteguhan iman orang-orang yang dipaksa meninggalkan aqidah tauhid dan agama yang dipegang mereka. Tetapi mereka tetap berada di pihak yang benar dengan memilih yang terbaik, iaitu kekal dalam aqidah tauhid dan agama yang dipegang, walaupun menemui kematian.

Kalau kita sorot kembali sejarah keteguhan iman ini, memang banyak diceritakan dalam Al-Quran Al-karim. Diantaranya: keteguhan iman penghuni Al-Kahfi, yang sanggup lari ke Al-Kahfi(Gua) semata-mata menyelamatkan agama yang dianuti. Sesungguhnya mereka ini benar-benar pemuda-pemuda yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala, Tuhan sekalian alam.

Begitu juga, kisah ketebalan iman Syaidina Abu Bakar Radiallahu Anhu yang tetap bersama Rasulullah semasa hijrah, walaupun nyawanya terancam. Peristiwa ini membawa pengalaman baru dalam perjuangan Islam. Kalau sebelumnya, Para Sahabat mengalami ujian ditahan, diseksa, dipulaukan dan ada yang syahid tetapi hijrah menguji dan membuktikan kecintaan mereka terhadap Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya, mengatasi kasihkan tanahair, harta benda dan rumahtangga. Inilah sebuah contoh unggul muslim sejati yang begitu jujur terhadap agamanya. Bagi mereka tanahair dan harta kekayaan tidak mempunyai apa-apa erti asalkan dapat menyelamatkan akidah dan agama yang dianuti.

Semua peristiwa ini terjadi, kerana iman yang kukuh terhadap Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya. Kalau kita perhatikan keadaan sekarang jauh berbeza, di sana-sini berlaku kekecohan, kesengsaraan dan penindasan sering berlaku dalam masyarakat di dunia. Masing-masing mendakwa punya kebenaran dan kebebasan tersendiri untuk melakukan apa saja yang mereka suka walaupun apa yang mereka lakukan itu untuk merampas, menyeksa, dan menipu hak orang lain. Begitu juga, kekejaman terhadap sesama manusia berlaku di mana-mana, tetapi ternyata sudah bahawa selain dari peraturan Ilahi, tidak ada peraturan yang berupaya untuk menyelesaikannya.

Yang paling menakutkan di antara semua ini ialah, ada segelintir orang Islam menolak kebenaran Hadis Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam. Mereka ini mempertikaikan kebenaran Hadis Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam dengan mengatakan bahawa Rasul tidak bertanggungjawab memberikan keterangan yang akan menimbulkan pengertian hukum baru seperti yang dikenal dengan sebutan As-Sunnah atau Hadis. Mereka juga berpendapat hadis disusun berdasarkan cerita dari mulut ke mulut dari orang-orang yang lebih tua yang dipandang mengerti agama.

Kepercayaan ini adalah salah dan menyeleweng dari Pandangan Syarak dan Akidah Islam.Semua ini berlaku kerana tidak menghayati Ajaran Agama Islam secara sempurna keseluruhannya, dikalangan mereka.

Umumnya, dalam urutan ayat-ayat ini dapatlah kita fahamkan bahawasanya pernah terjadi orang menggali lobang yang dalam untuk dilemparkan ke dalamnya orang-orang yang dipaksa meninggalkan keyakinan dan imannya kepada Allah Yang Maha Esa. Orang-orang yang beriman itu tidak mau berganjak dari pendiriannya, sehingga pihak yang berkuasa menggali lobang untuk memasukkan mereka ke dalam, dan setelah mereka berada di dalamnya dinyalakan api, dan orang-orang yang membakar itu duduk di keliling lobang itu menyaksikan orang-orang beriman itu jadi abu.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN:

1) Dalam ayat-ayat tersebut, Allah Subhanahu Wataala mengambarkan ketebalan iman orang-orang beriman yang diseksa untuk masuk dalam api yang bernyala-nyala, tetapi mereka tetap teguh dengan Agama dan Akidah yang sudah lama dianuti.
2) Orang-orang Kafir memang sudah lama mengharap-harap agar terpesong Akidah Umat Islam. Sehingga sekarang harapan mereka masih ada supaya Umat Islam mengikut Ajaran dan kepercayaan mereka. Perkara ini diterangkan dalam Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang tafsirnya:

“ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).” Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.

3) Penindasan dan Pembunuhan orang dilakukan oleh orang-orang kafir tetap ada sehingga sekarang. Kadang-kadang secara jelas berupa ugutan dan pembunuhan beramai-ramai. Kadang-kadang secara tersembunyi melalui fahaman-fahaman yang songsang seperti Fahaman Materialistic, Fahaman Vandalisme dan sebagainya.

PENGAJARAN SURAH AL-BURUUJ (SIRI II)

(Tafsir ayat 21-22)


Allah berfirman dengan tafsirnya:

Bahkan, yang didustakan mereka itu ialah Al-Quran yang mulia.(ayat 21).

Yang (tersimpan) dalam Loh Mahfuzh. (ayat 22).

HURAIAN:

Dalam ayat ini, Allah Subhanahu Wataala memberi jaminan tentang kemuliaan Al-Quran. Al-Quran sememangnya tersimpan dalam Loh Mahfuzh, ia terpelihara dari penyelewengan dan perubahan. Sayugialah kita sebagai orang beriman memelihara Al-Quran dari tercemar kemuliaannya.

Perlu diingat, Al-Quran bukan saja dibaca dan dihafaz. Tetapi hendaklah dihayati isi kandungan-Nya.

Hingga hari ini, kemuliaannya tetap dijaga hingga hari kiamat. Lihat sekarang, memang Al-Quran dibaca dan dihafaz di dada orang-orang yang beriman. Tetapi kita selaku orang yang mengagungkan kalimah Allah di muka bumi, semua ini tidak memadai.

Ini kerana, kalaulah Al-Quran itu diajarkan sekadar untuk mengurangkan bilangan Buta Al-Quran. Ataupun kerana Tanggungjawab Kerja dan Amanah dari Majikan. Semuanya ini amat kurang pulangannya. Kita mahu Generasi sekarang atau di masa depan, Generasi yang benar-benar cintakan Al-Quran dengan menghayati dan mengamalkan isi kandungannya.

Banyak berlaku Gejala Sosial di sana-sini, disebabkan tidak mampu menterjemahkan isi kandungan Al-Quran di dalam diri mereka sendiri. Begitu juga dalam kehidupan kita pada hari ini, berbagai-bagai krisis dan pergolakan dunia kita lihat dan dengar. Satu jalan yang terbaik untuk mengatasinya ialah dengan berpandukan Al-Quran. Manusia perlu kembali kepada Al-Quran, berpegang dan bersandar dengan-nya, kerana Al-Quran tidak pernah salah dalam memberi pimpinan kepada manusia. Ia juga sumber hidayah dan petunjuk serta mukjizat teragung yang mengandungi semua bidang ilmu untuk diterokai oleh manusia.

Jelaslah kepada kita, Al-Quran Al-karim adalah kitabullah yang kekal kesucian dan kemurniannya, tidak pernah berubah dan keterangannya merupakan sumber rujukan mu’tamad dalam segala perkara yang dibicarakannya. Al-Quran Al-karim juga diakui sebagai teman berdialog yang sempurna yang menggambarkan cara benar bagi setiap orang dan memberikan jalan keluar dari berbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh manusia. Masalah yang muncul kemudian, bertitik tolak dari kekalnya Al-Quran Al-karim.

Al-Quran Al-karim tetap kekal abadi, segala kata-katanya yang lain akan hilang, hanya kata-kata Al-Quran Al-karim sahaja terkawal dan terpelihara. Ia kekal selamanya berfungsi sebagai pemecah masalah, sekalipun masalah itu berbeza bentuk dan coraknya. Kerana itu manusia dituntut untuk menjadikan Al-Quran Al-karim sebagai jalan keluar atau penyelesaian apa jua masalah.

Sesungguhnya Al-Quran Al-karim tetap terpelihara kukuh sampai bila-bila jua, kekalnya Al-Quran Al-karim bererti ia mampu menjawab segala persoalan atau masalah yang ada dari berbagai segi. Sama halnya dengan kekalnya ayat-ayat Al-Quran Al-karim yang mencakupi segala yang ada dan kita tidak boleh mengenepikan kitabullah ini, yang menjadi sumber rujukan sebarang masalah yang dihadapi. Ini adalah kerana, Al-Quran Al-karim tetap utuh sepanjang zaman.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN:

1) Al-Quran Al-karim tetap menjadi kitabullah yang menjadi rujukan sepanjang zaman hingga hari kiamat.
2) Kehebatan dan keagungan Al-Quran Al-karim sentiasa diberi perhatian seluruh manusia tak kira bangsa atau Agama, hinggakan ada yang masuk Islam kerana mengkaji isi kandungannya.
3) Al-Quran Al-karim kekal selamanya dari penyelewengan, pembaharuan dan perubahan ajaran-ajaran di dalamnya.
4) Kesucian Al-Quran Al-karim tetap dijaga oleh Allah Subhanahu Wataala sampai bila-bila masa hingga hari kiamat. Perkara ini diterangkan dalam Al-Quran Al-karim dalam surah Al-Hijr ayat 9:
Firman Allah Taala yang tafsirnya:
“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya kami benar-benar memeliharanya.”

SIRI I


(SURAH AL-HUMAZAH)


PENGENALAN:

Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 9 ayat. Dinamakan Surah Al-Humazah (pegumpat), kerana pada awal surah ini, Allah ta’ala memberi ancaman dengan azab yang seburuk-buruknya kepada tiap-tiap pengumpat, pencela.

INTISARI SURAH:

Memberi penjelasan tentang keburukan orang-orang yang mencemuh dan memandang rendah kepada orang lain, kerana ia senang-lenang dan kaya-raya, padahal kesenangan dan kekayaannya tidak dapat memberikan sebarang faedah kepadanya pada hari akhirat disebabkan ia bakhil, kedekut dan tidak menggunakannya pada jalan kebajikan.

Sebagai seorang yang telah dilapangkan hidupnya sepatutnya ia bersyukur kepada Allah Ta’ala, dan menghormati serta berhubung mesra sesama manusia.

Orang yang sombong dan bermegah-megah dengan kesenangan dan kemewahannya, yang mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain, yang tidak mempunyai perasaan kasihan untuk menolong orang-orang yang memerlukan bantuan, tidak akan dikenal atau disebut dengan sebutan yang baik di dunia apa lagi untuk menyelamatkan dirinya di akhirat.

(TAFSIR AYAT 1 HINGGA 9)

Allah berfirman dengan tafsirnya:

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela. (ayat 1)

Yang mengumpulkan-ngumpulkan harta dan menghitung-hitungnya. (ayat 2)

Dia menyangka bahwa hartanya itulah yang akan memeliharanya. (ayat 3)

Sekali-sekali tidak ! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. (ayat 4).

Dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (ayat 5).

Iaitu api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan. (ayat 6).

Yang (membakar) sampai ke hati. (ayat 7).

Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka. (ayat 8).

(Sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang. (ayat 9).

HURAIAN:

Ayat ini menayangkan satu gambaran yang berlaku dalam kehidupan da’wah dalam peringkat perkembangannya yang pertama. Di samping itu, gambaran ini juga merupakan satu contoh yang berulang-ulang dalam setiap masyarakat, iaitu gambaran manusia hina yang suka mengumpat serta mencela sesama manusia, dan mengira harta kekayaan itulah tuhan yang berkuasa yang boleh membuat segala apa sahaja sehingga berkuasa menolak maut, mengekalkan hidupnya, menolak qadha’ Allah, Hisab-Nya dan Balasan-Nya jika dalam fikirannya pernah terlintas adanya persoalan Hisab dan Balasan Allah, kerana itu ia tergila-gila mengumpulkan harta kekayaan dan begitu lazat menghitung-hitungkan jumlahnya.

Sebenarnya, Islam tidak mengasaskan hidup umatnya didunia ini semata-mata dibina dengan kebendaan yang melupakan Allah Subhanahu Wataala. Sebaliknya, binaan hidup muslim diasaskan kepada kebendaan dan keimanan yang berjalan serentak. Nafsu kebendaan yang gelojoh dan ganas hanya dapat ditenteramkan dengan rasa syukur melalui keimanan dan mengingati Allah. Dengan itu, seseorang itu tidak akan lupa daratan bahkan akan lebih bertakwa.

Nafsu manusia apabila dikalahkan dan dikuasai oleh fahaman kebendaan, maka hukum halal haram sudah tidak diambil kira lagi, tekaknya makin berselera dan perutnya rasa damai dengan itu semua. Yang penting padanya ialah untuk meningkat dan menambah harta kekayaan. Yang diperhitungkan semata-mata disudut ekonomi seolah-olah dengan ketinggian pencapaian ekonomi, ia sudah cukup mampu membeli semua hukum Allah serta menebus dosanya.

Inilah catatan sejarah yang masyhur berlaku kepada Qarun dan Namrud, matlamat hidupnya penuh dengan kegelojohan nafsu kebendaan yang meluap-luap. Qarun telah lupa bahawa nikmat kekayaan yang melimpah- ruah padanya adalah hasil makbul doa Nabi Musa Alaihisalam pada mulanya. Firaun dan Namrud ketika ia berkuasa, merampas harta kepunyaan orang lain menjadi kepunyaaannya yang kononnya untuk diwarisi.

Percayalah semua itu terjadi disebabkan kelalaian mengumpul dan menghitung harta tanpa mengikut Syariat Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya. Sesungguhnya nilai kekayaan seseorang itu bukanlah semata-mata diukur dari segi kebendaannya sahaja tetapi lebih dari itu ialah nilai rohani dengan takwa kepada Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya. Banyak manusia sentiasa berusaha untuk mendapatkan kemewahan dan harta kekayaan tanpa memperhitungkan apa sahaja sumber yang boleh didapatinya. Ini kerana bagi mereka , pengaruh kebendaan yang melahirkan hukum, bukan hukum yang mempengaruhi kebendaan. Itulah sahaja Islam pada mereka.

KESIMPULAN DAN PENGAJARAN:

1) Allah Subhanahu Wataala menggambarkan di dalam ayat 1 hingga 3, tentang azab-Nya yang pedih terhadap pengumpat, pencela dan orang yang menghimpun harta, mengira-nya ia dapat mengekalkan dirinya untuk urusan dunia. Sedangkan kehidupan dunia hanya sementara, hanya kehidupan Akhirat yang kekal abadi.
2) Sebaik-baik kebaikan yang dilakukan oleh orang yang berharta ialah menafkahkan hartanya di jalan Allah.
3) Sebaik-baik harta atau perhiasan di sisi Allah Subhanahu Wataala ialah sifat takwa.
4) Nilai seseorang itu bukanlah dipandang setakat banyak harta kekayaan sahaja bahkan dipandang sejauh mana tinggi, mulia hati nuraninya mengikut panduan Allah dan Rasul-Nya.
5) Kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan harta benda yang dapat diseimbangkan dengan kekayaan hati nurani dan perasaan jiwa yang mulia mengikut ajaran Islam.
6) Dilarang kita bermegah dan takbur dengan harta kekayaan, kerana ia tidak boleh menolong untuk mendapat pahala di akhirat nanti.
7) Dilarang dan ditegah orang-orang Islam melonggok-longgokkan harta tanpa membelanjakannya kepada jalan-jalan yang berkebajikan serta tidak dikehendaki orang Islam menjadi orang-orang yang miskin yang sedikit harta bendanya di dunia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan