Rabu, 17 Jun 2009

KETENTUAN LAILATUL QADR

Sebagaimana diketahui Lailatul Qadr (Malam Qadar) adalah satu malam yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala hanya kepada Umat Nabi Muhamad Sallahu Alaihi Wasallam. Sesungguhnya malam ini, menurut ulama berlaku setiap kali menjelang Ramadan . Jadinya amat beruntunglah jika seorang hamba Allah itu sentiasa beramal ibadah setiap malam bulan Ramadan. Ingatlah, jika beramal bertepatan dengan malam tersebut, bererti ia seolah-olah beribadah seribu bulan.

Rebutlah peluang yang sedia ada itu dengan sebaik yang mungkin. Kerana sesungguhnya malam ini mengandungi keberkatan yang teramat besar sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Sesungguhnya kami telah telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam lailatul Qadr itu? Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5).

Dalam ayat ini, dapatlah difahami bahawa lailatul Qadr(Malam Qadar) merupakan malam yang berkat dan turun di dalamnya rahmat Allah berupa pengabulan doa hamba-hamba-Nya.

Demikianlah diantara kelebihan malam tersebut secara ringkas. Seterusnya, mari kita bincangkan ketentuan Lailatul Qadr. Sebelum itu, kita terangkan dulu perkara-perkara yang ada hubung-kaitnya dengan tajuk di atas.

1. Sebab dinamakan Lailatul Qadr

Sebahagian ulama berpendapat bahawa sebab malam itu dinamakan Malam Qadar adalah kerana pada malam tersebut Allah mentakdirkan umur setiap manusia dan rezeki mereka, iaitu Allah menampakkan kepada para malaikat yang diutuskan mengurus keadaan makhluk apa yang Allah tetapkan untuk tahun itu, iaitu dari Lailatul Qadr sampai Lailatul Qadr yang akan datang.




2.Keistimewaan Lailatul Qadr

Memang keistimewaan Lailatul Qadr tidak dapat diragukan lagi. Perkara ini dapat kita fahami menerusi tafsiran Surah Al-Qadr dari 1-5. Di antara keistimewaannya seperti berikut:
1. Malam diturunkan Al-Quran Al-karim.
2. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.
3. Malam Malaikat Jibril Alaihissalam.
4. Malam penuh kesejahteraan.
Sebahagian ulama mengatakan bahwa bilangan malaikat yang berada di bumi pada malam itu adalah lebih banyak dari pasir. Pada malam itu Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerima taubat setiap orang yang bertaubat dan dibuka semua pintu langit bermula dari terbenam matahari hingga ianya terbit kembali.

3 .Hikmah Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengadakan Lailatul Qadr (Malam Qadar)

Ada beberapa hikmah Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengadakan Lailatul Qadr di dalam bulan Ramadan. Di antaranya:

1) Allah Subhanahu Wa Ta’ala Maha Pengasih dan Maha Penyayang memberi balasan dan ganjaran yang istimewa bagi hamba-hamba-Nya yang taat dan ikhlas melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
2) Untuk mendorong hamba-hambaNya supaya tekun mengerjakan ibadah malam kerana mengharapkan keredhaan-Nya.
3) Untuk memperlihatkan kekuasaan, ketinggian, kebesaran dan keagungan-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
4) Untuk melipatgandakan balasan dan ganjaran kepada para hamba-Nya yang sanggup menghidupkan malam dengan berbagai amalan soleh.
5) Untuk membolehkan para hamba-Nya memperoleh taufik dan hidayah kerana sentiasa berfikir mencari kebenaran.
6) Untuk membuktikan bahwa Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak akan melupakan janji-Nya kepada para hamba-Nya dengan mengurniakan rahmat yang amat besar dan keberkatan yang luas yang lebih baik dari 1000 bulan.

4) Hikmah kenapa Allah Subhanahu Wa Ta’ala merahsiakan bila terjadinya Lailatul Qadar?

Antaranya:

1) Supaya kita memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan disepanjang bulan Ramadan, kerana Lailatul Qadr itu hanya datang sekali dalam setahun.
2) Menurut Al-Imam Fakhul Raazi sebab-sebab Allah Subhanahu Wa Ta’ala merahsiakan Lailatul Qadr itu supaya hamba-Nya mengagungkan dan memuliakan malam Ramadan.
3) Supaya kita dapat menghidupkan semua malam di bulan Ramadan yang mubarak ini dengan berusaha mencarinya dan meningkatkan ibadah setiap malam.





5) Alamat atau tanda kedatangan Lailatul Qadr:

Antaranya:

1) Pagi harinya cahaya matahari lembut dan teduh, sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
“Sesungguhnya (lailatul Qadr) itu ialah satu malam yang paginya matahari terbit dengan tidak bersinar (teduh dan putih cerah)”. (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi).

2) Menurut Imam Nawawi Rahimallahu Ta’ala dalam syarah Muhazzab bahawa tanda-tanda adanya Lailatul Qadr ialah pada malam itu tiada panas dan tiada sejuk, matahari terbit esoknya harinya dengan cahaya putih, cerah dan kurang sinarannya. Malah pada siang harinya tiada rasa kepanasannya.

3) Menurut ulama, di antara tanda-tanda terjadinya Lailatul Qadr seperti berikut:
-Hujan tidak turun pada malamnya.
-Perasaan pada waktunya(waktu Lailatul Qadr) tenang dan tenteram.

5. Ketentuan Lailatul Qadr:

Berikut beberapa pendapat ulama tentang ketentuan malam tersebut:

1) Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadr itu terbatas pada malam terakhir bulan Ramadan. Di antara sepuluh malam terakhir inilah diandaikan berlakunya Lailatul Qadr dan besar kemungkinan ianya berlaku pada malam berangka ganjil di antara malam-malam yang sepuluh itu iaitu sama ada pada malam ke-21, atau 23, atau 25, atau 27, atau 29. Perkara ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: “ Dari Abi Salamah ia berkata: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: Carilah Lailatul Qadr (Malam Qadar) pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.”(Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari).

2) Dalam kitab Matla’ul Badrain ada menyebutkan bahawa jika puasa bermula pada hari Ahad dan Rabu, maka Lailatul Qadr itu berlaku pada malam ke 29. Jika puasa bermula pada hari Isnin, maka Lailatul Qadr itu berlaku pada malam ke 21. Manakala jika puasa itu bermula pada hari selasa dan jumaat, maka Lailatul Qadr berlaku pada malam ke 27. Jika puasa bermula pada hari khamis, maka Lailatul Qadr itu berlaku pada malam ke 25. Jika puasa bermula pada hari sabtu, Lailatul Qadr itu berlaku pada malam ke 23.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan