AMALAN DI MALAM NISFU SYA'ABAN
Pada malam nisfu sya'aban (15 sya'aban), kita digalakkan menambah amal ibadat dengan membaca Al-Quran Al-Karim dan surah Yaasin untuk menghidupkan lagi malam tersebut. Pada malam itu juga sangat baik dibanyakkan istighfar (memohon keampunan) dan taubat dari segala dosa-dosa besar dan kecil, dan meminta diampunkan Allah dosa-dosa ibubapa kita dan keluarga kita.
Al-Imam Ibnu Majah meriwayatkan dari Ali Radhiallahu 'Anhu katanya: Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: "Apabila tiba malam pertengahan Sya'aban maka hendaklah menghidupkan malam itu (dengan beramal ibadat) dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala turun pada waktu itu lantaran terbenamnya matahari ke langit dunia dan berfirman: "siapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki maka aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala Aku akan melepaskannya, adakah kamu....adakah kamu (berturutan pertanyaan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala) sehingalah terbitnya fajar subuh."
Di antara amalan yang lazim dibuat ialah membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali dan menurut Imam Syahrurazi hendaklah dibaca surah Yaasin kali pertama itu dengan niat mohon panjang umurnya dalam mentaati Allah, kemudian dibacakan doanya. Kemudian dibacakan surah Yaasin kali kedua dengan niat diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati, kemudian dibacakan doanya. Selepas itu dibacakan surah Yaasin kali ketiga dengan niat minta dimatikan dalam iman (husnul Khatimah) kemudian dibaca doanya.
Terjemahan Doa Nisfu Sya'aban:
Ya Allah, Ya tuhan yang empunya kurniaan dan tiada siapa mengurniakan kepada-Nya, Ya Allah yang empunya kemuliaan dan kebesaran, Ya Allah yang empunya kurniaan, tiada tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya dalam wujud ini melainkan Tuhan hamba sahaja, tempat sandaran hamba-hamba Tuhan yang mohon perlindungan dan tempat perlindungan hamba-hamba Tuhan yang mohon keselamatan dan tempat keselamatan hamba-hamba Tuhan yang di dalam ketakutan. Kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz sebagai seorang yang celaka, maka hamba mohon hapuskan daripada hamba nama kecelakaan itu, dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba akan seorang yang berbahagia dan kiranya Tuhan hamba telah ada menulis akan hamba di sisi Tuhan hamba dalam Loh Mahfudz sebagai seorang yang ditegah daripada kebajikan dan seorang yang disempitkan rezeki, maka hamba mohon hapuskan tegahan itu daripada hamba dan mudahkan rezeki hamba dan mohon tetapkan hamba di sisi Tuhan hamba sebagai seorang yang berbahagia dan seorang yang ditaufiqkan dengan kebajikan kerana bahawasanya Tuhan hamba telah berfirman dalam kitab (Al-Quran Al-Karim) yang tafsirnya:(" Allah Ta'ala menghapuskan apa yang Dia hendak hapuskan dan Dia tetapkan apa yang Dia hendak tetapkan dalam suatu kitab dan di sisinya Loh Mahfudz.")
KEISTIMEWAAN PUASA RAMADAN
Sebagaimana kita ketahui, setiap tahun akan menjelang satu bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh Umat Islam seluruh dunia iaitu Ramadan. Bulan yang diwajibkan kita berpuasa di siang hari.
Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang tafsirnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman telah difardhukan ke atas kamu ibadah puasa sepertimana yang telah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah Ayat:183).
Sabda Rasulullah Sallahu Alahi Wasallam yang maksudnya:
“Dibinakan Islam itu(asas) di atas lima perkara: naik saksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh(rasul Allah), mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menunaikan haji (ke baitullah bagi barangsiapa yang mampu untuk mengerjakannya) dan berpuasa di bulan Ramadan”.(Hadis riwayat Imam Bukhari).
Di dalam bulan ini, selain difardhukan puasa di siang hari, kita dituntut untuk menghidupkan malam harinya dengan ibadah-ibadah sunat seperti Sembahyang Sunat Terawih dan Witir, serta Tadarus Al-Quran. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“Barangsiapa melakukan solat pada malam Ramadan dengan iman dan mengharap keredhaan-Nya, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”(Hadis riwayat Al-Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah).
Sesungguhnya bulan Ramadan mempunyai berbagai keberkatan, keistimewaan dan kelebihan yang kalau diterokai manusia setentunya tidak habis dan jikalau mereka tahu banyak rahmat dan kebaikannya nescaya mereka mengharap agar seluruh bulan yang ada dalam setahun itu semuanya Ramadan.
Sepertimana sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam maksudnya:
“Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Andaikata hambaku mengetahui hal (keutamaan) bulan Ramadan, nescaya mereka mengidamkan agar dalam setahun itu dijadikan bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya).”
Diantara keistimewaan puasa yang terkandung dalam Ramadan seperti berikut:
1) Pahala puasanya dibalas oleh Allah. Sebagaimana Sabda Rasulullah yang maksudnya:
“ Dari Abi Hurairah ra. berkata : Rasulullah Sallahu alaihu wasallam bersabda: “ Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipatgandakan, satu kebajikan dilipatgandakan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman: kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-ku dan Aku yang akan membalasnya, ia mengekang syahwat dan makanan hanya untuk-Ku.”(Hadis Riwayat Al-Imam Bukhari dan Muslim).
2) Dijauhkan wajahnya dari api neraka. Sabda Rasulullah Sallahu Alahi Wasallam yang maksudnya:
“ Tidak pun seseorang hamba Allah yang berpuasa fi sabilillah (kerana mengharap redha Allah) melainkan Allah disebabkan itu ia akan dijauhkan wajah/mukanya daripada api nera
ka sejauh tujuh puloh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari).
3) Ikan-ikan dilaut memohon keampunan kepada orang yang berpuasa dan malam terakhir Ramadan orang berpuasa diampunkan.Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi wasallam yang maksudnya:
“Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda:
“ Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah pun diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan dilautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah mempersiapkan dan menghiasi jannah (syurga) yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: “Masanya telah hamper tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu. Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantai supaya tidak menggoda mereka kearah maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadan. Pada malam terakhir bulan Ramadan (orang-orang Islam yang berpuasa ini) akan diampunkan. Maka para sahabat Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam pun bertanya: “Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadr?” Dijawab oleh Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:
“ Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya.” (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar, Al-Baihaqi dan riwayat Abu Syaikh Ibnu Hibban).
4) Doa orang berpuasa tidak akan tertolak. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahwa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak, doa orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa, imam atau penguasa yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: “Aku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Aku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti.”(Hadis riwayat Ahmad).
Menurut riwayat dinyatakan bahawa para malaikat yang menjaga Arasy diperintahkan meninggalkan segala sesuatu pada bulan Ramadan hanya disuruh berkata “Amin” daripada doa-doa mereka yang berpuasa.
5) Puasa merupakan zakat jasad (penyucian jasmani) dan separuh dari sabar. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: “Bagi tiap-tiap sesuatu ada zakat (penyuciannya), dan zakat jasad ialah puasa dan puasa pula adalah separuh kesabaran.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah).
6) Puasa memberi kesihatan. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“ Berpuasalah kamu, nescaya kamu sihat”.
( Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nai’m)
7) Puasa merupakan perisai dari berbuat dosa dan maksiat. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: “ Puasa itu ialah perisai. Apabila salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah ia menuturkan kata-kata yang keji, dan janganlah membuat ingkar dan bising, maka jika sekiranya ada orang memakinya atau memukulnya ia hendaklah menyatakan bahawasanya “aku berpuasa”.
8) Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyediakan satu pintu di syurga khusus untuk orang-orang yang mengerjakan puasa. Pintu ini dinamakan ‘ Ar-Rayyan’
Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“ Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ar-Rayyan
Di mana orang-orang yang berpuasa akan dipanggil kepadanya. Maka sesiapa yang mengerjakan puasa, ia akan memasukinya, dan sesiapa yang memasukinya tidak akan merasa dahaga selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi dari Sahal bin Sa’ad).
9) Bau mulut orang yang berpuasa lebih baik dan lebih harum dari bau misk(kasturi).
Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“ Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, ketika ia berbuka dan kegembiraan ketika ia menjumpai Tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum dari wangian misk(kasturi).(Hadis riwayat Al-Imam Bukhari dan muslim).
10) Dengan berpuasa dapat menyempitkan jalan-jalan syaitan. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“ Sesungguhnya syaitan itu adalah mengikut saluran darah. Oleh itu hendaklah kamu persempitkan jalan syaitan itu dengan melakukan lapar(berpuasa).”
11) Puasa menjadi syafaat bagi diri seseorang pada hari kiamat. Sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
Dari Abdullah bin Amru, Sesungguhnya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Bahawa Puasa dan Al-Quran itu meminta syafaat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk seseorang hambanya pada hari kiamat. Berkata Puasa: Ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan minum pada siang, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan berkata Al-Quran: Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana membaca Al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya, maka lalu Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan keduanya.”
Demikianlah beberapa keistimewaan puasa di bulan Ramadan. Yang penting di dalam bulan ini, bukanlah sekadar masa untuk menahan lapar dan dahaga atau untuk meninggalkan kesenangan jasmaniah sahaja, akan tetapi ia adalah bulan ibadah yang penuh ikhlas kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Disamping itu, ia juga adalah merupakan bulan pengampunan dosa dan bulan mengumpul sebanyak-sebanyak saham pahala.
Sesuai dengan sabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam telah berkhutbah kepada kami pada akhir bulan Sya’ban, baginda bersabda : ‘Wahai manusia ! bulan yang agung lagi berkat telah menaungi kamu, bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah mewajibkan puasa padanya, Qiyam (sembahyang terawih) pada malamnya adalah sunat. Sesiapa yang menghampirkan dirinya (taqarrub) kepada Allah dengan secebis kebajikan adalah (sama) seperti mereka yang menunaikan satu fardhu pada bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu padanya seperti mereka yang menunaikan tujuh puluh fardhu pada bulan yang lain daripadanya, ialah bulan sabar dan kesabaran itu pahalanya ialah syurga, bulan bantuan (bagi mereka yang susah), bulan peningkatan rezeki orang-orang mu’min. Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa akan mendapat keampunan daripada dosanya, dimerdekakan daripada api neraka, balasannya setimpal dengan usahanya, tidak dikurangkan sedikit jua pun. “Mereka bertanya:”Bukan semua kami yang dapat memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa. Rasulullah menjawab: Allah memberi pahala kepada mereka yang memberi makan (berbuka) kepada yang berpuasa (sekalipun) sebiji tamar atau seteguk daripada air atau seteguk susu (yang bercampur dengan air). Ialah bulan pada awalnya rahmat, pada pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan (beban) daripada hambanya pada bulan Ramadan, Allah ampunkan baginya dan ia dibebaskan daripada api neraka. Oleh itu perbanyakkanlah dalam bulan Ramadan ini akan empat perkara, dua perkara diredhai oleh Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak terkaya kamu daripadanya. Adapun dua perkara yang diredhai oleh Tuhan kamu itu ialah penyaksian bahawa tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah dan engkau memohon keampunan daripada-Nya. Dua perkara yang tidak terkaya kamu daripadanya ialah mintalah kamu syurga dan kamu mintalah jauhkan daripada neraka. Sesiapa yang memberi minum orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum dari haudku (kolamku), minuman yang tidak akan mendahagakan sehinggalah ia masuk syurga.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya kemudian berkata: Hadis ini sah dan diriwayatkan daripada Al-Baihaqi).
Rabu, 17 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan