Sebagimana diketahui dengan berzikir, hati yang gelisah menjadi tenteram dan hati yang keras tidak mahu mendengar seruan ma’ruf (kebaikan) menjadi hati yang sentiasa ingatkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan jauh dari gangguan syaitan yang direjam. Itulah kesan orang yang sentiasa membasahi lidahnya dan melazimkan dirinya dengan zikrullah. Itu diantara kesan orang yang menjiwai zikrullah. Seterusnya mari kita merenung kelebihan zikrullah (mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala) menurut Al-Quran Al-Karim, Hadis Nabi Sallahu Alaihi Wasallam dan Kata Ulama Salafussoleh.
Antaranya:
1) Disediakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala keampunan dan pahala yang besar. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam keta’atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab, ayat 35).”
2) Orang yang sentiasa berzikir Allah ingat kepadanya.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (ni’mat)-Ku.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 152).
3) Dengan berzikir hati menjadi tenang.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Ingatlah hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar Ra’d, ayat 29).
4) Berzikir memantapkan iman.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman (orang yang sempurna imannya) itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (menyebut sifat-sifat yang mengagungkan dan memuliakannya). Gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah Al-Anf aal, ayat 4).
5) Orang yang melazimkan diri dengan zikrullah termasuk
Golongan muttaqin(orang-orang yang bertakwa).
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa .”
“(iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
“ Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?. Dan mereka tidak meneruskan [perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”
“ Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.”
(Surah Ali Imran, ayat 133 hingga 136).
6) Mendapat balasan berada di barisan depan pada hari kiamat.
Diriwayatkan di dalam kitab Sahih muslim dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu:
Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“ Orang-orang yang mufarrid itu berada di barisan terdepan.” Para sahabat bertanya: “ Wahai Rasulullah, siapa orang yang mufarrid itu?”. Nabi Sallahu Alaihi Wasallam menjawab: “ mereka ialah orang-orang zikir (mengingat Allah) baik laki-laki ataupun perempuan.”
7) Termasuk salah satu golongan mendapat lindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala
Pada hari kiamat.
Abu Hurairah Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
“ Ada tujuh orang yang akan dilindungi Allah di bawah rahmat-Nya pada hari yang tiada perlindungan selain dari perlindungan Allah, iaitu Imam(pemerintah) yang adil, pemuda yang menggunakan masa remajanya untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, lelaki yang hatinya saban waktu di masjid, dua lelaki yang berkasih-sayang satu sama lain kerana Allah S.W.T. mereka berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah S.W.T. Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan lagi jelita. Lalu berkata: Aku ini takut kepada Allah. Lelaki yang memberi sedekah dengan disembunyikan sehingga tidak tahu tangan kirinya apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah S.W.T, bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya.” ( Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim) .
8) Dengan berzikir secara jamaah dikerumuni oleh malaikat .
Abu Hurairah Radhiallahu Anhu dan Abu Said Radhiallahu Anhu menceritakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
“ Tidak ada jamaah yang duduk sambil berzikrullah melainkan dikerumuni mereka oleh malaikat, diliputinya mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dihadapan mereka yang berada di sisi-Nya.”
9) Berzikrullah dengan berlinangan air mata tidak akan diazab pada hari kiamat.
Disebutkan dalam kitab Fadhail Amal:
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis:
“ Barangsiapa menangis kerana takut kepada Allah sehingga berlinangan airmatanya itu membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat.”
Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa api neraka Jahannam telah pun diharamkan ke atas dua jenis mata:
mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam untuk memelihara Islam dan umatnya dari serangan bangsa-bangsa kafir.
Di dalam hadis lain pula disebutkan bahawa api neraka jahannam telah pun diharamkan ke atas mata yang pernah menangis kerana takut kepada Allah, ke atas mata yang berjaga di malam hari pada jalan Allah, ke atas mata yang tidak memandang ke atas sesuatu yang haram (seperti orang yang bukan muhrim dan sebagainya) dan ke atas mata orang yang gugur pada jalan Allah.
10) Syaitan rebah dan terpukul apabila menghampiri ahli zikir.
Kata Syeikh Abdul Qadir: Apabila zikrullah tetap di dalam hati seseorang dan apabila syaitan menghampirinya nescaya syaitan itu rebah sepertimana manusia rebah apabila dihampiri syaitan.
Menurut riwayat:
Sesungguhnya syaitan itu membelit hati manusia, jika ia berzikir kepada Allah syaitan terpukul. Jika ia alpa, syaitan mewas-waskannya lagi.
Kesimpulan, dengan berzikir orang yang bermasalah menjadi tenang dan tidak mustahil orang yang sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah doanya di dengar dan mudah diperkenankan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Rabu, 3 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan