Ilmu adalah umpama cahaya menyinari hidup seseorang. Dalam hidup seseorang Ilmu pengetahuan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Umpamanya, untuk membeli perhiasan dan keperluan rumah, kita hendaklah ada ilmu dekorasi dan tahu serba sedikit ilmu kira-kira. Kalau tidak ada kedua-dua ilmu tersebut, setentunya akan jadilah perkara lain dicari lain dibeli. Begitu juga, kehidupan seorang penuntut tidak semestinya dah lulus dapat segolong ijazah, pencarian ilmu berhenti setakat itu saja.
Sebenarnya kita tidak boleh bersikap berpada dengan ilmu yang dimiliki. Islam mengalakkan kita meneroka dan menambah ilmu. Sesungguhnya Islam mengajar umatnya membaca pelbagai ilmu pengetahuan. Islam juga mengalakkan umatnya mencari dan mendatangi orang berilmu. Lihatlah Ajaran Agama Islam sampai begitu sekali saranannya.
Jadinya kita selaku umat Islam buang sikap malas dan semaikan cintakan ilmu di hati sanubari. Apa yang penting di sini, untuk menjadi umat yang terbilang di mata dunia, salah satu caranya melihat kegemilangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam dahulukala. Umpamanya Al-Khawarizmi, iaitu tokoh Islam di bidang Matematik telah mengasaskan ilmu al-Jabar (algebra) yang melahirkan satu pembaharuan dalam ilmu Matematik. Ibnu al-Haitham yang dianggap sebagai “Bapa Optik” telah mencipta beberapa alat teleskop untuk memerhatikan jirim langit dan beliau juga memulakan idea mengenai kamera. Karya-karya optik beliau juga telah menjadi asas kepada pembinaan optik Eropah. Al-Idrisi pula telah menghasilkan atlas serta peta dunia untuk tujuan pelayaran yang pernah beberapa ketika dijadikan sebagai rujukan penting.
Demikianlah di antara tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka di zaman silam yang dapat disebutkan di sini. Persoalan yang timbul di sini? Kenapa mereka dapat mencapai ketamadunan sedemikian rupa? Adakah Umat Islam hari ini bersifat malas atau tidak mahu membuat perubahan? Hanya umat Islam sendiri yang mampu menjawab persoalan ini.
Jelaslah kepada kita, kepentingan ilmu tetap relevan dengan dunia hari ini. Untuk mencipta dan mengulang kembali kegemilangan Umat Islam dahulu, memang susah dan memerlukan kesungguhan yang jitu sekali. Inilah peranan kita hari ini, menimba ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin. Pendekkata, untuk memiliki dan menguasai beberapa cabang ilmu bukan satu kerja ringan dan diambil mudah sahaja, ia memerlukan sikap sabar dan keyakinan yang tinggi.
Kesimpulannya, Islam menghendaki agar ilmu dipelajari dan dikembangkan kerana dengan ilmu ia menjana asas peradaban dan kemajuan insan dan umat. Tanpa ilmu, manusia tidak akan mencapai kemajuan, peradaban tidak akan dapat dilahirkan, malahan iman tidak akan dapat ditebalkan dan ajaran Islam tidak dapat dihayati dengan sebaik-baiknya.
Rabu, 3 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan